Dalam desas-desus nak PRU15 ni, banyak jugak perkembangan politik yang dapat kita lihat. Salah satu perkara yang kita dapat perhatikan adalah trend nak tubuhkan parti baharu. Keluar parti, nak tubuh parti sendiri pulak. Ada jugak beberapa pemimpin ni, kita pun dah tak tau dia ni wakil parti politik apa. Dari satu sudut, penubuhan parti politik ni boleh dianggap sebagai suatu cara kita nak raikan demokrasi. Namun dari satu sudut pulak, kebanyakan pemimpin yang nak gagaskan parti baharu ni selalu beri alasan bahawa parti lama diorang dah tak selari dengan idea perjuangan. Alasan ni selalu buat ramai terfikir: tak selari dengan perjuangan, atau kepentingan diri?
Parti politik baharu pada masa kini dianggap tak ubah seperti buka perniagaan
Pada 6 September 2020, Presiden MIC Tan Sri S. A Vigneswaran pernah mengulas hasrat Syed Saddiq yang umumkan nak tubuhkan parti politik berasaskan orang muda. Katanya, trend lanskap politik di negara ni dilihat cenderung untuk sewenang-wenangnya tubuh parti baharu jika berlaku pergolakan atau ketidaksefahaman dalam parti.
Memetik laporan Astro Awani:
“(Tubuh parti) ini macam perniagaan sekarang di Malaysia, kalau tak suka buka, buka, buka… kalau kita ada satu jenama itu bukan bermakna mereka tidak boleh buka. Tetapi bolehkah ini membawa kepada ramai lagi pemuda?Bercakap mengenai parti orang muda ini, bukankah kita sudah ada angkatan di Bersatu, pemuda di Barisan Nasional dan pemuda di Pas dan sebagainya, bagi saya itu sudah mencukupi. Bagaimanapun kita tidak boleh halang untuk mereka buka parti baharu, tetapi jangan kita lebihkan kepentingan sendiri,”- seperti yang dilaporkan Astro Awani
Parti yang disebutkan ni kini merujuk kepada parti MUDA. Setakat ni, MUDA sendiri dah terpalit dengan beberapa kontroversi khususnya dalam isu peletakan calon dalam PRN Johor. Baru-baru ni, MUDA dikatakan dah ‘langgar’ PKR apabila MUDA letak jugak calon diorang sehingga bertembung dengan calon PKR di DUN Larkin. Namun kata Akmal Nasrullah merangkap Ketua AMK:
“Keputusan Muda mencetuskan pertembungan sesama pembangkang di Larkin tidak akan ganggu fokus PKR. Tindakan mereka ini hanya mengesahkan tanggapan ramai yang menyifatkan gaya politik Muda masih dangkal dan tidak matang.
Walaupun Muda mempunyai hak demokrasi meletak calon di mana-mana kerusi yang mereka ingin, tetapi kami tertanya-tanya apa motif sebenar Muda?”- seperti yang dilaporkan Utusan
Penubuhan MUDA ni jugak diumumkan selepas Dr. Mahathir keluar Bersatu dan membentuk pula parti baharu yang dinamakan Pejuang. Kedua-dua parti ni akan berentap dalam PRN Johor. Sementara tu pulak, beberapa lagi parti baharu yang didaftarkan seperti:
- Parti Kuasa Rakyat (ditubuhkan oleh abang Ismail Sabri, Kamarazaman Yaakob)
- Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang ditubuhkan oleh Peter Anthony lepas keluar Warisan
- Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang dijenamakan semula dari Parti Pekerja Sarawak (SWP)
Dulu Dr. Mahathir kata orang Melayu akan pecah-belah lepas ni, ada pula tegur parti baharu akan rosakkan demokrasi
Melihat trend seperti ni, tak hairanlah sebelum PRU15 berlangsung nanti… akan jadi lebih banyak parti akan muncul. Namun begitu, banyak pihak mengkritik tindakan tubuh ‘terlalu banyak parti’. Misalnya, Dr. Mahathir dulu menyelar tindakan Syed Saddiq nak buat parti baharu untuk belia. Baginya, setiap parti politik haruslah ada gabungan orang tua dan orang muda. Meskipun peratusan orang muda dalam pengundian ni besar, namun ia masih tak cukup untuk diorang nak menang sesebuah kawasan.
“Dalam mana-mana kawasan, mesti kena ada orang tua dan orang muda. Kami akan pergi kepada golongan muda juga.
Kalau dia (Syed Saddiq) hanya pergi kepada orang muda, agak sukar untuknya berjaya. Tetapi ini adalah negara bebas, dia mahu lakukannya sendiri. Dia pernah menjadi penyokong kuat Pakatan Harapan (PH), dan kini, dia rasa perlu bergerak berasingan daripada kami,”- seperti yang dilaporkan Astro Awani
“Tertarik dengan penubuhan Parti Kuasa Rakyat, di mana ianya mengambil idealogi nasionalisma dan mahu memperjuangkan golongan B40 dan M40, semangat yang ditunjukkan ini bersesuaian dengan nilai-nilai negara kita.Namun begitu, sejauh manakah golongan B40 dan M40 diwakili di dalam Jawatankuasa Penaja parti tersebut. Ratanya-ratanya seperti golongan T20 yang menjadi pemimpin Parti Kuasa Rakyat,”- seperti yang dilaporkan Journal Malaysia
“Keadaan mencemuh dan menunding jari kepada parti lain menunjukkan ketidakmatangan politik, walaupun sebilangan besar mereka adalah pemimpin berpengalaman warga emas. Rakyat terutama pengundi baharu bakal menghukum pemimpin sebegini.”- seperti yang dilaporkan Journal Malaysia