Guru dan petugas Kemas dibenarkan berpolitik, ramai pihak masih berbelah bahagi tentangnya

gurupolitik
Guru dan petugas Kemas dibenarkan berpolitik, ramai pihak masih berbelah bahagi tentangnya

Kebebasan untuk berpolitik sentiasa menjadi salah satu perkara yang perlu dipertimbangkan seadilnya. Pada asasnya, semua orang berhak untuk berpolitik, apatah lagi untuk mengemukakan pandangan politik diorang dengan jelas. Seruan kebebasan berpolitik ni kemudiannya disambut oleh PM Ismail Sabri, yang bukan je memberikan kebebasan nak berpolitik, malah turut boleh aktif dalam kesatuan serta jadi calon pilihan raya.

Oleh sebab tu, ramai jugak yang nakkan kepastian dan dokumen rasmi seperti pekeliling yang benar-benar memberikan ruang tersebut kepada guru dan penjawat awam lain. Akan tetapi, mungkinkah polisi ni akan ditarik balik apabila kepimpinan bertukar?

kpm berpolitik
Via Malaysia Dateline

Guru sekolah dan petugas Kemas dibenarkan berpolitik, mungkin boleh jadi calon pilihan raya

Menurut laporan Berita Harian, guru sekolah di seluruh negara serta petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dibenarkan untuk berpolitik, berkuat kuasa serta-merta. Perkara tu, kata PM Ismail Sabri, dah diputuskan Kabinet bagi menghormati prinsip demokrasi, memandangkan sebelum ni golongan berkenaan dilarang berpolitik.

Justeru, Menteri Pendidikan Dr. Radzi Jidin diminta untuk keluarkan surat pekeliling supaya guru tak lagi diberi tekanan berhubung perkara terbabit.

“Sebelum ini, ada notis pekeliling untuk menyekat guru daripada berpolitik dan ramai dalam kalangan mereka diberi amaran untuk diambil tindakan. Saya sudahpun membawa perkara ini ke dalam Kabinet, dan Kabinet memutuskan untuk memberi kebenaran (berpolitik) bagi menghormati prinsip demokrasi,”- seperti yang dilaporkan BH

Sementara guru-guru dengan jelas tak dibenarkan berpolitik, lain pula dengan petugas Kemas. Diorang dibenarkan berpolitik seperti rakyat biasa namun ketika era pentadbiran kerajaan PH, diorang tak lagi dibenarkan berbuat demikian. Akan tetapi, diorang masih tertakluk kepada peraturan jabatan masing-masing. Sekiranya guru tu berpolitik sehingga meninggalkan tugas, dia boleh diambil tindakan.

Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyokong dan mengemukakan saranan lain iaitu kebenaran untuk pegang jawatan khususnya dalam kesatuan guru. Kerajaan disaran pinda Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang membenarkan guru gred DG41 hingga DG48 tak berjawatan untuk aktif dalam persatuan atau kesatuan. Sebagaimana arahan yang memberi kebebasan berpolitik dah dikuatkuasakan serta-merta, golongan pendidik berjawatan seperti penolong kanan, guru besar atau pengetua jugak harus dibenarkan pegang jawatan.

“Akta yang hanya membenarkan guru DG41 hingga DG48 tidak berjawatan, memegang jawatan atau terbabit dalam kesatuan guru adalah satu keperluan. Namun jika kelulusan serta-merta guru boleh berpolitik, guru gred DG41 hingga DG48 berjawatan seperti penolong kanan sekolah, guru besar atau pengetua juga harus dibenarkan memegang jawatan, khususnya dalam kesatuan guru.

Ini akan membuka ruang untuk penjawat gred DG41 hingga DG48 berjawatan menyuarakan pendapat atau inisiatif untuk memantapkan lagi sistem pendidikan negara.”- Jasni Md Kechik, Presiden KGMMB, seperti yang dilaporkan Berita Harian

Sorang pensyarah dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Muhammad Anwar Fahmi pulak berpandangan, dengan kemungkinan baharu ni… kerajaan jugak boleh mempertimbangkan kaji tentang syarat calon bertanding dalam kalangan penjawat awam khususnya golongan guru yang disifatkan merupakan intelektual awam negara.

Antara beberapa yang disebutkan turut merangkumi syarat calon bertanding tanpa perlu letak jawatan. Dalam tempoh pilihan raya dan berkempen, penjawat awam terbabit dibenarkan untuk bercuti tetapi dipotong gaji. Sekiranya tewas pada pilihan raya, penjawat awam terbabit takkan diberhentikan, sebaliknya boleh berkhidmat seperti biasa.

prncalonbertanding
Via The Sun Daily

Bagaimanapun sekiranya menang pada pilihan raya, individu terbabit wajar lepaskan jawatan hakikinya. Ramai sebenarnya penjawat awam bimbang bertanding pilihan raya kerana akan berhadapan risiko terpaksa lepaskan jawatan hakiki dan kehilangan pencen yang diterima selepas bersara.

Banyak pendapat bercanggah tentang kebenaran berpolitik untuk guru dan penjawat awam, ada masih percaya guru tak harus aktif berpolitik

Kebebasan ni banyak disokong oleh kesatuan dan persatuan guru. Misalnya, KGMMB sokong keputusan Kabinet untuk benarkan guru dan petugas Kemas berpolitik. Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Melayu (NUTP) Wang Heng Suan pulak kata guru tak boleh lupakan tugas hakiki iaitu mendidik.

“Idea dan sumbangan tenaga sebagai seorang pendidik adalah penting demi meneruskan agenda pembangunan negara dan Keluarga Malaysia. NUTP dan golongan guru menyambut baik kebenaran guru berpolitik demi menghormati semangat demokrasi di negara ini.

Kita juga berharap guru yang mengemukakan permohonan dan aktif dalam berpolitik berasa lega dan berpuas hati di atas pengumuman yang dibuat.”- seperti yang dilaporkan BH

guru fmt
Via FMT

Heng Suan turut berharap bahawa takde lagi syarat tersembunyi melalui pekeiling baharu yang akan dikeluarkan kelak sehingga boleh datangkan permasalahan kepada guru yang aktif berpolitik di kemudian hari. Pihaknya jugak berharap kerajaan beri perhatian dan kebenaran berpolitik kepada guru bilik darjah yang berada di gred DG52 dan gred DG54 ‘time-based’.

Walaupun begitu, berlainan pula reaksi Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Rahim. Katanya, guru yang nak aktif berpolitik seharusnya tinggalkan profesion perguruan daripada membawa perkara yang tak baik seterusnya burukkan lagi sistem pendidikan negara yang dilihat rapuh sekarang ni.

“Kita tidak mahu ahli politik yang menganggap anak-anak sebagai batu loncatan. Apabila ibu bapa menghantar anak ke sekolah, mereka mengharapkan pemimpin dan guru dapat memberikan perhatian yang tidak berbelah bahagi kepada pelajar.

Kita juga sering mendengar keluhan guru yang terbeban dengan tugasan hakiki, selain tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyediakan rancangan pengajaran, menghadiri kelas, mengajar, menilai, menjalankan aktiviti, hadir di kursus dan mesyuarat serta menyelesaikan tugas pentadbiran mereka. Apatah lagi apabila bergiat aktif dalam bidang politik.” – seperti yang dilaporkan BH

guru politik
Via FMT

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye turut berkata keputusan tu perlu dikaji semula atau dibahaskan semula di peringkat Parlimen kerana tugas guru yang menggalas tanggungjawab besar untuk mendidik dan menjadi ahli politik boleh memberi kesan kepada masa depan anak bangsa.

“Tugas seorang guru di bilik darjah menuntut pelbagai cabaran ditambah lagi negara berdepan dengan pandemik COVID-19 yang memberi impak kepada semua lapisan masyarakat terutama sistem pendidikan negara.

Apabila guru dibenarkan terbabit dalam bidang politik, ini boleh mewujudkan situasi tegang dan menjejaskan kualiti pendidikan sekiranya mereka gagal membahagikan antara tugasan hakiki dan politik,”- seperti yang dilaporkan BH

 

Antara hak dan kebebasan untuk berpolitik, dan tanggungjawab untuk mendidik anak bangsa; apakah sorang guru sebenar-benarnya dapat aktif berpolitik dan berpersatuan? Kalau dalam persatuan yang satu profesion dengan kerjayanya sebagai sorang pendidik, kami rasa tak banyak masalah. Namun sebagai sorang ahli politik dan sorang guru? Ia suatu perkara yang perlu dilihat, dan atas semangat demokrasi serta profesionalisme, kami percaya guru-guru ni mampu menyeimbangkan keduanya.

 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top