Kedah menang Piala FA, tapi penyokong masih tak puas hati

Kedah2
Kedah menang Piala FA, tapi penyokong masih tak puas hati

Hang nak p mana? Eh tiba-tiba ter-Kedah lah pulak. Setelah kemenangan Kedah dalam Piala FA beberapa minggu lepas, banyak jugak orang yang tiba-tiba ‘ada kaitan’ dengan Kedah, #doneclaim gitu. Kami kat ORANGKATA tengok jugaklah match tu, berdebar-debar jugak sebab kami takdelah sokong mana-mana, kami sokong pengadil je – sebab tak nak ah kes tahun lalu berulang. Sepatutnya perlawanan akhir dihiasi dengan perlawanan yang mendebarkan, bukan perbincangan tentang pengadil yang tak jalankan kerja dengan baik.

Via Utusan

Lebih-lebih lagi kita ada pengadil importkan, bukan calang-calang gitu. Walaupun Kedah dah menang Piala FA, tapi nampaknya ada segelintir penyokong diorang yang tak puas hati. Ini sebab diorang tak puas hati…

Mungkin sebab Kedah main bola sepak macam main badminton, main lambung-lambung…

“Dok main bola lambung”. Itu antara rungutan lazim penyokong Lang Merah yang dapat dibaca kat media sosial. Ini termasuk selepas merangkul Piala FA. Takdelah semua penyokong Kedah cakap macam tu, sebahagian penyokong Kedah je yang masih sukar terima cara pasukan diorang bermain musim ni. Walaupun tak parking bas ala Mourinho tapi terlalu kerap menggerakkan serangan menerusi hantaran jauh tu agak merimaskan penyokong.

Gol dari bola mati atau serangan yang digerakkan bermula dengan hantaran jauh bukan ‘DNA Kedah’ tapi di bawah kendalian jurulatih import dari Singapura tu, taktikal tersebut antara yang banyak digunakan. Sedangkan Kedah untuk satu tempoh terkenal dengan hantaran pendek, mempunyai penguasaan bola di bahagian tengah yang kemudian menghasilkan serangan tersusun hasil build up menarik.

Ini menyebabkan banyak gol dihasilkan secara sempurna iaitu hasil 40, 50 sentuhan atau lebih sebelum bola menerjah ke jaring lawan. Benda ni jadi satu kepuasan kepada penyokong yang menonton.  Penyokong Kedah takdelah terlalu demanding tapi diorang mahu kekalkan tradisi skuad Samba iaitu bermain secara cantik, terbuka dan menyerang.

Tapi itulah bola sepak, bukan sekadar untuk memenangi kejuaraan. Sukan tu adalah satu seni yang perlu ada padanya elemen menghiburkan bagi menarik penyokong ke stadium. Kat liga utama Eropah, ada jurulatih yang digantikan walaupun memberi kejuaraan. Real Madrid pernah melakukannya ke atas Fabio Capello yang dikritik kerana menerapkan corak permainan yang hambar..

Tapi ada jugak perkara yang peminat Kedah sepakat, diorang yakin jurulatih beri peluang pada bakat-bakat muda tempatan. Bukan sahaja masa bermain tapi memberi mereka peluang untuk diturunkan dalam aksi genting termasuk final Piala FA malam tadi.

Takdelah main sampai level macam ni. Via Giphy

Kepercayaan kepada bakat muda Kedah adalah satu legasi setiap jurulatih Lang Merah. Biar tak dilimpahi wang sehingga terpaksa melepaskan beberapa pemain di awal musim, namun Kedah tidak pernah pupus dengan ‘ubi’ yang menjadi idaman skuad-skuad lain.

Lagi satu, nampaknya mutu pengadilan dalam final kali ni dipuji ramai…

Mutu pengadilan dalam final kali ni dapat reaksi positif daripada pelbagai pihak. Kebanyakan peminat bola sepak negara dan pegawai, termasuk netizen dilihat berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh pengadil dari Jepun, Takuto Okabe, 38, serta dua penolongnya, Yagi Akane, 45, dan Nomura Osamu, 30.

Perkara ini turut diakui oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Md. Dali Wahid.

“Kita berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga pengadil ini yang dibawa khas dari Jepun. Saya pun ada mendapat maklum balas baik mengenai prestasi mereka dan majoriti, termasuk pegawai Persatuan Bola Sepak malaysia (FAM) berpuas hati dengan prestasi mereka. Secara peribadi, saya rasa beliau tenang, mempunyai karisma, tidak panik dan mempunyai prinsip pengadilan yang baik. Keputusan yang dibuat dan cara beliau menangani situasi sukar juga tidak membuat pemain marah.” – Md. Dali Wahid, dipetik dari UTUSAN

FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ambik keputusan untuk gunakan pengadil luar negara buat kali pertama dalam saingan domestik berikutan isu mutu pengadil tempatan, termasuk pada final Piala Malaysia di antara Terengganu dan Perak.

Via Berita Harian

Okabe adalah pengadil utama saingan J1 League yang telah menjadi pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak tahun 2015 dengan pengalaman mengadili perlawanan Liga Juara-juara AFC dan Piala AFC dari 2016, Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2015 di Korea Selatan, Universiade 2017 di Taiwan serta Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Tahniah kepada Kedah, lepas ni Piala Malaysia…

Power Kedah, moga lepas ni diorang akan lebih berjaya. Nampaknya demam bola sepak kat Malaysia akan diteruskan dengan Piala Malaysia. Setiap pasukan yang bertanding dah pun tahu kumpulan masing-masing, agak-agaknya sejauh mana Kedah boleh terbang dalam Piala Malaysia kali ni?

 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top