PRK Kimanis hari tu banyak kesalahan parti politik? Kami tanya PEMANTAU Bersih

F1

Bila cakap pasal pilihan raya, mesti korang boleh bayangkan bendera parti yang bertanding dengan penuh warna-warni serta poster ditampal sepanjang jalan. Kita pun dah lalui beberapa pilihan raya kecil setakat ni, macam PRK Kimanis awal tahun ni. Kami dah kupas banyak benda pasal Kimanis ni, bermula dari sejarah penempatan Amerika di Sabah hinggalah kesimpulan lebih menyeluruh pasal prestasi Pakatan Harapan.

Namun bila kami tengok macam mana reaksi warganet pasal PRK Kimanis, tak ramai pulak yang sebut antara pihak-pihak penting dalam jayakan proses demokrasi berjalan dengan telus. Yang orang tau, perjalanan pilihan raya ni semua tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ye ke? Kami tanya Asraf Sharafi, Koordinator BERSIH 2.0 Sabah pasal apa yang berlaku kat Kimanis sepanjang tempoh proses pilihan raya dijalankan.

Prk Kimanis Undi Kotak
Undi jangan tak undi! Via FMT

Tugas Pemantau BERSIH amat perlu, SPR tak sudi sampailah…

Sekarang ni kita dah boleh terima BERSIH sebagai salah satu organisasi neutral yang takde kena mengena dengan parti politik. Korang ingat tak dulu, ramai orang masih takut kat BERSIH? Masa tu, ramai salah faham apa sebenarnya tujuan organisasi berbaju kuning tiba-tiba bersuara dan berdemonstrasi di jalanan sampaikan ada orang ingat BERSIH ni parti politik baru atau hanyalah alat politik parti pembangkang.

BERSIH ditubuhkan dah lama sebenarnya, iaitu pada 2005 dan dilancarkan semula sebagai BERSIH 2.0 dengan matlamat yang sama, iaitu nak tuntut proses mengundi yang lebih baik, bersih dari penipuan dan adil. Pada waktu ni, dah banyak sangat cerita-cerita buruk pasal proses mengundi.

Bersih Tuntutan
Power jugak tuntutan Bersih ni…Via Bersih.org

Ada kata calon bertanding beli undi dari rakyat, ada pulak yang simpan kotak undi tambahanlah, ada yang kata pasal pengundi hantulah. SPR pada waktu tu pun nampak sukar nak pastikan undang-undang pilihan raya dipatuhi oleh semua pihak.

Menurut Asraf, BERSIH mulakan insiatif bangunkan pasukan pemantau sendiri pada 2013 iaitu pada PRU13 sebab SPR tak terima BERSIH sebagai salah satu NGO pemerhati pilihan raya. Untuk PRU13, seramai 1,000 anggota pemantau terlibat seluruh negara. Pada PRU seterusnya, BERSIH masih lagi tak diberi peluang jadi pemerhati malah SPR hanya lantik NGO pro-kerajaan pulak untuk jadi pemerhati.

Editor kami pernah jadi Pemantau BERSIH masa PRN Sarawak 2016. Program Pemantau BERSIH terus dilanjutkan hinggalah pada era PRU14, kerajaan PH terima baik kewujudan program pemantau BERSIH ni. SPR pun dah banyak berubah, dan lebih telus serta terbuka dalam proses pilihan raya.

Pemantau Pilihan Raya
Antara anggota Pemantau BERSIH. Via Bersih.org

Tanggungjawab besar pantau pilihan raya, pastikan tak langgar akta…

Memandangkan pilihan raya adalah proses yang penting untuk negara, maka tugas pemantau pilihan raya ni kena datang dari semangat cintakan keadilan. Nak jadi pemantau pilihan raya pun ertinya korang hanya pantau ye, bukan ikut sekali berkempen dengan parti pilihan korang.

Nak jadi pemantau, kena neutral dan tak pilih kasih. Asraf berkongsi lagi, ada 10 kesalahan pilihan raya yang selalu jadi fokus pemerhatian Pemantau:

  1. Rasuah dan beli undi
  2. Salah guna sumber dan aset kerajaan
  3. Pengaruh tidak wajar kerajaan (pengumuman peruntukan, projek)
  4. Penjamuan dan pemberian hadiah
  5. Intimidasi, ugutan dan keganasan
  6. Institusi awam yang berat sebelah (SPR, PDRM)
  7. Undi awal dan Undi Pos
  8. Masalah daftar pemilih (nama tiada dalam daftar pemilih, nama berulang di kawasan yang berlainan)
  9. Masalah hari pengundian
  10. Perbelanjaan kempen yang berlebihan
Pru14 Kesalahan Pilihan Raya
BERSIH siap bongkar lagi calon bertanding mana satu langgar akta sepanjang PRU14. Via Aliran

Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 misalnya wujud secara spesifik untuk dijadikan landasan kepada apa yang boleh dibuat, apa yang tak boleh dibuat oleh semua pihak yang terlibat dalam sesuatu proses pilihan raya. Jadi, tugas Pemantau yang paling utama adalah nak pastikan semua cakna pasal kesalahan pilihan raya dan nak didik masyarakat supaya libatkan diri dalam proses demokrasi, khususnya dalam usaha pantau pilihan raya ni.

Menurut Asraf lagi, kesalahan paling biasa terjadi dalam pilihan raya adalah salah guna sumber kerajaan, penjamuan (belanja makan besar-besaran), bawa pengundi dengan kenderaan berlogo parti atau calon yang bertanding dan pemberian hadiah. Malah, wujud jugak hari tertentu dimana kesalahan pilihan raya banyak dilakukan iaitu seperti hari mengundi dan isu sekitar undi pos dan undi awal.

Konsert Anak Muda Warisan Pemuda Kimanis Pilihan Raya Bersih
Buat konsert siap ada buffet lagi… tak boleh ye. Via Laporan Pemerhatian BERSIH PRK P.176 Kimanis

Di Kimanis, pasukan pemantau BERSIH rekodkan 27 kesalahan pilihan raya, Warisan-PH didakwa melakukan 19 kesalahan pilihan raya termasuklah penyalahgunaan sumber dan aset kerajaan dan kesalahan merayu undi pada hari mengundi. Manakala BN pula hanya lakukan 8 kesalahan seperti merayu undi dan menimbulkan perasaan tak baik atau permusuhan. Hangat pulak kisah Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo), Exco Pemuda UMNO yang dakwa dirinya diserang kat Kota Kinabalu International Airport (KKIA) lepas koyak gambar Ketua Menteri Sabah, Datuk Shafie Apdal ketika kempen berlangsung.

Papagomo Koyak Shafie Apdal
Kempen provokatif beginilah yang timbulkan perasaan tak senang kepada masyarakat. Via Borneo Today

Pemantau tak dapat ganti SPR dan polis, cuma boleh bantu laporkan je…

Meskipun anggota pemantau ni kerja utamanya adalah pantau perjalanan proses pilihan raya, tu tak bermakna tugas dan tanggungjawab mereka ni bakal gantikan tugas dan tanggungjawab pihak SPR dan polis. Tambah lagi, sebenarnya anggota pemantau ni tak diberi gaji ye… mereka adalah sukarelawan yang boleh terdiri dari orang awam.

Iklan Prk Kimanis Pemantau
Iklan nak jadi sukarelawan pemantau untuk PRK Kimanis dulu. Via Facebook

Biasanya sebelum tempoh proses pilihan raya bermula, BERSIH dah buka peluang jadi sukarelawan pemantau pilihan raya dengan syarat umur kenalah 21 tahun ke atas (atau sehingga umur pengundi diturunkan kelak) dan untuk PRK, sebaiknya orang tempatan dalam daerah tersebut. Mereka diwajibkan untuk datang ke latihan Pemantau untuk sukarelawan baharu, dan kalau dah pernah datang ke taklimat Pemantau sebelum ni, pun boleh je jadi Pemantau semula.

Dalam taklimat tu, korang yang berminat jadi pemantau tu akan diajar sikit-sikit mengenai bagaimana nak laporkan kesalahan dan apa je jenis serta contoh kesalahan pilihan raya. Namun begitu, mereka ni hanya pemantau je. Ertinya, mereka tetap kena laporkan kesalahan-kesalahan yang telah mereka temui khususnya bila terjadi depan mata pada pihak polis dan SPR.

Bn Raih Undi Pilihan Raya Kesalahan
Usaha peraih undi BN pun direkodkan sebagai kesalahan pilihan raya… Via Laporan Pemerhatian BERSIH PRK P.176 Kimanis

Selain tu, mereka turut buka peluang orang awam nak laporkan sebarang kesalahan atau nak adukan apa-apa je berkaitan pilihan raya menerusi portal mereka. Nak adukan terus pada para Pemantau pun boleh, yang penting ada bukti yang kukuh. Kalau sekadar orang nak mengaku tapi taknak teruskan prosedur seterusnya seperti buat laporan polis pun tak guna jugak. Jika ada laporan polis yang dibuat oleh pihak BERSIH kepada pihak polis, mereka akan terus follow up kes tersebut hingga selesai.

Sepanjang pengalamannya, aduan kat portal rasmi mereka iaitu Pemantau.org banyak digunakan ketika PRU14 lalu. Beberapa laporan tersebut datangnya dari rakyat Malaysia yang duduk di luar negara seperti Australia dan Korea berkenaan dengan isu undi pos sehingga BERSIH keluarkan kenyataan rasmi mengecam isu tersebut. Kalau kita imbau semula, memang wujud masalah undi pos semasa PRU14. Namun untuk peringkat PRK khususnya untuk 2 PRK lalu kat Sabah (PRK Sandakan dan PRK Kimanis) , takde laporan kat laman tersebut.

Laman Pemantau Bersih Aduan
Laman Aduan untuk rakyat Malaysia di mana-mana je. -Via Pemantau.org

Laporan dan aduan ni akan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa, jadi korang bolehlah rasa yakin nak pakai kemudahan yang ada untuk tegakkan keadilan dan ketelusan dalam proses demokrasi negara. BERSIH turut keluarkan laporan pemerhatian untuk setiap PRK dan PRN (pilihan raya negeri, macam Sarawak) yang diadakan dan boleh diakses secara percuma di laman web rasmi mereka. Kalau dah penat baca analisis ‘penganalisis segera’, haa bolehlah baca laporan Pemantau BERSIH yang benar-benar ada kat lapangan.

Bersih Kimanis Asraf
Dari kiri: Neldy Jolo, Beverly Joeman dan Asraf Sharafi. Via Malay Mail

Para pemantau takde kepentingan selain dari pengalaman dan kesedaran…

Kami ada tanya jika BERSIH nak ke diberi dana oleh kerajaan, sebab dulu Ambiga pernah cadangkan benda tu ketika majlis makan malam pengumpulan dana BERSIH tahun lalu. Asraf kata BERSIH sekarang ni pun dapat sumber kewangan dari dana sendiri dan hasil sumbangan orang ramai. Cadangan Ambiga pun sebenarnya lebih menyeluruh, iaitu para NGO yang lain pun harus diberikan dana.

Bukan setakat BERSIH je. Tambah lagi, dana BERSIH turut datang dari kerjasama program dengan badan antarabangsa macam Foreign German Embassy dan UK Embassy.

Sebut sumber dana kewangan ni pun penting jugak sebab ada orang kata nak jadi pemantau ni, mesti kena ada kaitan dengan politik. BERSIH adalah NGO ye gais, jadi mereka takde kepentingan politik dan tak dibayar oleh sesiapapun termasuk ahli politik. Asraf mengakui wujud percubaan ahli politik nak bagi dana ‘bersyarat’ kat BERSIH tapi BERSIH tolak dana tersebut. Tu barulah namanya ‘integriti’…

Tabik! Via Giphy

Kalau nak tolong BERSIH terus ‘membersihkan’ proses pilihan raya kita, korang boleh ikuti perkembangan majlis makan malam kutipan dana BERSIH atau dermakan berapa-berapa je yang korang mampu kat sini. Menarik jugak bila kami tengok sejauh mana pencapaian BERSIH, lagi-lagi dengan menggunakan hasil kutipan kewangan dari orang ramai. Nampak betul BERSIH betul-betul buat kerja…

Jadi Pemantau adalah salah satu cara bagaimana nak galakkan penyertaan rakyat dalam proses demokrasi negara. Kalau dulu, lanskap kesukarelawanan khususnya yang berkaitan dengan politik ni dimomokkan kerana suburnya budaya politik rasa takut (politic of fear). Sekarang nilah masa terbaik kita nak lawan semula budaya tersebut dan tanam kembali rasa berani kerana benar pada tempat yang betul.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *