Najib sahut cabaran debat Anwar tentang isu Sapura, ini cerita sebenarnya

anwar najib 11

Sejak Rafizi kembali aktif dalam pentas politik, salah satu isu yang dia cuba kupas adalah isu Sapura Energy Bhd. Dahulunya, Sapura Energy ni mencatatkan kerugian yang teruk sehinggakan ada meramalkan diorang akan terus rugi sehingga 2024. Sapura Energy ni syarikat berkaitan kerajaan (GLC), jadi tentulah kerugian ni jugak bermakna ada sebahagian wang pelaburan awam tu dinilai rugi.

Jadi tentulah, isu kerugian ni suatu hal yang besar. Rafizi angkat isu ni selepas Najib cadangkan kerajaan bantu Sapura daripada muflis. Sedangkan gaji CEO Sapura tu sendiri cecah RM200,000 sehari walaupun syarikat rugi. Bidasan demi bidasan satu sama lain akhirnya membawa kepada debat Anwar-Najib. Kami kupas ceritanya…

sapura laut
Via The Edge Markets

Sapura Energy rugi berbilion sehingga 2024, ini penjelasan CEO kenapa gaji masih tinggi

Macam yang dah kami sebut awal tadi, Sapura Energy dilaporkan rugi dan diramalkan akan terus rugi sehingga 2024. Berita Harian pada 18 Mac lalu laporkan bahawa kerugian bersih Sapura Energy Bhd untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 meningkat kepada RM8.9  billion berbanding RM160.87 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ni.

Perolehan merosot ni disebabkan lonjakan kos projek dalam segmen perniagaan kejuruteraan dan pembinaan (E&C), operasi dan penyelenggaraan (O&M). Kekurangan akses kepada kemudahan modal kerja turut mengugat pertumbuhan positif dalam operasi diorang. Walaupun begitu, diorang kekal positif dengan prospek diorang:

“Kami menjangkakan segmen penggerudian akan menunjukkan prestasi yang baik dalam keadaan pasaran semasa dengan purata sembilan pelantar diunjurkan beroperasi. Perniagaan ini akan terus menjana aliran tunai operasi yang amat positif dan stabil pada tahun kewangan 2023.

Kumpulan terus bekerjasama dengan rakan perniagaan kami untuk melaksanakan projek-projek dalam tangan kami yang kini mencecah RM6.6 bilion,”- Kenyataan Sapura Energy, seperti yang dilaporkan BH

sapura laut1
Via Offshore Energy

Tak berhenti setakat tu je, isu gaji CEO Sapura Energy pulak lumayan walaupun syarikat tersebut catat kerugian yang besar. Malaysia Dateline laporkan, dia dapat RM71.92 juta pada tahun kewangan lalu pada 31 Januari 2018. Sebahagian daripada gaji besar yang dipegang oleh presiden dan bekas CEO Sapura Energy, Tan Sri Shahril Shamsuddin dikatakan bergantung pada perjanjian saham yang dimilikinya dengan institusi kewangan, apabila Sapura tu bayar semula pinjaman berjumlah RM14 bilion.

Shahril mengesahkan kewujudan perjanjian ni, dan ni jugak jadi sebab pakej imbuhan tu tinggi. Jelasnya:

“Ya, kita telah menjelaskan perkara ini dalam AGM (mesyuarat agung tahunan). Memang benar bahawa sebahagian daripada pakej imbuhan adalah untuk perjanjian saham yang telah mengunci saham saya dalam Sapura Energy.

Ini bermakna jika saya menjual saham saya (di bawah 10%), pinjaman akan gagal bayar. Jika saya berundur [daripada menjadi Ketua Pegawai Eksekutif], pinjaman itu akan gagal juga,”- seperti yang dilaporkan Malaysia Dateline

shahril ceosapura
Shahril bersara dari jadi CEO Sapura.. -Via The Edge Malaysia

Memetik laporan The Coverage, Shahril merupakan pemegang saham tunggal terbesar Sapura Energy yang pegang 15.9% kepentingan. Dia kata dia tak minta pun pampasan setinggi tu. Gajinya ditentukan oleh Lembaga.

“Gaji saya ditentukan oleh lembaga. Lembaga adalah bebas. Saya tidak memintanya (pampasan). Lembaga yang memutuskan perkara ini. Apabila ada yang menawarkan saya ini, sudah tentu saya akan terima. Saya hanya seorang pegawai syarikat.

Namun saya sanggup melakukan ini. Saya boleh menjual saham saya pada RM4 tetapi tidak. Saya tidak menjual satu saham pun, kos peluang adalah jauh lebih tinggi [daripada pampasan]…

Mereka (pemegang saham) kata imbuhan saya terlalu tinggi. Sebagai pemegang saham, saya menghormatinya. Tetapi satu perkara yang orang tidak nampak ialah usaha yang telah dilakukan oleh pihak pengurusan untuk pertumbuhan masa depan

Syarikat itu harus diukur secara relatif kepada syarikat lain yang telah bangkrup di peringkat tempatan dan global.

Pemegang saham juga harus menilai kami dari segi bukan kewangan, contohnya PSC (kontrak perkongsian pengeluaran) yang kami menangi di Mexico, pekerjaan baharu yang kami perolehi di Brazil yang [menyumbang] lebih banyak kepada pertumbuhan masa depan,” – seperti yang dilaporkan Malaysia Dateline

Najib gesa kerajaan tolong Sapura Energy ketika dalam kerugian, Rafizi kata idea ‘bailout’ tak munasabah

Susulan laporan tersebut, Najib selar Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana tak bantu dan ambil ringan masalah Sapura Energy. Najib kata kerajaan kena segera bantu Sapura Energy selesaikan masalah aliran tunai demi memelihara kepentingan strategik negara.

“PNB dan kerajaan perlu fikir tentang kepentingan strategik negara, ekosistem vendor Bumiputera, pekerjaan nilai tinggi bagi rakyat serta ekonomi keseluruhan negara, bukan hanya sekadar ianya cuma satu lagi pelaburan sahaja,”- kenyataan Najib di Facebook, seperti yang dilaporkan FMT

najib razak fmt
Via FMT

Sehubungan tu, Najib sarankan kerajaan supaya beri pinjaman faedah mudah atau jaminan pinjaman kepada Sapura Energy bagi selesaikan masalah aliran tunai seperti yang dilakukan BN untuk selamatkan Proton.

“Ini mungkin penyelesaian sementara sebab sekiranya masih dimiliki PNB yang kurang pengalaman bagi sektor ini dan telah membuat keputusan yang kurang tepat sebelum ini, masalah mungkin berulang pada masa depan,”- seperti yang dilaporkan FMT

Ikut jejak Petronas selamatkan syarikat MISC pada 1998, Najib turut cadangkan kerajaan arahkan Petronas atau Khazanah Nasional ambil pemilikan Sapura Energy daripada PNB. Petronas masih perlukan perkhidmatan Sapura untuk projek diorang dan lebih faham terhadap sektor ni. Kalau Sapura Energy muflis, boleh jadi beberapa kesan buruk seperti kerugian pelabur ASB, PNB, KWSP dan lain-lain tabung simpanan rakyat serta hampir 10,000 pekerjaan bergaji tinggi akan hilang.

“Jika Sapura Energy muflis, sekitar 4,500 vendor/pembekal akan terjejas, kebanyakannya merupakan syarikat Bumiputera. Malaysia akan kehilangan syarikat perkhidmatan petroliam terbesar negara bagi sektor paling penting negara. Malaysia juga akan kehilangan sebuah syarikat MNC sebab Sapura juga banyak memenangi dan mengusahakan projek di lebih 30 negara asing,”- seperti yang dilaporkan FMT

Walaupun begitu, Rafizi tak rasa idea Najib ni munasabah. Kaedah ‘bailout’ yang cuba dikemukakan Najib ni tak perlu, dan kemelut kewangan syarikat tu bukanlah suatu perkara luar biasa dalam dunia perniagaan global serta mampu diselesaikan secara dalaman. Kepimpinan Sapura Energy yang baru dilantik terdiri daripada golongan profesional ternama, jadi Rafizi yakin diorang sedang cuba yang terbaik bagi memulihkan syarikat tanpa perlu guna dana awam.

“Oleh kerana krisis yang dialami Sapura ini bukanlah unik, kita juga tahu jalan penyelesaian yang telah diambil oleh syarikat-syarikat lain di seluruh dunia yang telah berjaya memulihkan syarikat-syarikat berkenaan. Di bawah kepimpinan baru Sapura yang dibarisi tokoh-tokoh profesional ternama negara, saya yakin mereka sedang berusaha sebaik mungkin untuk memulihkan Sapura tanpa mengheret dana rakyat seperti yang didesak oleh Najib,”- Rafizi Ramli, seperti yang dilaporkan FMT

Najib tak bersuara isu gaji sebab Sapura bukan GLC, terima pelawaan debat Anwar

Terdahulu, Rafizi bangkitkan isu gaji. Pengarah eksekutif Sapura dikatakan terima kira-kira RM983 juta dalam pelbagai bentuk bayaran daripada 2009 hingga 2018 ketika Najib jadi PM. Mengikut beberapa rekod kewangan syarikat tersebut, bayaran kepada para pengarah eksekutifnya banyak undang kontroversi. Diorang ni turut pegang saham terbesar dalam Sapura.

“Semua ini berlaku semasa Najib menjadi perdana menteri dan menteri kewangan. Sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, Najib memikul amanah memberi hala tuju dan memastikan institusi dana rakyat seperti PNB dan KWAP mendapat nilai yang terbaik dari pelaburan mereka.

Semasa dia ada kuasa dan pengaruh untuk memastikan ribuan kakitangan Sapura tidak terjejas periuk nasi mereka, untuk memastikan syarikat kecil yang menjadi vendor Sapura mendapat bayaran dan pelaburan rakyat mendapat pulangan yang sewajarnya, di mana suara Najib ketika itu?”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Najib bidas semula dengan bertanya, di mana pula suara pemimpin PKR ketika PH suntik dana tambahan sebanyak RM2.7 bilion ke dalam Sapura pada 2019 untuk jadikan Putrajaya sebagai pemegang saham terbesar, biarpun tahu pendapatan bagi bekas CEO tinggi.

Najib kata:

“Saya tidak bersuara ketika CEO dibayar gaji lumayan sebab sebelum tahun 2019, syarikat tersebut adalah syarikat swasta yang dibina dan dimiliki oleh CEO tersebut untuk menjadi syarikat perkhidmatan minyak dan gas kedua terbesar dalam dunia. Syarikat swasta yang bayar, shareholders (pemegang taruh) dan lembaga pengarah swasta yang luluskan gaji dan pampasan bagi pengurusannya.

Dia nak dibayar RM1 bilion setahun pun bukan masalah kerajaan selagi pemegang-pemegang saham dan lembaga pengarah Sapura izinkan. Tidak kena mengena dengan kerajaan,” – seperti yang dipetik Suara Merdeka

Oleh sebab kerajaan PH sendiri dikatakan tolong Sapura, ia kemudiannya jadi GLC pada 2019 manakala bekas CEO tu bersara sebagai CEO pada Mac 2021. Seluruh pengurusan atasan dan lembaga pengarah Sapura jugak dah bertukar. Kemudian, Najib dan Rafizi pulak menyatakan kesediaan untuk berdebat… cuma dengan syarat, Anwar mesti ikut sekali. Kalau Anwar taknak ikut debat, maka Rafizi boleh debat dengan Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil. Isham ni bekas pembantu Najib semasa dia jadi PM.

Anwar kemudiannya dilaporkan sahut cabaran debat Najib, Najib pun setuju dan minta pasukan Anwar dan Rafizi hubungi pembantu bagi mengaturkan sesi debat secara langsung dalam tempoh terdekat.

Game on. Saya setuju debat dengan Anwar. Let’s rock! Saya minta pasukan Anwar dan Rafizi aturkan dengan media sekiranya ada yang berhasrat untuk siarkan live. Sila berhubung dengan pembantu saya untuk cari tarikh terdekat yang sesuai bagi semua,”- seperti yang dilaporkan Astro Awani

Rafizi dilaporkan bersetuju jika Sinar Harian jadi penganjur utama kepada program debat antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim bersama Najib Razak. Pihaknya takde masalah untuk terima pelawaan Sinar Harian sebagai penganjur utama debat bersejarah andai dipersetujui semua pihak terlibat.

Sinar Harian memang ada program debat khas yang dipanggil ‘Berani Semuka’, dan pernah tampilkan sosok tempatan seperti Datuk Seri Mujahid Yusof dan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang berdebat mengenai isu penyelewengan aset Tabung Haji pada 14 Ogos 2020. Selain itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berdebat dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berhubung pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 pada 13 Januari lalu.

Sekiranya ia benar-benar berlaku, ni akan jadi antara satu lagi debat bersejarah dan menampilkan Najib dan Anwar dalam satu gelanggang. Sementara kemahiran pidato dan berhujah Anwar tak dinafikan ramai, ramai jugak masih lagi skeptikal dengan kemahiran Najib nak berdebat lantaran temubual antarabangsanya dulu pun jadi bahan lawak sesetengah lapisan masyarakat. Apapun, kita hanya terus menantikan sesi ni berlangsung dan berharap ia dapat direalisasikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *