Bulan lepas Pilihan Raya Kecil (PRK) telah diadakan di Sandakan, Sabah yang mana telah mencatatkan peratusan orang yang turun mengundi berkurang daripada 72 peratus semasa PRU14 kepada 54.4. Dalam PRK kali ni, nampaknya Pakatan Harapan menang. Cuma ada jugak orang yang risau sebab peratus turun mengundi untuk PRK Sandakan ni agak sikit. Agak-agaknya, apa kaedah yang kita boleh ambil untuk bendung masalah orang tak turun mengundi ni?
Sebenarnya ada beberapa negara yang akan mengenakan hukuman kepada rakyatnya jika mereka tak turun mengundi tau. Korang rasa Malaysia kena mula buat macam tu tak?
1. Australia, kalau tak hadir di tempat pengundian boleh dikenakan denda AUD20 dan AUD50
Di Australia, memilih calon pemimpin bukanlah satu kewajipan tetapi semua rakyatnya perlu hadir di pusat mengundi pada masa tu untuk memastikan kehadiran mereka direkodkan. Jika ada rakyatnya yang gagal untuk menghadirkan diri mereka pada hari tersebut, mereka boleh dikenakan denda antara AUD20 hingga AUD50 setiap seorang. Banyak tu.
Bukan tu saja tau, risiko lain yang mungkin jadi kat mereka apabila tidak hadir pada hari mengundi pun agak besar. Selain daripada dikenakan denda, lesen memandu mereka juga boleh ditarik semula jika mereka gagal untuk membayar denda. Pendaftaran kenderaan di bawah nama individu tersebut juga akan dibatalkan ataupun dipenjarakan selama beberapa hari jika perkara tersebut berterusan. Dasyat tak?
2. Belgium, tak datang mengundi boleh hilang kelayakan mengundi 10 tahun
Belgium merupakan antara negara yang paling lama dalam mengamalkan kewajipan mengundi. Semua penduduk yang berumur 18 tahun ke atas perlu turun mengundi pada setiap kali pilihan raya dan akan dikenakan denda sebanyak EUR25 ke EUR50 jika mereka gagal menghadirkan diri.
Apabila seorang penduduk Belgium gagal untuk turun mengundi tanpa mempunyai alasan yang kukuh sebanyak empat kali, mereka bakal kehilangan hak untuk mengundi bagi 10 tahun akan datang dan berkemungkinan menghadapi kesukaran untuk mendapat pekerjaan dalam sektor awam. Sampai macam tu sekali tau.
3. Singapura, tak datang undi tanpa sebab boleh hilang kelayakan dari bertanding
Kalau korang semua nak tahu, jiran terdekat kita pun mengamalkan dasar wajib mengundi di negara mereka. Bagi setiap individu yang tidak turun mengundi, nama mereka akan disenaraikan sebagai individu yang hilang kelayakan untuk mengundi pada pilihan raya akan datang. Apabila perkara ini berlaku, secara tidak langsung individu tersebut juga akan kehilangan kelayakan untuk menjadi salah seorang calon dalam pilihanraya.
Namun demikian, jika seseorang individu itu mahu memasukkan namanya semula ke dalam senarai layak mengundi mereka perlu menghantar satu penjelasan kepada pihak Singapore Election Committee beserta bukti yang mampu menyokong alasan mereka. Apabila seseorang individu itu gagal berbuat demikian tetapi masih mahu kekal sebagai pengundi, mereka perlu membayar denda sebanyak SGD50 untuk mendaftar semula sebagai seorang pengundi.
4. Bolivia, kedai semua tutup. Macam waktu Tarawih di Kelantan (tapi tak jadi dilaksanakan)
Bagi negara Bolivia pula, mereka mengambil langkah yang berbeza dalam memastikan setiap daripada rakyatnya untuk turun menyertai proses pengundian. Untuk menggalakkan semua rakyatnya mengundi, kebanyakan premis akan diwajibkan untuk tutup pada masa tersebut. Selepas sahaja proses pengundian dijalankan, semua pengundi yang telah mengundi akan diberikan kad pengesahan pengundi bernama “certificado de sufragio”.
Kad tersebut akan dijadikan sebuah dokumen wajib yang akan diminta dalam tempoh tertentu selepas pilihan raya, apabila rakyat mereka melakukan aktiviti harian seperti melakukan transaksi bank, memohon sijil kelahiran dan lesen memandu.
5. Korea Utara
Bagi setiap individu yang berumur 17 tahun ke atas, mereka diwajibkan untuk turun mengundi. Menurut penganalisa, proses pilihanraya di Korea Utara dilakukan adalah sebagai satu kaedah untuk mengira jumlah populasi dan mana-mana individu yang tidak hadir mengundi akan direkodkan. Proses mengundinya pula agak luar biasa yang mana hanya ada satu calon sahaja yang akan dipaparkan pada kertas undian dan calon itu kebiasaannya datang daripada parti yang diketuai oleh Kim Jong Un.
Jika seseorang individu itu tidak mahu menyokong dan memilih calon yang dipaparkan dalam kertas undi tersebut maka mereka perlu memotong nama calon tersebut. Namun, kertas undian tersebut perlu dimasukkan ke dalam kotak yang berasingan daripada kotak undian lain yang menyokong calon tersebut. Korang rasa apa eh yang akan berlaku kepada individu yang meletakkan kertas undian yang berasingan tu?
Kalau denda diperkenalkan untuk orang tak turun mengundi, agak-agak apa jadi?
Syukurlah benda ni tak terjadi di negara Malaysia. Korang rasa kalau benda ni berlaku di Malaysia, peratusan undi dekat negara kita pasti akan meningkat naik tak? Lepasni harap korang semua turun mengundi dan memilih calon yang korang rasa layak untuk mentadbir negara kita ni.