Nak beri pengiktirafan kepada pemimpin negara sendiri tu dah biasa dengar. Tapi bila pengiktirafan tu diberikan oleh media negara lain, semestinya ia jadi suatu pujian yang besar maknanya kepada pemimpin dan rakyat negara tersebut. Apa tidaknya, reputasi para pemimpin politik ni berkait langsung dengan nama sesebuah negara.
Kali ni, kami nak ucapkan tahniah kepada Presiden Joko Widodo kerana berjaya dipilih sebulat suara menjadi Tokoh Asia 2019. Tahun ni, Indonesia pun dah alami pelbagai cabaran dalaman hingga terjadinya beberapa peristiwa besar yang dah ragut nyawa rakyatnya sendiri. Kemenangan Jokowi ni ada asasnya jugak…
Dinobat jadi Tokoh Asia 2019, dia kata hadiah tu untuk Indonesia…
The Straits Times, sebuah media yang berpusat di Singapura buat keputusan untuk pilih Jokowi sebagai pemenang anugerah Tokoh Asia 2019. Kisah perjalanan politiknya bermula dari kesederhanaan dan keperibadian Jokowi yang dah memenangi hati rakyat di Solo, Jawa Tengah pada 2005. Dia kemudiannya dipilih semula sebagai Presiden Republik Indonesia lepas mengalahkan pesaingnya, bekas jeneral tentera bernama Prabowo Subianto pada April lalu.
Menurut Warren Fernandez, editor The Straits Time yang turut merangkap pengerusi panel pemilihan tersebut kata bahawa anugerah ni perlu diberikan kepada mereka yang dah beri sumbangan penting kepada Asia. Sambungnya lagi;
“…Bukan sahaja dia menang penggal kedua, dia juga menyatukan Indonesia dan membawa mereka ke hadapan. Sama juga untuk Asean. Terdapat banyak skop untuknya memimpin kedua-duanya lebih keterhadapan jika dia mantapkan lagi kemahiran politiknya dan semangat muhibah seluruh Asia…”- Warren Fernandez, seperti yang dilaporkan oleh The Straits Times pada 5 Disember 2019
Pengiktirafan tersebut sudah pasti diterima sebaiknya oleh Jokowi, dan anugerah ni turut ditujukan kepada Indonesia yang masih memilihnya sebagai pemimpin mereka.
Saingan politik jadi kawan, percaya boleh maju bersama…
Jarang kita nak dengar pemimpin kerajaan nak sepakat dengan pencabar politiknya sampaikan dibawa masuk ke dalam kabinet pentadbirannya. Konsep demokrasi ‘gotong-royong’ kali ni membuktikan kepercayaan Jokowi terhadap kebolehan Prabowo Subianto menerusi lantikannya sebagai Menteri Pertahanan.
Lantikan Prabowo ni dapat tentangan dari pelbagai pihak, khususnya daripada kumpulan hak asasi manusia yang kurang yakin dengan kemampuan Prabowo walaupun dengan pengalamannya dalam bidang tu. Jika dilihat, kebanyakan kritikan ni dilontarkan terhadap prestasi Prabowo ketika dalam ketenteraan kerana rakyat Indonesia amat mengharapkan pembaharuan dalam situasi ketenteraan mereka.
Namun kritikan ni tak mengusarkan Jokowi, dan nampaknya terus meyakini tindakan ni lebih tepat untuk kemakmuran Indonesia pada masa depan. Kata Prabowo sejurus upacara serah terima jabatan pada Oktober lalu;
“Tugas yang diberikan Presiden ke saya adalah untuk ikut membantu, memperkuat TNI (Tentara Nasional Indonesia). Supaya kita bisa semuanya menjaga kedaulatan dan keutuhan wilayah NKRI (Negara Kesatuan Republik Indonesia) ,” – Prabowo Subianto, seperti yang dilaporkan oleh Kompas.com pada 24 Oktober 2019
Tujuh orang muda jadi pegawai pakar dari golongan muda…
Jokowi turut membuka ruang yang besar buat golongan muda apabila tujuh orang muda berusia 23 hingga 36 tahun dah dilantik menjadi sebahagian daripada pegawai pakar yang bakal memberi idea inovatif bagi membangunkan pelbagai sektor negara tersebut.
Antara yang dilantik pun tak kurang hebatnya ye… kebanyakan daripada mereka adalah pengasas dan pemilik syarikat, serta ketua eksekutif syarikat (CEO) start-up yang bermula di tanah air mereka jugak. Malah, salah seorang daripadanya iaitu Billy Mambrasar turut miliki ijazah Sarjana dari Universiti Oxford manakala Angkie Yudistia, usahawan media sosial yang lantang perjuangkan isu hak orang pekak di Indonesia.
Keputusan ni dilihat suatu kemajuan yang memberangsangkan untuk orang muda kerana dari satu sudut, anak-anak muda ni memang dah buktikan kepentingan dan sumbangan mereka terhadap masyarakat. Selain tu, mereka lebih mengerti dilema dan keperluan orang muda di samping mampu jadi inspirasi kepada generasi selepas mereka untuk mencipta nama dan kejayaan tersendiri dengan bantuan teknologi yang relevan.
Lebih banyak cabaran harus diatasi, dalaman dan luaran…
Ni hanyalah secebis dari pelbagai perubahan yang telah dilakukannya sepanjang tahun ni. Namun begitu, kami kena sebut jugak pasal beberapa cabaran utama yang harus diselesaikan oleh Pak Jokowi ni. Dulu, kami dah tulis pasal isu pencemaran plastik di Tropodo dan kes jerebu yang melanda hampir tiap tahun dah sampai rakyat Malaysia dan Singapura pun sesak nafas.
Selain tu, cabaran lainnya adalah isu kematian staf Pemilu 2019, isu demonstrasi besar-besaran mahasiswa dan tuntutan kemerdekaan Papua oleh aktivis ‘Free Papua’. Kami harapkan dengan pengiktirafan yang gah macam ni, Pak Jokowi akan terus fokus menyelesaikan isu-isu domestik dan antarabangsa dengan lebih baik.