Sejak terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional guna pintu belakang, kami dah agak bahawa Sabah dan Sarawak berpotensi untuk jadi kingmaker dalam perebutan majoriti mudah dulu. Kalau dulu, Sabah berkawan dengan PH; sekarang pula Sarawak berkawan dengan PN. Ni menarik untuk dilihat sebab semangat Borneo Brotherhood ni kuat jugak. Tapi kenapa kali ni, mereka terpisah jalan?
Gabungan Parti Sarawak serpihan Barisan Nasional, kini bersatu semula…
Nak faham sejarah politik Borneo ni memang susah sikit, sebab tak macam politik di Semenanjung Malaysia, biasanya parti-parti bumiputera ni ditubuhkan dan dinaungi oleh parti utama kat peringkat nasional. Lepas tumbangnya kerajaan BN-UMNO di peringkat negeri dan pusat, idea gabungan parti ni popular semula kat Borneo. Kalau kat Sarawak, wujudnya Gabungan Parti Sarawak (GPS) manakala kat Sabah pula, wujud lagi Gabungan Bersatu Sabah (GBS).
Di Sabah, GBS masih lagi mengatur langkah sebab tak tentu lagi senarai parti bumiputera yang akan sertai gabungan tersebut. Berlainan dengan Sarawak, mereka dah wujudkan gabungan tersebut sejak 12 Jun 2018. GPS ni terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) dan diketuai oleh Ketua Menteri sendiri, iaitu Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.
GPS dan GBS ni serpihan Barisan Nasional je sebenarnya. Tak macam parti bumiputera yang besar macam Warisan kat Sabah. Parti Warisan tak dinaungi oleh mana-mana parti nasional dan jelas taknak ‘bergabung’ dengan PH dulu, menyebabkan popularitinya mencanak naik sewaktu PRU dulu sebab orang taknak dah BN kat Sabah.
Tak hairanlah kini, GPS nak ikut keputusan Muhyiddin sebab Muhyiddin dah janji nak bawa semua anggota Barisan Nasional tu, berbanding keputusan Mahathir yang menolak tindakan tersebut. Apa yang pasti, tindakan GPS ni diperhatikan begitu tajam oleh rakyat Sarawak. Sebab tulah, agak menarik jugak untuk kita lihat prestasi GPS ni semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak nanti.
GPS kata masuk bersyarat, tuntut tiga benda yang tak berjaya dilakukan oleh kerajaan terdahulu…
Penyertaan GPS untuk bersama dengan Muhyiddin membentuk PN dulu beralaskan pada 3 sebab. Memang banyak je rakyat yang marah, sebab dahlah Langkah Sheraton tu sendiri suatu benda yang ditolak rakyat; boleh pulak GPS beriya-iya nak ikut sekali.
3 sebab tu adalah:
1. Hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia (1963) mesti diakui.
2. Undang-undang Sarawak ke atas hak minyak dan gas mesti diakui.
3. Tidak menyertai Perikatan Nasional dan hanya sebagai rakan kepada Perikatan Nasional menerusi GPS.
Dalam erti kata lain, GPS nak ada kelebihan macam Parti Warisan kat Sabah, dimana mereka dianggap rakan sekutu je kat Sabah. Cuma kami hairanlah, kan GPS ni serpihan BN. Mampu ke GPS bebas dari pengaruh BN-UMNO, atau hanya jadi boneka pada parti Melayu Semenanjung semula?
Berbanding dengan Warisan di Sabah, kebanyakkan anggotanya merupakan bekas anggota dari pelbagai parti. Ada yang dari PKR, DAP dan UMNO sendiri. Masing-masing boleh mainkan peranan sebagai ejen semak-dan-imbang terhadap situasi dalaman parti. Tu pun kalau takde lompat parti ler…
Berbalik pada 3 tuntutan ni tadi, Sarawak dah menghadapi masalah pembayaran hak royalti minyak sejak zaman BN dan PH lagi. Nampak gaya liat sungguh kerajaan persekutuan nak bayar. Boleh ke PN memecah rekod dengan tunaikan janjinya nak bayar royalti minyak kat Sarawak?
Begitu jugak dengan hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia, di mana perkara ni dah pernah dibawa dalam kabinet PH dulu. Nak tau siapa yang gagalkan usaha tersebut? GPS jugak. Kemudiannya, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) ditubuhkan atas saranan Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ahli Parlimen Santubong sebab usaha perubahan RUU sebelumnya dilihat sebagai ‘helah politik’ PH semata-mata.
Warisan kekalkan autonomi Sabah dan terus rakan sekutu kerajaan nasional…
Tak macam GPS yang aktif ke sana ke mari nak sokong PN, Warisan lebih banyak memerhati keadaan supaya Sabah tak lagi terjerat dalam politik yang didominasi oleh Putrajaya. Macam kami katalah awal tadi, rakyat Borneo nakkan autonomi negeri mereka termasuklah ketika nak pilih keputusan yang terbaik untuk rakyat negeri mereka. Kerajaan persekutuan boleh pujuk, tapi tak boleh paksa… haa ada beza tu!
Menurut Shafie Apdal, Warisan akan terus sokong Tun Mahathir namun pada masa yang sama, akan bekerjasama dengan Muhyiddin Yassin dalam PN. Katanya kepada Free Malaysia Today;
“Selepas mesyuarat dengan semua Adun dan Ahli Parlimen Sabah lebih 45 minit, pendirian kami ialah terus menyokong Mahathir. Saya harap beliau (Muhyiddin) faham. Saya tidak menentangnya kerana beliau ialah kawan saya dan sudah lama bersama kami.
Dahulu saya kata kepada (bekas perdana menteri) Najib Razak, ketika beliau ialah kawan saya ketika itu yang saya akan sokong Mahathir. Tetapi, perlu ada kejelasan dalam ahli politik. Saya tidak boleh diheret oleh politik di Semenanjung sehingga ia menghalang kedudukan dan masa depan orang Sabah. Kami perlu fokus masa kami dalam membangunkan negeri. Bagi saya, keutamaan ialah Sabah dan rakyatnya.”- seperti yang dilaporkan oleh FMT pada 5 Mac 2020
Perkara ni tak disenangi oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. Dia pelik dengan pendekatan Warisan ni dan melambangkannya sebagai “main dua kolam”. Siap tanya lagi;
“Apakah pendirian BERSATU Sabah pula? Apakah mereka masih mesra WARISAN di Sabah sedangkan Perdana Menteri mereka tidak disokong oleh WARISAN? Shafie menidakkan peluang Ahli Parlimen WARISAN untuk menjadi menteri dan timbalan menteri atau memegang jawatan dalam agensi dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan).”- seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian pada 5 Mac 2020
Warisan bersedia nak tuntut MA63 dan mempunyai perancangan untuk membawa usul tersebut di Parlimen nanti, tak kiralah di bawah kerajaan PN dan PH. Bila kami tengok balik, para pemimpin parti bumiputera Sabah yang beriya-iya nak sertai Kabinet dah selamat jadi Menteri manakala tiada satupun Kabinet baharu dianggotai oleh Parti Warisan.
- Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (PBS) sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam Hal Ehwal Sabah dan Sarawak
- Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH-PPBM) sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan
- Datuk Abd Rahim Bakri (BN-UMNO) sebagai Timbalan Menteri Kewangan I
- Arthur Joseph Kurup (PBRS) sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dalam Ekonomi
- Jonathan Yassin (PKR) sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri II
- Datuk Dr Jeffrey G Kitingan (STAR) sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan
Shafie Apdal pun dah jangkakan perkara ni berlaku, dan bukan senang nak dapatkan wakil rakyat yang taknak jawatan dalam kerajaan persekutuan. Walaupun kami tak tolak kemungkinan berlakunya perubahan di masa depan, tapi keteguhan prinsip khususnya di medan politik ni amatlah jarang ditemui.
GPS rela korban rakyat, nak bersama dengan PAS dan UMNO?
Kami tertarik dengan surat pembaca yang disiarkan oleh The New Sarawak, iaitu dari Sulaiman Bakaruddin ni luahkan rasa tak puas hatinya terhadap keputusan GPS ingin bekerjasama dengan PAS dan UMNO. Pendek je suratnya, tapi penuh bermakna buat rakyat Sarawak.
“Dengan menjadi rakan ‘sekatil’ (bersama PAS dan UMNO), adakah keadaan akan tetap sama untuk kami di sini, atau adakah GPS akan lemah kerana tekanan dari UMNO dan PAS lalu biarkan mereka masuk ke Malaysia Timur? Sebagai (seorang anak Sarawak) yang lahir dan dibesarkan di Bintulu, saya ingin menyeru rakyat Sarawak untuk menghantar mesej yang jelas kepada GPS dalam pilihan raya akan datang bahawa kita menolak mereka dan kerjasama mereka dengan PAS dan UMNO.
Ia suatu yang mendukacitakan bila pemimpin GPS sanggup jual diri mereka untuk kuasa dan ketamakan. Sebagai pengundi, kita masih pegang kata-kata akhir dan saya menyeru semua rakyat Sarawak agar bersama-sama tunjukkan kepada GPS bahawa kita sudah (cukup) gembira di sini dan pastinya tidak perlukan UMNO yang korup dan PAS.”- dipetik dari The New Sarawak pada 5 Mac 2020.
Lebih menarik lagi, presiden PAS iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang seolah tak sabar dengan kuasa baharu yang dimilikinya dan begitu berani nak buat kenyataan yang dilihat ‘masuk campur’ dalam lanskap politik Borneo.
“Cina, India dan kaum lain adalah pemimpin kami juga, tapi mereka perlu dipimpin oleh seorang Muslim. Itu sebabnya PAS nak Sarawak untuk ditadbir oleh bumiputera Muslim, bukan kaum lain.” – seperti yang dilaporkan oleh The Star pada 5 Mac 2020.
Bila dibaca berulang kali, kami rasa PAS masih belum faham dinamik politik negeri kat Borneo ni. Kat sini, semua kaum adalah sama rata haknya dan agama tak menjadi masalah untuk kelayakan menjadi ketua. Sentimen Melayu/Bumiputera untuk digandingkan dengan agama tak begitu mengena kat hati rakyat Borneo.
Malah, lebih ramai yang mulai ragu dengan prinsip perjuangan PAS yang diketahui agak lantang menjuarai perdebatan Islam-Melayu beraliran konservatif dan kepentingannya di Borneo ni. Macam tak kena je dengan fokus rakyat Borneo yang berbeza kaum dan agama.
Bukan kami je cakap, surat pembaca yang dikirimkan oleh Philip Wong Pak Ming turut menyuarakan bantahannya terhadap kenyataan Presiden tersebut. Sabah, Sarawak ni gelanggangnya lain. Tak mainlah sentimen kaum dan agama ni ye…
Apa yang pasti, kami sentiasa memerhati dan terus membangkitkan isu Borneo ke pengetahuan awam. Dengan wujudnya bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri, sudah pasti kami akan lebih kritikal terhadap PN khususnya dalam usaha mereka nak tunaikan janji dan tuntutan yang kononnya diperjuangkan tu.