Masalah dokumentasi adalah hal yang serius dan perlu diatasi dengan segera. Penyelesaian masalah ini bukanlah bermaksud memberi kewarganegaraan percuma kepada sesiapa sahaja yang tidak memiliki dokumen, tapi setiap ‘manusia’ yang berada di negara ini patut diberikan dokumen pengenalan diri – supaya ia memudahkan penguatkuasa untuk mengenali status kewarganegaraan mereka.
Selain tu, mempunyai dokumentasi diri akan membolehkan mereka dapat akses kesihatan yang penting. Kewujudan ‘stateless’ umpama bom jangka yang akan meletup pada bila-bila masa jika jumlahnya semakin hari semakin bertambah. Ia perlu diselesaikan dengan serius dan segera oleh kerajaan.
Mengambil kisah tentang seorang kanak-kanak bermasalah dokumen…
Oleh sebab hari ni peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula, kami nak cerita tentang seorang kanak-kanak yang berkemungkinan tak dapat sambung belajar lepas ni kerana menghadapi masalah dokumen. Kisah ni sebenarnya kisah biasa – ramai je pelajar yang terpaksa berhenti sekolah kerana hadapi masalah dokumen.
Pengalaman kami sendiri; kami ada melihat pelajar pintar terpaksa berhenti sekolah kerana benda ni. Seperti kebanyakan ‘kumpulan manusia’ – memang ada sesetengah daripada mereka terkait dengan masalah sosial, namun ramai juga genius yang berpotensi untuk menyumbang dengan besar kepada negara.
“Saya nak pergi sekolah semula, saya harap dapat ambil UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) tahun ni,” – Dipetik dari Sinar Harian
Demikian luahan hati Nurul Husna, 12, yang tak dapat daftarkan diri sebagai pelajar ekoran tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Bapa angkatnya, Johari Ishak, 53, kata; sebelum ini, Nurul Husna belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rawa gunakan surat kebenaran sementara atas ihsan daripada guru besar.
“Namun begitu, sejak awal tahun lalu anak saya tidak diterima masuk untuk sesi pembelajaran tahun enam. Keadaan ini menghalang anak saya untuk menduduki UPSR nanti dan ia memberi tekanan kepadanya,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Durian, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Apabila Nurul Husna rindu nak pergi sekolah, dia akan pakai baju sekola dan galas beg sekolah…
Menurut Johari, dia dan isteri Siti Fatimah Wahab ambil Nurul Husna daripada seorang saudara. Diorang terima Nurul Husna pada tahun 2008 daripada mereka tanpa sebarang dokumen kelahiran. Cumanya saudaranya tu ada bagi diorang surat pencarian sijil kelahiran namun tak mempunyai sebarang nilai.
Johari kata, saudaranya tu ada janji nak berikan sijil kelahiran namun sehingga kini tak munculkan diri.
“Saya dah buat pelbagai usaha untuk bantu anak angkat saya ni tetapi sehingga kini usaha saya hanya sia-sia,” – Johari, seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian
Nurul Husna memakai pakaian lengkap sekiranya merasai rindu untuk ke sekolah. Sementara tu, Nurul Husna berkata, dia sangat berharap yang dia masih berkesempatan untuk menduduki UPSR.
“Walaupun saya tidak ke sekolah saya masih minta ayah untuk belikan buku tahun enam dan mempelajarinya sendiri di rumah. Bila rindu nak rasa pergi sekolah saya akan pakai baju sekolah dan menggalas beg,” kata Nurul Husna dalam nada sedih, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Dalam pada itu, Exco Pendidikan dan Sumber Manusia, Dr Salmee Said berkata, prosedur berkaitan pendaftaran sekolah telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut Dr Salmee Said, surat kebenaran belajar sementara tu diberikan hanya untuk satu tempoh sahaja dan ia bertujuan memberikan masa kepada ibu bapa angkat untuk menyediakan dokumen yang diperlukan. Sekiranya dalam tempoh setahun itu ibu bapa angkat tidak menyiapkan dokumen seperti yang diminta, kesannya kanak-kanak berkenaan tak boleh bersekolah untuk tahun berikutnya.
Tapi diorang katanya nak selesaikan isu ni dengan cara baik, sehingga hari ni kita tak tahu apa nasib yang diterima Nurul Husna. Daripada pengalaman yang kami ada, dia memang tak akan dapat duduk peperiksaan UPSR hari ni.
Bukan semua kanak-kanak stateless adalah warga asing…
Mentaliti kebanyakan rakyat kita apabila mendengar perkataan stateless atau kanak-kanak tanpa kewarganegaraan adalah diorang ni semuanya ‘hasil’ daripada warga asing. Benda tu sebenarnya tak betul – ada kanak-kanak yang menjadi stateless kerana ibu bapa diorang lalai, tak daftarkan anak. Ada pulak yang tak dapat akses Jabatan Pendaftaran Negara, terutamanya mereka yang tinggal jauh di pedalaman.