Usai tertutupnya tirai penutupan Sukan Sea 2019, banyak benda yang kita boleh jadikan sebagai pengajaran apabila tiba giliran kita nak jadi tuan rumah kelak. Sukan Sea kali ni dapat kritikan meluas bukan je dari pihak kita, tapi dari rakyat Filipina sendiri. Sepanjang acara besar tu berlangsung, tanda pagar #SEAGames2019fail dan #SEAGamesFail jadi bukti bahawa Sukan Sea kali ni memang bermasalah.
Duterte dikecam, kos perbelanjaan tak sepadan dengan kualiti…
Belum lagi majlis pembukaan, rakyat Filipina dah kritik isu kos perbelanjaan yang besar hingga Ketua Minoriti Senat Filipina Franklin Drilon dedahkan bahawa sebuah bank di Malaysia dah pinjamkan hampir RM1 juta kepada Filipina untuk tampung sebahagian perbelanjaan penganjuran Sukan Sea yang ke-30 ni. Tambah lagi, beberapa infrastruktur penting seperti pusat media dan tempat duduk dikatakan masih lagi belum siap walhal kos perbelanjaan yang dirancangkan adalah kira-kira sebanyak RM96 juta.
Pictures of Rizal today.
They painted it to make it look like benches? Ran out of money?
They put tents because the dugouts are not done? 🤷🏽♂️#SEAGames2019 pic.twitter.com/Cyu3Xvn925
— Gregorio Y. Larrazabal (@GoyoYLarrazabal) November 26, 2019
Rakyat Filipina yang turut ikuti perkembangan penganjuran Sukan Sea ni di tanah air mereka turut malu dan lebih tegas mengkritik kerajaan Duterte sehingga wujudnya khabar berlakunya rasuah dan penyelewangan dana yang sepatutnya untuk melancarkan acara besar tu. Malah, tak kurang dari seminggu sebelum majlis pembukaan pada 30 November, masih ada kelibat para pekerja binaan yang tengah siapkan beberapa binaan.
Perkara ni turut diakui oleh Presiden Duterte sendiri, dan dia telah arahkan siasatan dijalankan untuk memastikandakwaan orang ramai mengenai wujudnya rasuah dan penyelewengan dana untuk acara sukan antarabangsa ni. Ni kena sangatlah dengan polisi tegasnya memerangi rasuah dalam perkhidmatan awam.
Makanan tak cukup, pihak perubatan tak cekap…
Selain dari kos perbelanjaan yang nampak macam tak sepadan je dengan hasilnya, bekalan makanan pula dikatakan tak cukup sampai ada negara terpaksa minta kedutaan negaranya agar hantar lebih banyak makanan. Di samping tu, isu penyediaan makanan yang dikatakan tak cukup khasiat serta dikhuatiri status halalnya hanya memburukkan tuan rumah Filipina.
Pihak atlet dari Singapura misalnya, dikatakan terpaksa buat pesanan makanan tambahan dari luar hotel je sebab makanan yang disediakan oleh pihak pengurusan tak cukup. Isu makanan halal pun disuarakan oleh banyak pihak khususnya daripada kalangan atlet Muslim dari beberapa negara. Lebih mengejutkan lagi, perkara ni dah dimajukan oleh National Commission on Muslim Filipinos (NCMF) bahawa bekalan penyediaan makanan halal ni tak harus dipandang rendah.
“Saya telah memberi amaran kepada mereka tentang senario (masalah) makanan halal ketika dalam mesyuarat untuk Sukan SEA pada September lalu, dan tawarkan bantuan dari NCMF. Kami diendahkan (oleh pihak pengurusan).”- Dimapunto Alonto Datu Ramos Jr., Pengarah Hal Luar NCMF seperti yang dilaporkan oleh Rappler.com pada 27 November 2019
Negara kita pula tak berhadapan dengan masalah tu kerana dah jangkakan perkara ni mungkin berlaku, dan dah sedia bawa makanan halal siap-siap. Pihak media kita jugak terjaga makan minum mereka, dengan kerjasama tajaan syarikat Adabi dengan Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM). Nampaknya semangat kesukanan ni utuh betul kat jiwa kita, dah bersedia dari awal untuk merentasi cabaran yang bakal tercipta sebagai tetamu negara lain.
Kalau korang ingat lagi, jaguh silat kita dalam Kelas B Putra (50-55 kg) iaitu Muhammad Faizul M Nasir terkandas ketika perlawanan menentang Dines Dumaan. Peserta tuan rumah tu secara jelas dah tendang kepala Faizul ketika sedang terbaring, dan dibiarkan terbaring menahan kesakitan lebih dari tiga minit tanpa dapat bantuan perubatan ketika wasit sedang kira markah.
Terlalu banyak pemain import, macam terlebih satu negara…
Begitulah pandangan wartawan Harian Metro, Saiful Afendy Sapran mengenai situasi Sukan Sea kali ni. Filipina turut dilabel oleh Saiful Afendy sebagai temasya ‘cap ayam’ kerana tak capai kualiti antarabangsa sebagaimana yang diharapkan. Ye lah, banyak masalah yang timbul hingga dilihat merencatkan proses latihan para atlet sukan dari negara-negara jiran kita.
Selain dari acara yang Filipina sudah begitu pasti dapat mendominasinya seperti acara kurash, jiujitsu dan kick-boxing, tuan rumah kelihatan agak galak memilih ‘pemain import’ sebagai atlet mereka;
“Satu lagi yang menarik ialah Sukan Sea seperti disertai 12 negara berbanding kebiasaannya 11 negara… Ini kerana Filipina ‘mengimport’ begitu banyak atlet luar semata-mata untuk memastikan mereka mendominasi acara tertentu. Antaranya yang amat jelas adalah dalam sukan olahraga dan ragbi.”- Saiful Afendy Sapran, sepertimana yang ditulis dalam Harian Metro pada 12 Disember 2019.
Pandangan ni menarik perhatian kami sebab budaya guna pemain import ni tak hanya setakat berlaku dalam temasya sukan semegah Sukan Sea, malah ia dah lama diamalkan dalam peringkat kolej dan universiti sejak 2006 apabila mereka tengok prestasi pasukan mereka khususnya dalam bola keranjang lebih baik lepas terima masuk beberapa pemain bola keranjang dari Nigeria.
Walaupun hal ni taklah boleh disenaraikan antara masalah Sukan Sea kali ni, namun isu ni bagi kami wajar diambil sebagai pengajaran kerana kini, ramai pemerhati sukan dan tokoh politik Filipina yang mulai bimbang dengan kesan amalan tersebut ke atas pertumbuhan bakat sukan negara mereka.
Kena belajar dari kesilapan, harus lebih bersedia lain kali…
Sukan Sea 2019 kali ni adalah satu medan baharu untuk menguji Syed Saddiq selaku Menteri Belia dan Sukan, di samping mengukur prestasi para atlet muda kita yang kebanyakkannya masih perlukan pengalaman untuk kembangkan bakat mereka. Gelanggang e-sports pun kita dah nampak sejauh mana kita boleh pergi.
Meskpun kita terlepas sasaran pingat kita iaitu sebanyak 70 pingat emas, kami yakin bahawa semangat dan bakat atlet kita setaraf dengan atlet antarabangsa dengan sokongan rakyat dan negara.
Apa yang berlaku di Filipina, bermula dari aspek pengurusan dan kos perbelanjaannya hinggalah ke budaya import pemain; ni adalah satu pengajaran buat kita agar tak mengulangi silap tuan rumah ni. Kita kini sedang menunggu aksi atlet paralimpik untuk Asean Para Games 2020, dan kami ucapkan semoga berjaya pada para atlet paralimpik kita yang akan harumkan nama negara nanti!