Semalam bukan main suka korang apabila kami menceritakan ‘kestabilan’ yang berlaku dalam UMNO dan Bersatu. Kami faham je, semakin ramai yang hilang kepercayaan denga naratif kerajaan Melayu Islam adalah kerajaan yang terbaik. Ada yang mula sedar – untuk Malaysia bergerak ke hadapan, semua bangsa perlu bekerjasama untuk memacu kemajuan negara. Cuma, seperti yang kita telah saksikan pada Pakatan Harapan, kegagalan mengawal krisis akan membawa kehancuran koalisi politik.
Semalam ada lagi berita yang melambangkan ‘kestabilan’ dalam kerajaan hari ini semakin ‘kuat’ apabila wakil dari UMNO mengatakan mereka tak ingin berunding dengan Bersatu, dan ingin mempertahankan kerusi yang dimiliki UMNO. Kemudian, ada cerita dari DS Anwar Ibrahim yang katanya mengakui ada rundingan di antara Keadilan dan UMNO sedang berlaku.
Pelawaan Azmin untuk berunding dengan UMNO nampaknya sukar diterima
Dalam krisis yang semakin memuncak, Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman persoalkan pelawaan dari Azmin, supaya UMNO kembali ke meja rundingan bagi bincangkan sekurang-kurangnya 13 kerusi Parlimen yang jadi antara punca perbalahan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN). Katanya, UMNO dah buat keputusan untuk ambil semula semua kawasan milik mereka.
Dia kata macam tu ketika mengulas mengenai laporan Sinar Harian yang mengatakan Perikatan Nasional (PN) ajak UMNO untuk kembali ke meja rundingan bagi membincangkan sekurang-kurangnya 13 kerusi Parlimen. Tajuddin kata, takde sesiapa yang nak musnahkan kerajaan PN.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya UMNO mahu memusnahkan kerajaan PN. Tidak ada tujuan kita untuk memusnahkan. Itu sebab kita kata (sebelum ini) UMNO akan sokong kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan. “Kita buat keputusan nak jaga parti kita. Apabila parti kita terjaga, baru kita boleh berkhidmat kepada rakyat. Kalau parti kita hancur, kita nak berkhidmat bagaimana? Sekarang ini, apa yang berlaku silap hari bulan, UMNO yang akan hancur,” – Tajuddin Abdul Rahman, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Dakwa Tajuddin, ada pihak yang nak hancurkan UMNO di peringkat akar umbi dan atasan dengan menarik ahli meninggalkan parti berkenaan.
Bukan setakat Tajuddin je cakap macam ni, UMNO Perak pun kekal dengan pendirian untuk tak akan bekerjasama dengan Bersatu, termasuklah jika ia melibatkan kerusi-kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad kata, pendirian UMNO negeri tu tak pernah berubah terhadap kerusi-kerusi melibatkan wakil rakyat UMNO yang menyertai Bersatu selepas pilihan raya.
“Saya dah tegaskan sejak dulu. Tiada kompromi. UMNO tetap akan bertanding di (Parlimen) Larut, Bagan Serai dan Bukit Gantang,” – Saarani Mohamad, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Anwar katakan perbincangan dengan UMNO masih berada di peringkat awal
Melihat percakaran yang berlaku di antara UMNO dan Bersatu, desas-desus mengatakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkemungkinan menjalin kerjasama dengan UMNO semakin kuat selepas Anwar Ibrahim dedahkan telah wujud perbincangan tak rasmi di antara kedua-dua parti itu. Menerusi temu bual bersama Mingguan Malaysia, Presiden PKR tu berkata, perbincangan awal itu melibatkan pimpinan kedua-dua parti dan ia dah menunjukkan perkembangan positif.
“(Perbincangan) dengan pimpinan parti dan ia hanya perbincangan awal. Tapi dalam perbincangan awal ini, apa yang saya dapat kesan? Ia satu yang positif. Sebab kita lebih faham mereka (UMNO) dan mereka lebih faham kita,” – Anwar Ibrahim, seperti yang dilaporkan Mingguan Malaysia
Anwar kata, kerjasama tu tak mustahil berlaku sekiranya ia berlandaskan kepada idealisme dan bukan semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan ‘menteri’ UMNO. Perbincangan tu juga bukan soal saling menerima, tapi apa yang penting adalah naratif baharu politik yang merangkul semua aspek termasuk melibatkan perpaduan gabungan tersebut.
“Kalau konteks ini difahami, maka kalau kemungkinan kerjasama kita, yang kita lakukan dengan Amanah dan DAP dan kini dengan UMNO yang sehaluan ini, bukan sebab kita nak pertahankan kuasa serta suara-suara pihak tertentu dalam UMNO yang nak pertahankan kedudukan menteri-menteri dia at all cost, sampai boleh meninggalkan pimpinan dan semangat perjuangan parti. Tapi kalau mereka terima landasan ini, ia landasan berteraskan idealisme,” – Anwar Ibrahim, seperti yang dilaporkan Mingguan Malaysia
Ditanya sama ada Anwar tidak takut sekiranya percaturan UMNO tu hanya satu strategi politik yang kelak akan memakan diri dan parti, DIA kata, masih belum ada sebarang keputusan dibuat dan pihaknya masih memberikan ruang. Anwar ingin lihat beberapa kenyataan pimpinan UMNO agak lebih tegas dalam hal menyelamatkan ekonomi negara dan menolak kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dia katakan tak sah.
Pada masa sama dasar ekonomi yang seharusnya pro rakyat, itu harus diketengahkan, itu semua nampak selari (antara dua parti ini), tambahnya. Dalam masa yang sama, Anwar turut mengulas mengenai kenyataan komponen Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang selalu label UMNO sebagai perasuah.
Katanya pendakwa hanya membuat tuduhan sebaliknya yang menjatuhkan hukuman adalah hakim.
“Rasuah ini, yang menghukum ialah hakim bukan pendakwa. Pendakwa ini buat tuduhan saja, tapi yang menghukum, hakim. Maksudnya, hakim yang bebas (tertawa). Jadi kita harus terangkan, isu apa sebenarnya kerjasama PKR-UMNO ini,” – Anwar Ibrahim, seperti yang dilaporkan Mingguan Malaysia
Agaknya apa yang akan berlaku pada PRU15? Sama-sama kita nantikan…
Secara jujur, kami tak pasti bagaimana kerjasama di antara Bersatu dan UMNO mungkin akan berlangsung menjelang PRU15 ini. Apa yang kami dapat lihat; UMNO memang dah konsisten menolak kerjasama – tapi Bersatu nampaknya cuba untuk lakukan sedaya upaya untuk memujuk UMNO supaya terus bersama mereka.
Melihat kenyataan Anwar Ibrahim tentang kerjasama di antara PKR dan UMNO, adakah kita akan melihat satu penjajaran politik baharu? Sama-sama kita nantikan…