Yang di-Pertuan Agong ampunkan ahli Al-Mau’nah, ini cerita tentang mereka

F1

Baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong telah berkenan untuk memberi pengampunan kepada bekas ahli kumpulan militan Al-Mau’nah. Seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian, Awie (bukan nama sebenar) yang telah dihukum penjara seumur hidup akibat keterlibatannya dalam kumpulan pengganas itu telah dibebaskan selepas menjalani hukuman lebih 20 tahun.

Awie Maunah
Awie memeluk kakak dan anak saudaranya sebaik sampai di rumah. Via Berita Harian

Generasi muda mungkin tidak tahu tentang Al-Mau’nah dan kenapa mereka ditangkap lalu dipenjarakan seumur hidup. Sebenarnya, kumpulan militan ini pernah mencetuskan tragedi sekitar tahun 2000. Jadi kali ini, kami nak berkongsi serba sedikit tentang kumpulan ini.

Latar Belakang Kumpulan Militan Al-Mau’nah, ada yang mendakwa kumpulan ini mempunyai ahli seramai lebih 1,000 orang

Nama sebenar kumpulan tersebut ialah Persaudaraan Ilmu Dalam Al-Ma’unah dan lebih dikenali dengan singkatan Al-Ma’unah. Asalnya, diorang ni budak-budak silat yang belajar ilmu tenaga dalaman dan perubatan tradisional Islam. Ada yang mendakwa kumpulan ini mempunyai ahli seramai lebih 1,000 orang di seluruh dunia termasuk dari Malaysia, Brunei, Singapura, Mesir dan Arab Saudi.

Kisah Disebalik Insiden Al Ma’unah Di Sauk (6)
Ketua Al-Mau’nah via orangperak.com

Kumpulan ini berpusat di Gerik, Perak dan dipimpin oleh Mohamed Amin bin Mohamed Razali. Seperti kumpulan militan yang lain, ahli-ahli Al-Mau’nah juga sangat taksub pada pemimpin mereka iaitu Mohamed Amin. Menurut salah seorang ahli Al-Mau’nah, ketua mereka ini mempunyai kelebihan “ilmu silat fizikal-batin” dan kepakaran menyembuh dan menimbulkan penyakit dari jarak jauh.

Al-Mau’nah nak gulingkan kerajaan Malaysia, berjaya ceroboh kem tentera dan rampas bekalan senjata

Bukan biasa-biasa kumpulan ni. Siapa yang berani ceroboh kem tentera? Tapi inilah yang diorang buat. Benda tak mustahil juga sebabnya, ada dalam kalangan ahli mereka sendiri merupakan seorang Mejar dalam Tentera Malaysia. Jadi dia tahu la selok-belok kem tentera dan di mana senjata api disimpan.

Kisah Disebalik Insiden Al Ma’unah Di Sauk (5)
Senjata Api yang dirampas oleh pengganas Al-Mau’nah. Via revolusimelayubaru.blogspot.com

Menurut bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd Said dalam satu temu ramah oleh Sinar Harian, beliau menyatakan

…Mohamed Amin berlakon dan tahu prosedur tentera hingga boleh memperdaya anggota di dalam kem bahawa mereka adalah anggota tentera yang sebenar telah memaklumkan kepada pegawai yang memerintah di kem tersebut untuk melakukan pemeriksaan mengejut ke atas peluru dan senjata yang disimpan di dalam stor kem itu

Hasil penyamaran tersebut, mereka dah bawa lari sebanyak 114 laras senjata api pelbagai jenis bersama lebih 18,000 butir peluru dari dua buah kem tentera. Selepas itu, mereka menyembunyikan diri di dalam hutan Bukit Jenalik, Sauk, negeri Perak. Amin mengagih-agihkan semua senjata-senjata yang dilarikan tersebut kepada orang-orangnya untuk dilatih.

Penduduk kampung hairan dengan bunyi tembakan dari Bukit Jenalik, polis kepung tempat persembunyian Al-Mau’nah

Siapa yang tak hairan bila kawasan kampung kita tiba-tiba boleh dengar bunyi orang menembak? Itulah yang dirasakan oleh penduduk kampung berhampiran Bukit Jenalik. Rupa-rupanya, kumpulan Al-Mau’nah ni dah bersedia nak buat rusuhan nak lawan kerajaan. Jadi diorang selalu buat latihan menembak.

Kuat gila kott bunyi tembak-tembak ni… siapa yang tak takut? Via Giphy

Bila dah selalu dengar bunyi tembakan ini, tentulah ada yang melaporkan kepada pihak polis. Pihak polis pun kepung Bukit Jenalik untuk menyekat pergerakan kumpulan pengganas ini. Kemudian sejumlah anggota pasukan keselamatan dihantar untuk menyusup masuk ke dalam perkhemahan Al-Ma’unah. Tapi Al-Mau’nah berjaya menawan beberapa orang pegawai keselematan dan seorang penduduk kampung.

Antaranya yang ditawan ialah dua anggota polis iaitu Sarjan Mohd Shah bin Ahmad dan Koperal Detektif Sanghadevan, serta penduduk kampung Jaafar bin Puteh dan seorang anggota komando Grup Gerak Khas ATM, Truper Matthews anak Medan.

Selama lebih 4 hari kepungan polis, seorang ahli Al-Mau’nah ditembak, Al-Mau’nah serang balas

Selama lebih 4 hari kepungan polis dan tentera telah dibuat. Namun, Al-Mau’nah tidak mahu mengalah. Dalam masa yang sama, mereka seksa tawanan dengan pelbagai cara. Salah seorang tawanan, Truper Matthews, akhirnya meninggal dunia akibat diseksa dengan jari-jari kakinya ditembak oleh Mohamed Amin sebelum dibunuh sepenuhnya oleh orang kanan pemimpin Al-Mau’nah iaitu Jemari Jusoh.

Pada pagi 5 Julai 2000, seorang anggota Al Ma’unah, Abu Bakar bin Ismail telah ditembak oleh pasukan keselamatan. Sebagai tindak balas, Mohamed Amin dan rakan-rakannya bertindak membalas tembakan. Semasa tembak-menembak tersebut, Sanghadevan telah terkorban. Mayat Sanghadevan kemudiannya dikebumikan bersebelahan Truper Matthews oleh Mohd Shah dan Jaafar.

Pada keesokan harinya, 6 Julai 2000, pihak polis akhirnya menggunakan pendekatan ‘psychology warfare’ dengan memujuk kumpulan ini supaya menyerah diri. Seorang demi seorang ahli Al-Mau’nah menyerah diri. Kemuncak konflik ini ialah apabila Leftenan Zaini bersemuka dengan Mohamed Amin.

Cubaan Leftenan Zaini untuk memujuk Mohamed Amin ternyata tidak berjaya. Mohamed Amin melepaskan tembakan tapi berjaya ditepis lalu berlakulah pergelutan antara mereka berdua. Akhirnya, Mohamed Amin tumpas lalu menyerah diri.

Kumpulan Al-Mau’nah adalah sejarah berdarah yang mengorbankan anggota keselamatan negara

Pada pagi 4 Ogos 2006, Mohamed Amin telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati manakala tiga orang kanannya,  Zahit Muslim, Jamaluddin Darus dan Jemari Jusoh telah digantung seminggu lebih awal. Ahli-ahli kumpulan Al-Mau’nah yang lain pula telah dihukum penjara seumur hidup. Awie, salah seorang daripada mereka telah diberi pengampunan oleh Yang Dipertuan Agong baru-baru ini.

Whatsapp Image 2019 02 07 At 12.36.15 (1)
Keratan akhbar hukuman yang disabitkan kepada kumpulan Al-Mau’nah. Via Maunah Blog

Semoga Tragedi Bukit Jenalik ini menjadi pengajaran buat kita semua agar tidak mudah terpedaya dan taksub pada sesuatu ajaran sehingga terlibat dalam keganasan. Pertumpahan darah bukanlah penyelesaian pada apa-apa juga isu yang timbul. Biarpun sudah lebih 20 tahun berlalu, pastinya penduduk Bukit Jenalik tidak akan melupakan peristiwa yang mengancam keselamatan mereka ini…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *