Ulama PAS pernah sifatkan lompat parti sebagai satu tindakan yang takde iman…

F1
Ulama PAS pernah sifatkan lompat parti sebagai satu tindakan yang takde iman…

Salah sebab kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini kelihatan kehilangan sokongan daripada masyarakat Melayu, diorang gagal untuk menyebarkan informasi dan penerangan yang tuntas berkenaan isu-isu yang berkaitan Melayu dan Islam. Permainan sentimen ni pulak adalah kaedah politik berkesan di Malaysia – sebab ramai yang mudah percaya dan terkesan. Inilah kaedah propaganda yang diambil Muafakat Nasional.

Benda ni simple, kami masih ingat tentang bagaimana British sentiasa lagakan Hindu-Muslim di India satu ketika dahulu. Tujuannya satu je – untuk pastikan Hindu dan Muslim tak bersatu menentang diorang. Untuk kekal berkuasa, British akan gunakan sentimen keagamaan untuk buat kedua-dua kumpulan ni bergaduh. Contohnya, diorang akan main isu lembu – sebab Hindu hormat lembu, Islam pulak sembelih lembu.

Akhirnya kedua-dua kumpulan ni bergaduh, dan British terus menjajah India masa tu. Kadang-kadang ada orang yang suka sesuatu kumpulan tu berpecah, supaya mudah untuk diorang kuasai.

Pemimpin yang baik harus diberi peluang, tanpa mengira bangsa dan agama

Untuk bergerak ke hadapan, kami rasa kita perlu jadi rakyat yang tak melihat pada bangsa dan agama semata-mata apabila memilih pemimpin. Kalau korang perasan – kita seolah-olah sanggup ditipu oleh bangsa sendiri asalkan tak dipimpin oleh bangsa lain. Kami tak rasa benda ni baik – sebabnya pemimpin yang ada baik dan ada integriti yang baik perlu diberikan peluang dan ruang, tanpa mengira dia berbangsa apa.

S1
Via UMNO Online

Sebenarnya benda ni dah jadi stigma masyarakat kita, terutamanya masyarakat Melayu. Contoh paling mudah – apabila ada orang jual produk bukan-bukan atau selalu disebut pseudo-sains (senang cerita sains palsu). Secara logiknya, kita kenalah kritik dan tolak produk-produk semacam ini, sebab ia menipu. Malangnya, masih ramai yang tengok penjualnya dahulu – kalau penjualnya bangsa Melayu, orang yang mengkritik produk-produk ni akan dianggap nak jatuhkan Melayu.

Nilai seperti ini adalah tembok besar yang menghalang kemajuan orang Melayu. Sifat ‘simpati’ tak bertempat yang dimiliki oleh masyarakat Melayu sering digunakan oleh peniaga produk palsu dan ahli politik untuk meraih keuntungan. Hal ini memberi sedikit kegusaran kepada kami – sebab kerajaan yang ada pada hari ni – dimotori oleh parti-parti politik yang sangat pro-Melayu.

S1
Contoh. Via Buasir Otak

Masalah pada kumpulan-kumpulan ni, diorang selalunya tak konsisten. Apabila ada isu yang melibatkan lawan mereka, diorang akan ambik apa jua sudut pandangan yang menentang tindakan lawan mereka tu. Apabila ia melibatkan kumpulan mereka, maka tindakan itu akan dicarikan hujah supaya ia menjadi halal.

Dia macam kalau geng-geng dia pergi makan Mekdi, dia akan kata – tak apa sebab Mekdi takde kaitan dengan Israel. Tapi apabila dia tengok lawan dia pergi makan Mekdi, cepat-cepat dia sebarkan pasukan lawannya penyokong Israel. Macam kami katalah, tak konsisten. Ini antara contoh yang kami nak bawakan…

Penceramah terkenal kata amalan lompat parti ni macam takde iman kat dalam hati…

Sebenarnya, dua tahun lepas, seorang ulama PAS pernah mengaitkan tindakan melompat parti sebagai takde iman di hati. Penceramah terkenal dan anggota Jawatankuasa PAS Selangor Ahmad Dusuki Abd Rani kata seseorang wakil rakyat yang melompat keluar dari parti dan kerusinya dianggap membawa dosa khianat sehingga ke pilihan raya umum (PRU) akan datang.

S1
Via MalaysiaKini

“Apakah tiada sekelumit iman di hati para pelompat parti ini?” – Ahmad Dusuki, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Ahmad Dusuki yang dicalonkan PAS untuk merampas kerusi dewan undangan negeri Kota Anggerik – dan kalah perbezaan lebih 17,000 undi – pada 9 Mei lalu mengulas mengenai tindakan anggota dewan undangan negeri (Adun) Guar Chempedak meninggalkan Umno. Sebenarnya, Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz pun pernah kata benda yang sama.

Kata Ahmad Dusuki berlaku lagi “budaya khianat” dalam kalangan wakil rakyat dan menggesa “para alim ulama” mengeluarkan hukum mengenai langkah keluar parti tersebut.

“Apakah dengan mengisytihar (menjadi) Adun atau MP (anggota parlimen) bebas kalian akan dianggap bersih daripada dosa? Para alim ulama perlu mempertegaskan hukum terhadap pelompat pelompat parti ini agar tidak menjadi budaya di kalangan mereka yang telah diberi tanggungjawab untuk mewakili pengundi yang mengundi mereka itu,” – Ahmad Dusuki, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Kata Ahmad Dusuki jika ada wakil rakyat yang mahu lompat parti diorang mesti lepaskan kerusi yang dimenangi tu untuk membolehkan pengundi masing-masing membuat pilihan semula melalui pilihan raya kecil.

Nampak tak poin kami? Ahli politik memang selalunya tak konsisten, sebab tu kena berhati-hati

Kalau lihat daripada ayat yang datang dari tokoh PAS ni – sudah tentu secara prinsipnya dia menolak aktiviti melompat parti kerana tak demokratik dan mengkhianati mandat rakyat. Cuma, apabila partinya sendiri melakukan aksi ‘kerajaan pintu belakang’, sudah tentu ada hujah yang disediakan untuk menghalalkan tindakan itu.

Sebagai rakyat yang bijak, kita harus berhati-hati dengan sesiapa yang menjual sentimen agama dan bangsa. Sebab bukan semuanya ikhlas, kebanyakan mereka tahu hakikat kedua-dua elemen ni boleh meraih sokongan. Tips yang berguna untuk menghadapi ‘godaan’ ini adalah – membaca dan berfikirlah. Ia akan menerangi kehidupan korang.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top