Anak Terengganu ni jadi juara dunia semuda usia 20 tahun

Engku Mohamad Ikhwan Engku Shamsu, 20 tahun, mengharumkan nama Malaysia apabila muncul Juara Kejohanan WOBLeague Jerman 2019. Anak Kemaman ni bukan sahaja membanggakan seluruh rakyat Terengganu, bahkan rakyat Malaysia secara amnya.

Kejayaan ni membuktikan segala penat lelah dan pengorbanan yang diberikan Ikhwan sebagai ikon anak muda menerusi sukan ‘Street workout’ dan ‘Calisthenics’ itu berhasil selepas dinobatkan selaku juara dalam kejohanan tersebut.

Sukan ni mula dikomersialkan sejak tahun 2013

‘Calisthenics’ berasal daripada perkataan Greek purba iaitu ‘kallos’ yang membawa maksud keindahan dan ‘sthenos’ bermaksud kekuatan. Ia merupakan satu aktiviti fizikal yang seringkali dijalankan di gimnasium atau di kawasan terbuka seperti di taman rekreasi. Ia mula dikomersialkan pada Julai 2013. Riadah yang kian popular dalam kalangan remaja tempatan ini menggabungkan elemen olahraga dan senaman yang melibatkan penggunaan berat tubuh.

Cuma di Malaysia, gambar orang yang menang lagi kecil dari orang yang ucap tahniah. Via Ganukite

Senaman itu dipercayai melambatkan proses penuaan ini mempunyai banyak gerakan dan rutin yang sesetengahnya mudah dan juga ekstrem. Antaranya adalah: ‘handstand’, ‘human flag’, ‘pull-ups’, ‘chin-ups’, tekan tubi, ‘dips’, ‘muscle-ups’, ‘sit-ups’, joging, ‘skipping’, ‘planche’, dan ‘squat’. Selain membina kekuatan otot, senaman ini menjadi pilihan golongan yang mengidamkan ketahanan dan bentuk fizikal menarik.

Ditambah dengan kewujudan platform media sosial seperti YouTube dan Facebook, ‘street workout’ menjadi semakin terkenal di seluruh dunia. Antara kelab sukan calisthenics popular dalam negara adalah Bar-risan yang ditubuhkan sejak Disember 2011 dan kini sudah memiliki hampir 500 ahli berdaftar di seluruh negara.

Dulu pernah menang Piala Dunia Calisthenics 2016 di Bahrain

Terdahulu, Engku Mohamad Ikhwan Engku Shamsu merupakan antara anggota pasukan yang menjuarai Piala Dunia Calisthenics 2016 di Bahrain. Team Malaysia ketika itu dianggotai oleh dua beradik Zulhilmi Nadzeri, Zulfadli Nadzeri, Shahrul Aizat Jasri, Sheikh Amirul Adli Sheikh Gadaffi, menewaskan 10 pasukan seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Mexico, Sepanyol dan Rusia.

Masa tu, mereka bawa pulang wang tunai AS$10,000 dan piala. Ini kali pertama Malaysia menghantar wakil menyertai kejohanan tersebut. Zulhilmi dan adiknya yang menduduki ranking ke-11 dunia pada 2015, menubuhkan Team Malaysia yang menewaskan Sepanyol iaitu juara 2015 pada perlawanan akhir.

Sado. Via Mynewshub

Ikhwan sedari kecil memang suka memanjat tiang mahupun pokok. Beliau mula bertemu dengan rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama dengannya menerusi laman media sosial dan menubuhkan Turtle Squad di Terengganu, sebelum menyertai pertandingan sulungnya di Teluk Cempedak, Pahang pada 2016, di mana beliau menduduki tempat kedua.

Meskipun pada peringkat awal tidak menyokong (atas sebab keselamatan), ayahnya, Engku Shamsu Che Engku Daik, akhirnya memberi galakan kepadanya.

Pernah jual telefon bimbit semata-mata untuk beli palang besi

Ikhwan merupakan seorang pelajar yang aktif di sekolahnya, dan sering menyertai pelbagai bentuk persembahan khususnya ketika Hari Guru. Beliau dan kawan-kawan asalnya mempelajari teknik daripada video-video ‘Parkour’, yang penuh dengan aksi akrobatik serta ekstrem. Ikhwan malahan pernah menjual telefon bimbitnya pada harga RM400, semata-mata untuk membeli besi palang serta tiang besi, dan dipasang di luar rumah keluarganya untuk Ikhwan berlatih. Beliau turut menjalani latihan di Kompleks Rakan Muda Daerah Kemaman.

https://www.youtube.com/watch?v=VXfhWN1BBpE

Ikhwan telah memenangi beberapa kejohanan di Brunei (2 Oktober 2016), Bahrain (2 Disember 2016) dan Birmingham (13 Mei 2017). Beliau juga telah dijemput sebagai juri di Mesir (April 2017). Pada Ogos 2017, Ikhwan muncul sebagai pemenang tempat ketiga dalam Kejuaraan Dunia ‘Street Workout Freestyle’ di Moscow, Russia di mana beliau bersaing bersama juara dunia seperti Daniels Laizans (Latvia) dan Viktor Kamenov (Bulgaria). Ikhwan berjaya mencipta ‘signature move’ nya dengan penuh bernai dalam setiap kejohanan yang disertai.

Pada 14 April 2018, dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu, Ikhwan dan keluarganya terlibat dalam kemalangan, menyebabkan kecederaan pada bahagian leher. Kereta yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam longkang, ketika pulang daripada satu kejohanan. Namun, dengan doa dan kesungguhan yang tinggi, Ikhwan kemudiannya berusaha kembali kepada prestasi asalnya dan menjalani latihan untuk kejohanan di Sepanyol. Beliau mencipta satu lagi kejutan, apabila mendapat tempat kedua, meskipun telah dua minggu tidak berlatih kerana kemalangan.

Respect. Via Giphy

Semoga Ikhwan akan menempah lebih banyak lagi kejayaan

Senaman jalanan mungkin merupakan satu sukan baru di Malaysia, namun ia telah menunjukkan potensinya. Mungkin ia boleh dikomersialkan apatah lagi sekarang ini ramai remaja yang gemar ke gimnasium untuk bersukan. Selain membina otot mungkin juga mereka boleh mengharumkan nama negara dengan cara ini.

Ikhwan telah menempa nama di persada dunia dengan kesungguhan dan semangat yang tinggi. Beliau telah mengecapi kejayaan demi kejayaan khususnya dengan dorongan daripada ayah beliau sendiri. Kita mesti mengambil semangat Ikhwan dan rakan-rakannya sebagai pengajaran dan terus utamakan kesihatan dengan aktif melakukan senaman. Semoga Ikhwan dapat mencipta lebih banyak kejayaan dalam kejohanan yang diadakan pada peringkat antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *