Pelaksanaan PRN Johor kali ni telah menjadikan pilihan raya n sebagai PRN keempat selepas Sabah dan Melaka yang diadakan di luar PRU yang biasanya diadakan di luar serentak dengan kerusi Parlimen. PRN Sarawak sedikit berbeza kerana diorang ada undang-undang negeri tersendiri dan dah memang adat PRN diorang tu dilaksanakan tidak serentak dengan PRU. Namun apa yang menjadikan PRN Johor kali lebih istimewa ada dua perkara: kita dapat perhatikan bagaimana Warisan dari Sabah nak bertapak di Semenanjung Malaysia dan prestasi pilihan raya selepas pelaksanaan Undi18.
Sebelum ni, idea Undi18 ni mengundang banyak respon. Dulu, ramai tolak idea ni kerana beranggapan orang muda di bawah 21 tahun ni tak tau apa-apa dan masih belum matang. Walau bagaimanapun, kecekalan gerakan Undi18 dan akhirnya disokong oleh ahli-ahli Parlimen; ia akhirnya diluluskan serta bakal diimplementasikan dalam PRN Johor.
Pengundi muda jadi cabaran kepada parti bertanding, 3 perkara ni digariskan sebagai cara nak tarik perhatian pengundi muda
Susulan Undi18 dimaktubkan dalam undang-undang negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan bahawa kerajaan perlu bergerak pantas nak selaraskan data terkini direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membabitkan golongan di bawah umur 21 tahun ni. Seramai 6.3 juta rakyat termasuk belum mendaftar sebagai pengundi berpeluang menjadi pemilih pada PRU-15 dengan membabitkan 1.2 juta remaja sudah berusia 18 tahun hingga 21 tahun, selain 4.4 juta lagi individu berumur 21 tahun ke atas yang langsung tidak pernah mendaftar.
Calon bertanding jugak dah diturunkan oleh banyak negeri termasuklah Johor sendiri. Malah, jumlah pengundi baharu bertambah sebanyak 30% iaitu 749,731 pengundi. Dengan tu, jumlah keseluruhan pengundi di Johor ialah 2.5 juta berbanding 1.8 juta pengundi pada PRU14 dulu. Ni tentunya suatu cabaran kepada semua parti bertanding untuk tarik perhatian golongan muda ni.
Bagi Prof Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani yang merupakan Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM), tiga perkara utama harus dilihat bagi nak tarik perhatian pengundi muda yang disebutkan sebagai pengundi atas pagar dan masih takde nilai kesetiaan kepada sesuatu parti.
- Apa isu yang diminati golongan muda? : Isu berkenaan masa depan seperti peluang pendidikan, pekerjaan dan ekonomi harus dirangka dalam manifesti parti. Isu rasuah dan hala tuju negara jugak penting kerana orang muda nakkan masa depan yang lebih terjamin dan bebas rasuah.
- Kaedah berkempen jugak penting: Kaedah berkempen menerusi media sosial dilihat sangat penting khususnya TikTok dan Instagram kerana banyak wacana hal ehwal semasa diperdebatkan di sana.
- Calon pilihan raya yang baharu dan muda: Golongan muda dilihat cenderung untuk mengundi calon dari kelompok rakan sebaya diorang atau calon muda.
MUDA sah bertanding PRN Johor dan dijangka letak 2 calon, PRN Johor dianggap penanda aras untuk negeri lain
Pada 28 Januari lalu, FMT melaporkan bahawa Muda akan secara rasminya bertanding dalam PRN Johor. Menerusi kenyataan Muda di Twitter, PRN Johor adalah permulaan bagi Muda selepas pendaftaran diluluskan pada Disember tahun lalu. Pada Rabu lalu, Pengerusi Muda Johor, Mohd Azrol Rahani kata ada kemungkinan bahawa presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan setiausaha agung, Nur Amira Aisyah Abd Aziz diletakkan sebagai calon.
MUDA secara rasminya akan bertanding di dalam Pilihan Raya Negeri Johor 2022.
Johor adalah permulaan bagi MUDA.
MUDA adalah perubahan bagi Johor.
So let us build a united and prosperous Johor together.
MARI BERSAMA MUDA. https://t.co/p9A469q8pk#JohorBangkit pic.twitter.com/Q6c8A86AfT
— Parti MUDA (@partimuda) January 28, 2022
Kemudian pada 29 Januari, Syed Saddiq sahkan dirinya bertanding sebagai calon Muda untuk PRN Johor. Sebelum ni, media turut melaporkan parti tersebut jugak bersedia letak calon di kesemua 56 kerusi DUN. Sementara tu di Twitter, salah satu isu dalaman Muda tular melibatkan tindakan keluarkan surat amaran kepada salah sorang ahli tertingginya kerana dikatakan dah malukan Presiden MUDA Pahang.
Menerusi bebenang di Twitter, dikatakan bahawa dia ni nak turun ke kawasan terjejas di Kuantan. Tangkap layar perbualan dalam kumpulan Whatsapp yang dimuat naik pulak takde jugak unsur memalukan. Dia jelaskan lagi, oleh sebab takde orang balas.. jadi dia anggap boleh dah turun ke Mentakab atas kapasiti MUDA. Tau-tau dah dihantar pulak surat amaran dari Setiausaha Negeri Pahang.
Akhirnya ahli tersebut pun letaklah jawatan dari MUDA Pahang.
Here is a funny story. Tahu tak apa aku dapat lepas aku mintak clarification dari SUN MUDA Pahang?
Surat amaran. 🤣🤣🤣 pic.twitter.com/mYNzEhg8Qf
— Hidayah Hanipah (@DmpHidayah) January 28, 2022
Biasalah dalam gerakan parti politik, ada kemungkinan boleh wujud jugak perselisihan dalaman seperti ni. Walau bagaimanapun, benda ni tak seharusnya mencalar nama MUDA sebagai satu parti baharu dan potensi kemampuan diorang selaras dengan prinsip demokrasi. Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai sifatkan situasi pengundi muda dalam PRN Johor ni sebagai suatu dinamik baharu dalam politik.
“Saya memang rasa begitu teruja sebab inilah perjuangan Undi18. Memang orang muda berumur 18, 19, 20 tahun akan mampu mengundi dalam pilihan raya akan datang kerana pindaan Enakmen Undi18 dilaksanakan sepenuhnya. Dan Januari tahun ini, kita akan nampak penambahan (pengundi muda)… 700,000 anak muda ini akan meningkatkan jumlah pengundi di negeri Johor sebanyak 40 peratus. Maka ia adalah penambahan yang begitu besar.
Kedua, baru-baru ini juga kita ada pindaan Enakmen Tubuh Kerajaan Negeri Johor untuk menurunkan umur calon selaras dengan Kerajaan Persekutuan. Kita akan nampak ini adalah dinamik baharu, di mana anak muda akan menjadi sebahagian daripada pilihan raya dan menjadi calon, serta kita akan nampak apa yang mereka mahukan. Maka inilah dinamik baharu yang menjadi penanda aras kepada negeri-negeri lain,”- seperti yang dilaporkan Astro Awani