займ срочно

Perdana Menteri tak lakukan penggulungan, Anwar minta speaker Dewan Rakyat lebih berani

f1
Perdana Menteri tak lakukan penggulungan, Anwar minta speaker Dewan Rakyat lebih berani

Sejak Parlimen digantung ketika darurat dilaksanakan, kami konsisten berpandangan perlunya Parlimen dibuka segera. Sebabnya mudah sahaja, apa-apa keputusan yang dibuat secara bersendirian selalunya akan mempunyai kelemahan yang besar. Sebab itulah proses semak imbang diperlukan bagi memastikan apa jua dasar yang dibina melalui proses perbahasan di Parlimen. Kegagalan kita mengawal pandemik Covid-19 sedikit sebanyak berpunca daripada tindakan kerajaan yang bergerak secara ‘solo’ dalam membina dasar.

728 X 90

Ketika ini sedang berlangsung sesi Parlimen secara khas yang menyaksikan begitu banyak drama, dan tak semuanya menyenangkan hati rakyat.

Sebenarnya darurat telah tamat pada 21 Julai 2021, cuma rakyat tak diberitahu

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hasan memaklumkan kerajaan telah memutuskan untuk tak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat sebaik sahaja tamat pada 1 Ogos ini. Apa yang lebih membuatkan lebih ramai rakyat marah, dikatakan sebenarnya darurat ini sudah tamat sejak 21 Julai 2021; tanpa sebarang pengumuman dari kerajaan.

“Kerajaan sudah menarik balik semua ordinan darurat berkenaan pada 21 Julai lalu. Pembatalan ini menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit,” – Takiyuddin, seperti yang dilaporkan UTUSAN

Bagi yang menyaksikan siaran langsung Parlimen semalam, kita dapat melihat isu-isu hangat lain seperti Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun yang mengarahkan ahli-ahli Parlimen pembangkang mendengar kata selepas kira-kira sejam mereka menyatakan rasa tak puas hati pada persidangan khas parlimen hari ini.

“Duduk. Oleh kerana tidak ada seorang pun ahli parlimen nak dengar apa yang saya cakap, saya hanya nak kata satu saja. Saya tak bersetuju dengan semua yang berhormat cakap tadi. Kita teruskan dengan aturan mesyuarat sekarang,” – Azhar, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

4 copy
Via Berita Harian

Keadaan ini terjadi setelah beberapa anggota Parlimen pembangkang berdiri seorang demi seorang untuk membangkitkan rasa tidak puas hati mereka terhadap ucapan perasmian Azhar di Dewan Rakyat hari ini. Ahli Parlimen cuma dibenarkan mengemukakan soalan dan berbahas mengenai taklimat daripada para menteri selepas itu. Keadaan menjadi bertambah hangat setelah Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo bangkit persoalkan sekiranya sesi taklimat dan soalan dibenarkan, mengapa ahli-ahli parlimen tak dibenarkan mengundi.

“Kalau Speaker mengguna pakai budi bicara di bawah aturan-aturan ini untuk membenarkan ahli parlimen menyuarakan pendapat dan juga berhujah, kenapa tidak diberikan ruang kepada kita untuk membuat keputusan melalui dewan ini? Di mana kita mengambil undi satu keputusan yang dibuat berkenaan apa yang berlaku?” – Gobind, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Sebelum ini, Azhar pernah menolak lima usul pembangkang, yang antaranya usul berkaitan Proklamasi Darurat untuk dibahas dan diluluskan di parlimen. Ahli Parlimen Selayang (PH), William Leong antara salah seorang ahli parlimen yang mendesak agar kesemua usul dikemukakan Anwar Ibrahim (Port Dickson) dan Ngeh Koo Ham (Beruas) dibentang dan dibahaskan.

Pergaduhan Anwar-Azmin dapat perhatian netizen, Anwar turut tempelak speaker

Sudah tentu tak sedap kalau kami tulis artikel pasal Parlimen ni tanpa sebutkan pergaduhan di antara ahli-ahli Parlimen. Semalam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dakwa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menggunakan kaedah ‘pintu belakang’ untuk benarkan sektor industri beroperasi ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP). Dakwaan itu menyebabkan Azmin naik angin.

Anwar berkata; kita ada pertimbangan keperluan menjaga kesihatan dan pemulihan ekonomi… oleh demikian ada usul daripada SME. Kita harus jaga patuhi SOP (prosedur operasi standard), di antara malapetaka kita hadapi baru-baru ini. MITI bagi urusan ‘pintu belakang’ kepada siapa sahaja, akhirnya kluster yang besar termasuk kluster kilang. TPM (Timbalan Perdana Menteri) boleh sahkan.

Kemudian Azmin menyangkal dakwaan itu. Kemudian mereka terus bertikam lidah sebelum ditenangkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon. Cuma apa yang mendapat pujian dari netizen semalam adalah tindakan Anwar yang memarahi speaker kerana PM tak lakukan penggulungan. Sebaliknya, ucapan penggulungan akan disampaikan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang juga menteri penyelaras PPN.

Tidak pernah dalam sejarah – sejak merdeka, sejak tertubuhnya Parlimen – soalan kepada perdana menteri dan (berkenaan) darurat dijawab oleh menteri kewangan. Anda perlu bertanggungjawab. Speaker perlu berani. Anda yang dipertua dewan,” – Anwar, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Adakah korang rasa kita akan menyaksikan pelbagai drama yang akan terhasil menjelang sidang-sidang Parlimen yang seterusnya? Sama-sama kita nantikan…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top