Pakatan politik ni ibarat suatu lumrah dalam arena politik kita. Dahulunya, Muafakat Nasional dilihat sebagai salah satu blok yang penting lantaran diorang banyak guna retorik bangsa Melayu dan agama Islam. Semua tu dilakukan demi menarik sokongan pengundi dan kukuhkan keyakinan para penyokong diorang.
Namun susulan kemenangan BN dalam PRN Melaka, BN tampil lebih yakin dengan prestasi diorang untuk pilhan raya akan datang. Bila ditanya apa khabar Muafakat Nasional, PAS kata fail Muafakat Nasional cuma ditutup sebentar. Tapi Umno pulak berharap, fail tu tak perlulah dibuka selepas tu. Ada jugak yang sebut je MN sekarang tak jugak hidup dan tak mati.. macam zombi.
Tuan Ibrahim kata MN belum mati dan cuma tutup fail je, akan terus tegakkan PN
Apabila dia ditanya tentang Muafakat Nasional selepas berlangsungnya ceramah di pusat operasi (PN) di Simpang Jeram beberapa hari lalu, dia kata MN masih belum lagi mati. Ia masih lagi hidup, dan akan terus hidup walaupun diakui, dah beberapa bulan jawatankuasa bersama Umno-PAS takde mesyuarat.
“Belum ada kubur. Belum ada batu nisan. Dan tak ada sesiapa mengisytiharkan Muafakat Nasional (MN) ditamatkan. Jadi secara prinsipnya dia, walau dia tak nampak hidup tapi dia tak mati…
Saya ibaratkan kalau di luar negara, musim sejuk kita nampak pokok tu macam mati. Tapi lepas musim tu baru dia akan keluar. Harapan kita sebenar, bukan harapan saja, bahkan PAS dan Bersatu, kita melihat penyatuan ummah ni kita dukung,”- Tuan Ibrahim Tuan Man, seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Penjelasan Tuan Ibrahim ni sekaligus masih membayangkan bahawa hubungannya dengan Umno tetap boleh diperbaiki. Dalam peringkat peribadinya, dia tetap masih ada hubungan baik dengan pemimpin Umno.
“Dalam mesyuarat kabinet, Umno dan PN termasuk kami turut menyokong kepimpinan perdana menteri. Kami bekerja untuk rakyat, tidak kira parti. Dalam konteks itu, hubungan (Umno-PAS) adalah baik,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Hubungan Umno dan PAS terus renggang selepas desakan PAS untuk bekerjasama dengan Bersatu. Sebelum ni pun memang dah nampak beberapa keretakan sama ada dari pihak Umno mahupun PAS. Misalnya pada 2020, berlaku percanggahan tentang pembahagian kerusi untuk PRU15. Menurut sorang sumber yang berkongsi dengan laman Malaysianow:
“Di Kedah dan Terengganu, sudah terdapat percanggahan berhubung pembahagian kerusi,” kata sumber yang mengetahui mengenai perbincangan itu kepada MalaysiaNow. Beberapa pemimpin Ahli Majlis Tertinggi Umno tidak senang duduk dan tetap berkeras mahu bertanding di tempat yang dimenangi PAS dalam PRU14.
Jika Umno tetap meletakkan calon mereka di kawasan dimenangi PAS di saat-saat akhir maka saya boleh menjangkakan Muafakat Nasional akan hancur.”” – seperti yang dilaporkan Malaysianow
Namun dalam PRN Melaka, PAS buat keputusan untuk bersama Bersatu dan bertanding guna logo PN. Ni tentulah beri tanda bahawa PAS seolah tak ingin dengan Muafakat Nasional, lagi-lagi apabila Umno awalnya sedia bekerjasama dengan PAS atas syarat kena guna lambang sendiri. Di ambang PRN Johor ni pun, diorang berbalas kenyataan pedas secara terbuka antara Umno dan PAS. Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri tak nak dikaitkan lagi dengan MN.
“Ada hikmah Bersatu tidak bekerjasama dengan UMNO. Jadi, Bersatu tidak terpalit dengan masalah moral yang membelenggu pemimpin UMNO. Secara peribadi, saya malu untuk dikaitkan dengan parti yang masih mengangkat seorang yang telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah berat sebagai boss!”- seperti yang dilaporkan Sinar Harian.
Umno pun nak lupakan MN, Amanah kata MN sekarang umpama zombi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi petunjuk jelas tentang masa depan Muafakat Nasional (MN) dengan menyatakan kerjasama politik antara parti itu dan PAS “biarlah diletakkan dalam satu lipatan yang tidak perlu dibuka lagi.”
“Bukan kita tidak mahu malah kita yang memulakan. Kalau hidung tak mancung, kenapa pipi mesti tersorong-sorong,”- Zahid Hamidi, seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Nada dan petikan peribahasa yang sama jugak jelas datangnya dari Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. Bagi Umno, pintu persefahaman masih terbuka walaupun Umno menerusi BN diilihat dah boleh bergerak sendiri.
“Kedudukan MN ketika ini adalah terserah kepada PAS. Saya selalu cakap, dalam kehidupan, kita mesti buka pilihan kita. Jangan tutup pintu, daripada dulu jika ada yang tanya, PAS kena buat keputusan. MN ini terpulang kepada PAS, mahu bersama Perikatan Nasional (PN) ataupun MN, tetapi di Melaka mereka buat keputusan mahu dengan PN, apa yang boleh kami buat? Kami tidak pula mahu hidung tak mancung pipi tersorong-sorong itu sahaja,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian
Sementara tu, Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar pulak sifatkan MN ni macam zombi sekarang. Mengulas kenyataan Tuan Ibrahim, oleh disebabkan kedudukan MN dah diisytiharkan ‘tak mati dan tak hidup’, maka wajarlah dianggap kerjasama tu macam zombi.
“Mati pun tak, hidup pun tak. Saya anggap keadaan MN iaitu (melibatkan kerjasama) antara Umno dengan PAS macam zombi. Ini sangat bahaya dalam konteks Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Mahfuz menyambung lagi, kenyataan tersebut turut menunjukkan PAS masih ada hati dan berharap boleh kerjasama dengan Umno.
“Ini bermakna PAS dari dulu lagi masih ‘merengek’ untuk bersama Umno. Mereka masih lagi mahu menerima parti yang yang didukung oleh kluster mahkamah,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Bagi pemimpin Umno yang lain, seperti Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed… kerjasama Bersatu dan PAS dah boleh diumpamakan sebagai ‘talkin’ kepada gagasan MN. Pada Januari lalu dalam Muzakarah PAS dan Bersatu, diorang bersetuju dengan resolusi tujuh perkara yang memaktubkan jalinan kerjasama kedua-dua parti tu. Resolusi tu turut ‘merasmikan’ PAS yang akan bertanding di bawah logo PN dalam PRN Johor nanti.