Zamsaham beli pasukan bola sepak Kelantan, di atas kertas sebenarnya susah nak dapat untung

Wew
Zamsaham beli pasukan bola sepak Kelantan, di atas kertas sebenarnya susah nak dapat untung

Baru-baru ni kecoh bila para penyokong setia Valencia FC mengecam pemilik kelab diorang dari Singapura, Peter Lim. Semuanya sebab kelab yang penuh sejarah tu sekarang ni makin teruk dari segi prestasi dan pengurusan diorang. Tambahan pulak, Peter Lim ni suka buat keputusan sendiri tanpa ambil kira pandangan penyokong kelab tu. Pemain berpengaruh macam Parejo dan Francis Coquelin pun dengan tenang je Peter Lim ni jual ke Villareal.

Dengan alasan pandemik Covid-19 dan kehilangan dana sebab penyokong tak boleh masuk ke stadium, pengurusan Valencia nampaknya memang tak ada usaha proaktif nak selamatkan kelab tu, malah ada berita angin duk tersebar yang diorang akan jual kelab tu tak lama lagi. Bukan saja kelab tu tak layak ke Champions League, Liga Europa pun diorang tak dapat pergi sebab mata tak cukup, posisi pun nombor 9 liga. Benda ni diburukkan lagi dengan anak Peter Lim, Kim Lim yang rajin membahan penyokong kelab bapak dia kat Instagram.

Zamsaham Ambik Alih TRW, dah berjaya tukar status kelab dari FA kepada FC

Tengah serabut soal Valencia, muncul pulak berita jutawan pelaburan, Norizam Bin Tukiman atau gelarannya, ‘Zamsaham’ nak ambik alih skuad Kelantan FA yang bermasalah. Malah, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sekarang dah diswastakan jadi kelab, ini benda positif yang wajar dipuji. Daripada sebuah pasukan yang sentiasa sarat dengan pelbagai masalah, The Red Warrios (TRW) sekarang sah jadi milik Zamsaham yang melabur RM6.8 juta (RM3 juta pembelian saham dan RM3.8 juta untuk penyelesaian hutang), seterusnya jadi pemilik saham syarikat The Red Warriors (TRW) Sdn Bhd.

Hutang ni termasuklah tunggakan gaji bekas pemain dan pegawai TRW pada 2017 hingga 2020. Semua gaji Khairul Fahmi Che Mat, Brendan Gan, Sathit Bensoh, Flavio Beck Junior, Bruno Lopez, Alaeddine Bouslimi, Alessandro Padovani Celin, Limam Seydi, Mohd Hisham Jainuddin, Mohd Hashim Mustapha, Faris Shah Rosli, Mohd Nor Farhan Mohamad, Yusri Che Lah, Mohd Badhri Mohd Radzi dan Amiridzwan Taj Tajudin dah pun dilunaskan pengurusan baru Kelantan FC.

Bagi yang tak kenal Zamsaham ni, dia dah mula menceburkan diri secara tak langsung dalam bidang pelaburan saham semenjak dari bangku sekolah lagi dengan mengikut bapa dan bapa saudaranya yang melabur saham pada tahun 1994. Dia terlibat secara langsung pada tahun 1999 sebagai pelabur di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) – sekarang dikenali sebagai Bursa Malaysia. Dia pernah berkhidmat sebagai seorang Remisier berlesen di Rhb Investment Bank Berhad dari tahun 2003 sehingga penghujung tahun 2018.

Zamsaham1
Zamsaham. Via Utusan Malaysia

Zamsaham ni berkelulusan dalam bidang pelaburan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). Merupakan Ahli bersekutu Market Technician Association bagi kelulusan Chartered Market Technician (CMT) yang berpengkalan di New York, USA. Dia jugak ada Lesen Perunding Unit Amanah Saham yang dikeluarkan oleh Federation of Management Unit Trust Malaysia (FMUTM) dan kini dikenali sebagai Federation Investment Managers Malaysia (FiMM).

Pada tahun 2008 dia dapat Lesen Wakil Niaga Pasaran Hadapan Bursa Malaysia (FKLI) dan Pasaran Hadapan Minyak Mentah Sawit Malaysia (FCPO) lepas lulus ujian Modul 14 (Futures and Options) dan Modul 16 (Rules & Regulation of Futures and Options). Zamsaham ni jugak merupakan Presiden Persatuan Pelabur Strategik Melayu Malaysia (PPSMM).

Zamsaham ni ada perancangan lain, dia katanya nak cuba bina rangkaian hotel dekat Malaysia

Satu benda bagus pasal Zamsaham ni, dia ada idea yang bagus untuk ambik alih hotel-hotel yang tengah nazak. Dengan idea untuk bina rangkaian hotel Muslim terbesar Malaysia (dia cakap 220 buah hotel), benda ni menarik jugak untuk dibaca. Zamsaham cakap, dia nak satukan hotel-hotel ni untuk elakkan ada pihak yang hancurkan kualiti hotel Malaysia, bila banyak hotel yang nazak sebab bahana Covid 19. Masalah bila harga hotel dah murah, nampak macam positif untuk orang ramai (sebab mampu milik), tapi akan ada masalah bab kualiti. Daripada masalah pepijat sampailah isu jadi sarang pelacur, benda ni perlu dibendung kat negara kita.

Zamsaham1
Sebenarnya dia dah ada hotel. Via Booking.com

Lagi satu, nak tukar status persatuan bola kepada kelab ni bukanlah semudah tukar nama FA kepada FC semata-mata macam salin kulit. Pemilik baru sesebuah pasukan tu bukan sekadar ambil alih pasukan daripada kroni lama.

Sebaliknya, benda ni perlu babitkan kepakaran teknikal tertentu sebab akan babitkan pengurusan kelab yang bertanding dalam Liga Super, Bawah 21, Bawah 19, Liga Kementerian Pendidikan Bawah 17, dan program pembangunan tunas. Sesebuah kelab tu jugak perlukan pengurus yang mampu bagi maklumbalas dan pelaporan terperinci pasal perkembangan kelab dari aspek Indeks Prestasi Utama (KPI) pasal keseluruhan pasukan junior dan senior yang bertanding – dari liga tunas sampai lah ke Liga Super. Leceh dan rumit wooo, bajet pun juta-juta, bukan setakat ribu-riban.

Cabaran paling besar pastinya nak dapatkan pemain pelapis berkualiti yang boleh kekal sampai peringkat senior untuk bersaing dalam Liga Super. Satu lagi, nak cari pemain import yang bagus pun bukan senang. Zaman 90an dulu kita ada Karel Stromsik, Mehmet Durakovic, Alan Davidson, Ervin Boban, Zoran Nokilic, Jan Janostak, dan Adigun Olubumi. TRW sendiri pernah ada Ghaddar, Dickson Nwakaeme, dan Obinna Nwaneri – tiga-tiga ni memang padu tahap gaban, sampai selalu jadi igauan lawan.

Kalau kat atas kertas, sebenarnya pembelian TRW ni hampir mustahil nak buat untung. Tapi…

Kat atas kertas, mana-mana pemilik yang melabur dalam liga bola Malaysia, hampir mustahil akan dapat keuntungan daripada kelab diorang. Tapi, diorang biasanya akan dapat ‘mileage’ dan pengaruh dari segi politik dan nama akan jadi makin besar, sebab tu ramai ahli politik minat pegang pasukan negeri, walaupun bermusim.

Dalam konteks Zamsaham, dia boleh luaskan kedai burger, hotel, pasaraya dan perniagaan dia kat sluruh negeri Kelantan, lepas ambik alih TRW. Selain akan bagi peluang pekerjaan kepada anak Kelantan, sentimen yang kuat jugak akan membolehkan ramai rakyat Kelantan beri sokongan kepada perniagaan dia.

Via Giphy

Tengok macam mana Hotlink daripada tak ada ‘customer based’, sekarang dah ada jutaan pelanggan kat Kelantan sana. Sama jugak dengan jenama macam Adabi, dulu bukanlah jenama yang jadi pilihan ramai kat negeri Cik Siti Wan Kembang tu.

Semuanya bermula dengan penajaan kepada pasukan Kelantan. Bola dan orang Kelantan sangat dekat. Kalau kita faham orang Kelantan utamakan produk-produk dari Kelantan, sebab tu Adabi dulu susah nak jual, sama juga apa yang dibuat oleh Zamsaham. Prospek jangka panjang.

Dan jika bergantung penajaan kepada pasukan bola sahaja untuk jana untung, memang tak akan untung. Penajaan ni memang akhirnya akan jadi kerugian, tapi bukanlah hangus, sebab ada ‘keuntungan’ tak langsung, iaitu perluasan penjenamaan. Kos RM6.8 juta sebenarnya adalah harga yang berbaloi untuk kelab yang masih punya potensi macam TRW, sebab kelab tu ada ramai penyokong setia, dan rakyat yang ada semangat kenegerian yang tebal.

244002 Gallery (1)
Pasukan yang pernah digeruni satu ketika dahulu. Via Goal.com

TRW jugak terkenal dengan sejarah pasukan yang melahirkan bakat-bakat bolasepak. Ini bukan biasa-biasa, ubi-ubi muda kelahiran Kelantan ramai dan buktinya, diorang 7 kali Juara Piala Presiden dan ada yang berkelana ke luar negara sebab bakat diorang tidak dapat dikesan oleh Persatuan negeri. Jadi, elemen sejarah, perniagaan, pengaruh penyokong, dan minat Zamsaham sendiri jadi ramuan paling sesuai untuk dia ambik alih pasukan tu.

Tetapi untuk menjana pendapatan, TRW seharusnya mengetengahkan balik jenama WARRIORS yang sudh pasti akan menarik kuasa peminat untuk membeli jersi yang asli, sekaligus akan menambah pendapatan kelab.

Apa pun, kita tunggu dan lihat je lah apa akan jadi kat skuad Kelantan ni. Selagi mana pengurusannya okay, prestasi pasukan pun biasanya boleh pergi jauh jugak. Penyokong pun akan mula percaya balik kat pasukan diorang. Bak kata sorang penyokong TRW, “Keno kenal bare bohhhh. Asalke jange tukar kala stadium jadi pink, beyeh belako!”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top