Baru-baru ni, Dewan Rakyat luluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun. RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 ni diluluskan selepas dibahaskan hampir lima jam oleh 17 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. RUU itu dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan kesayangan korang, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Selain menurunkan had umur, pindaan tu turut babitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikannya.
Selepas RUU ni diluluskan, macam-macam reaksi yang diterima. Antara pandangan yang paling menonjol – datang dari Majlis Belia Malaysia. Diorang berpandangan yang patutnya umur belia ni dihadkan sampai umur 35 tahun, bukannya 30 tahun je.
Tapi lain pulak ceritanya kat Sarawak apabila diorang kekalkan umur belia sehingga 40 tahun…
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg kata, negeri tu tak perlu ikut serta dengan rancangan Dewan Rakyat mengubah definisi belia dengan menurunkan had umur golongan itu daripada 40 kepada 30. Sebabnya benda tu termasuk dalam senarai bersama, maka terserah kepada Dewan Undangan Negeri untuk membuat pindaan bagi mengubah definisi belia. Bila ditanya tentang RUU ni, ini jawapan Abang Johari;
“Pada masa ini had umur belia di Sarawak ialah 40. Saya tidak fikir ia masalah, melainkan sesetengah orang yang bimbang tentang tahap kematangan. Sekiranya dunia membolehkan mereka yang berumur 18 mengundi, jadi tak ada masalah jika kita pun mengikut sama,” – Abang Johari, seperti yang dilaporkan FMT
Tapi dalam tak setuju dengan Syed Saddiq dalam isu penurunan umur belia ni, Gabungan Parti Sarawak setuju had umur layak mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun. Dia kata, kerajaan negeri mahu pendaftaran automatik pengundi dilaksanakan.
“Pengundi boleh buat keputusan sama ada mereka mahu mengundi atau tidak, asalkan nama mereka ada dalam senarai. Kita perlu bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara. Sebaik sahaja seseorang mencapai umur 18, mereka perlu didaftarkan secara automatik,” – Abang Johari, seperti yang dilaporkan FMT
Lepas Sarawak, Johor pun ikut lakukan benda yang sama…
Selepas Sarawak ambik keputusan untuk kekalkan umur belia sehingga 40 tahun, Kerajaan Johor pun nampaknya ambil pendirian yang yang sama. Diorang ambik pendirian macam tu untuk mengekalkan had umur belia bagi memastikan pelan perancangan dirangka, khusus membabitkan golongan tak terbantut pelaksanaannya.
Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal kata kerajaan negeri menghormati pandangan dan keputusan Kerajaan Persekutuan dalam membuat keputusan pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 688). Tapi, Johor bagaimanapun masih mentakrifkan definisi belia dari umur 15 hingga 40 tahun.
“Pada umur 40 tahun, mereka adalah kelompok yang strategik untuk membina karakter kepimpinan dalam berjuang dan mengetengahkan isu semasa yang berbangkit. Ini seiring dengan semarak cita-cita melalui penonjolan idealisme, aktivisme dan intelektualisme yang menjadi ciri dan citra orang muda,” – Dr Sahruddin, seperti yang dilaporkan di Berita Harian
Dia ada kata jugak, pada peringkat umur ni literasi politik diorang juga stabil, selain masa yang sesuai untuk membentuk diorang jadi pemimpin pelapis pada masa hadapan. Selain tu, macam-macam dana bantuan yang diperkenalkan kerajaan mengguna pakai had umur 18 hingga 40 tahun. Dari gaya bahasa Dr Sahruddin ni, nampaknya kena tunggu tualah baru boleh jadi pemimpin.
Pada masa ini juga golongan belia yang berusia 30 hingga 40 tahun juga masih aktif menyertai pelbagai program termasuk program aktiviti luar seperti aktiviti sukan. Sebab tu Johor rasa had umur belia 40 tahun patut dikekalkan.
UPDATE: NAMPAKNYA JOHOR DAH LAKUKAN U-TURN BEBERAPA JAM SELEPAS KAMI TERBITKAN ARTIKEL NI. BOLEH RUJUK LAPORAN MALAYSIAKINI.
Adakah lepas ini akan lebih banyak negeri yang ambik langkah yang serupa?
Sekarang ni mesti Syed Saddiq tengah pening kepala sebab dah ada dua negeri yang tak nak follow benda yang dia dah penat-penat bentangkan kat Parlimen. Bukan setakat dua negeri ni je – nampaknya banyak jugak persatuan belia yang bakal terkesan turut kritik benda ni. Kalau lepas ni lebih banyak negeri yang ambik langkah yang sama, maka sah-sahlah Syed Saddiq akan serabut sebab seolah-seolah diorang tak percaya dengan idea yang dia nak bawak. Korang pulak rasa macam mana? Patutkah usia belia ni diturunkan dari 40 tahun ke 30 tahun?