Selalu dibuli di media sosial? Langkah ‘SKIPS’ ni boleh bantu anda hadapi serangan

F1

Di sebalik pencapaian dan kebaikan kemajuan dunia Internet ni, kita nampak sendiri kesan buruknya. Walaupun Malaysia menduduki tangga teratas dalam senarai negara yang sopan dalam dunia siber, masih wujud lagi kes-kes buli siber yang buatkan ramai merana, tergugat keselamatan peribadinya dan jatuhnya reputasi mangsa buli siber ni hingga ada yang dibuang kerja.

Oleh sebab tu, Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) kongsikan lima tips penting yang boleh korang lakukan jika korang ataupun keluarga dan kenalan korang jadi mangsa buli. Lebih mudah lagi, korang boleh ingati langkah ni dengan SKIPS.

Skips
Via MCCHR

1. Nak bersuara atau nak senyap? Terpulang pada keadaan korang…

Langkah pertama yang dicadangkan oleh MCCHR adalah kenalpasti dulu risiko kalau nak bersuara lawan pembuli tersebut atau nak senyapkan je dulu. Ada beberapa keadaan yang dirasakan sesuai untuk korang bersuara melawan pembuli siber tu, antaranya:

  • Bila nak tegur tindakan pembuli tu salah dan tak boleh diterima, supaya orang lain pun takkan buat benda yang sama.
  • Bila nak tegaskan yang korang pun ada hak dan ruang sendiri untuk mengekspresikan diri sendiri. Pembuli seharusnya hormat hak dan ruang tersebut.
  • Bila kuasa dan harga diri korang digugat atau diancam, seperti gambar atau video korang tu akan disebarkan jika tak layan pembuli tersebut.
  • Bila korang nak beri pendidikan pada pembuli tersebut, sebab kadangkala pembuli ni pun sebenarnya tak berniat jahat meskipun ayatnya kat media sosial tu tampak kasar ataupun mereka tak tau fakta sebenar.
  • Bila korang nak inspirasikan mangsa buli siber ni agar mempertahankan diri sendiri
Ni secara terangan dah kira membuli. Via Giphy

Bila korang rasa nak bersuara lawan pembuli siber tu, ayat nak balas tu mestilah bernada tenang, tak marah-marah dan menyatakan pendirian korang secara jelas. Ingat ye; bukan korang berdua je kat ruang maya – orang lain pun turut baca jugak interaksi korang, lagi-lagi bila korang ‘diserang’ dahulu dengan kata-kata yang tak manis.

Kalau korang memilih untuk berdiam diri, takde masalah jugak sebab pada akhirnya, korang lebih maklum dengan keadaan sebenar dan risiko yang mungkin hadir jika korang lawan jugak. Kebiasaannya, platform media sosial dah sediakan fungsi yang membolehkan korang halang sebarang interaksi daripada akaun individu yang lain.

Via Giphy

Kesenyapan korang tu tak bererti korang kalah, sebaliknya korang buktikan korang ni cukup kuat untuk tak layan orang yang tak penting untuk dapat perhatian dan masa korang. Lagipun, korang boleh je buat laporan kepada pihak berkuasa dan pentadbir platform tu sendiri jika korang rasa tak selamat atau rasa terganggu dengan si pembuli siber tadi.

2. Kumpul dan simpan bukti, boleh heret pembuli ke muka pengadilan…

Kita ni ada undang-undang jugak. Sedangkan nak heret orang yang tak nak bayar hutang pun diperuntukkan dalam undang-undang, apatah lagi dengan isu pembuli siber ni. Malah, platform media sosial sendiri pun turut memiliki peraturan sendiri agar para pembuli siber ni dapat hukuman setimpal. Tapi sebelum tu, mereka tetap nak jugak tengok bukti sebelum tentukan pembuli tu boleh dikenakan tindakan atau tak.

Via Giphy

Sebab tu bukti ni amat penting ye. Beberapa tips nak kumpul bukti yang relevan:

  • Pastikan butirannya jelas, seperti masa, tarikh dan lokasi atau jenis platform media sosial tersebut
  • Deskripsi perasaan korang ketika membaca atau berhadapan dengan pembuli siber tu pun penting juga untuk didokumentasikan.
  • Jika peristiwa buli siber tu menjadi lebih buruk hingga korang dah rasa tak selamat, korang boleh tuliskan jugak apa yang jadi antara korang. Ni sesuai jika dah sampai tahap mereka ekori korang di tempat kerja dan rumah.
  • Butiran saksi pun penting jugak untuk dicatatkan supaya kes korang tu lebih kukuh jika nak dibawa ke mahkamah.
Via Giphy
  • Bukti boleh dikumpulkan dalam bentuk tangkap layar (screenshot) dan salin link URL tu kat mana-mana dokumen elektronik. Kat Notepad pun boleh, dan simpan fail tersebut dengan baik.
  • Kalaulah korang perlu lebih banyak bukti lagi, korang boleh minta rekod kat syarikat perkhidmatan servis tu. Biasanya syarikat perkhidmatan servis ni pandai jugak korek fail elektronik yang membuktikan sekurang-kurangnya korang pernah dihubungi oleh si pembuli tu.
  • Sediakan ruang simpanan untuk fail tersebut, seperti dalam pendrive atau kat platform servis simpanan fail dalam talian seperti Google Drive atau Mediafire.
Cloud File Storage
Boleh mudahkan korang akses kat mana-mana je… -Via AIS Network

3. Maklumkan pada keluarga dan kenalan rapat yang dipercayai, NGO dan pihak berkuasa…

Pendedahan mangsa buli siber ni amat penting kerana perkara tersebut buatkan lebih ramai orang sedar dengan kes buli siber serta modus operandi si pembuli siber tu. Boleh jadi si pembuli siber ni tak hanya sekadar membuli je… boleh jadi dia ni pun sebenarnya dah menganggu keselamatan peribadi korang dan mangsa lain lagi.

Selain tu, korang jugak dinasihati agar maklumkan perkara tersebut pada keluarga dan kenalan rapat yang dipercayai. Buli siber ni tak hanya berlaku pada orang dewasa je; kanak-kanak pun terdedah kepada risiko dibuli siber oleh rakan-rakan sekolah yang lain. Takkanlah korang taknak tau jika anak atau adik korang dibuli?

Jika ramai sedar buli siber tu salah, mangsa pun lebih berani tampil ke hadapan…Via Giphy

NGO pun boleh bantu sebarkan kesedaran terhadap masalah korang, di samping berikan nasihat yang patut dan bantuan moral untuk korang. Mangsa buli siber kerapkali akan menghadapi masalah emosi terganggu serta takut, malu nak mengaku bahawa mereka jadi mangsa buli. Korang ingat lagi tak istilah ‘hati tisu’ atau ‘cepat koyak’? Mestilah mangsa buli ni takut digelar macam tu sedangkan si pembuli tu bahagia je cari mangsa lain untuk dibuli.

Antara NGO yang boleh korang laporkan insiden buli siber tu adalah Pusat Komas dan PeopleACT. Kami dah tengok sikit laman web Pusat Komas ni, dan nampaknya Pusat Komas ni mengumpul laporan mangsa buli siber yang berkaitan dengan perkauman. People ACT pula lebih menyeluruh dalam menangani isu buli siber di Malaysia.

Report Racism
Korang pun boleh tolong laporkan apa-apa komen atau post yang berbaur perkauman- Via reportracism.komas.org

Korang pun boleh laporkan pada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan insiden buli siber tu. Di sinilah bukti amat penting bila nak buat laporan tu agar menyenangkan pihak berkuasa menyabitkan si pembuli tu dengan dakwaan yang berkaitan.

4. Lindungi identiti dan data peribadi korang, kurangkan risiko korang disasarkan oleh para pembuli siber…

Mungkin pada awalnya, korang ni sekadar balas komen terhadap satu-satu isu tu macam nak bincang je. Namun lama-kelamaan, si pembuli siber ni baca tu tak puas hati lalu korek data peribadi korang menerusi butiran yang korang sendiri paparkan kat profil korang. Haa.. ni cara paling mudah orang yang cari korang terutamanya jika korang selalu guna fungsi geo-tagging kat post atau imej yang korang muat naik.

Geotag Google Peribadi
Via Engadget

Selain tu, korang kena berhati-hati dengan data peribadi korang jugak. Dah panjang lebar kami terangkan pasal data peribadi tu dan bahayanya bila korang sesuka hati kongsikan butiran sensitif di alam maya. Potensi korang untuk ditipu, digodam, dicuri wang dan identiti tu memang tinggi kalau tak berhati-hati.

Antara benda yang korang boleh buat sebagai langkah nak jaga data tersebut:

  • Pasang perisian anti-virus, firewall, dan anti-spyware dekat komputer peribadi korang.
  • Jangan kongsi sebarang nombor penting seperti TAC korang, tiga digit nombor kat belakang kad korang termasuklah kata laluan korang.
  • Pastikan korang tengok betul-betul laman web yang korang masuk tu sah atau tak
  • Kurangkan muat naik foto peribadi korang kat media sosial ataupun kat dalam talian. Dah berapa banyak artis luar kena ugut disebabkan penggodam berjaya ambil gambar-gambar peribadi kat iCloud dan lain-lain tu…
Via Giphy

5. Sentiasa peka dengan perubahan kesihatan mental dan emosi korang, khususnya lepas ‘diserang’ pembuli

Pembuli siber tak semestinya sorang je; boleh jadi pembuli siber ni datang berkelompok. Masing-masing nak kecam sorang mangsa sampai tak peduli dah bahawa orang yang mereka dok hina dan kecam tu manusia biasa jugak. Memanglah mangsa tu boleh jadi murung dan sedih hingga menganggu kesihatan mental mereka.

Via Giphy

Pelbagai bantuan wujud untuk bantu korang meluahkan perasaan korang tu, selain dari sokongan moral dari keluarga dan kawan-kawan korang. Antaranya adalah Befrienders dan All Women’s Action Society (AWAM). Kami dah tulis sikit pasal Befrienders dan apa je fungsi mereka – yang lebih mustahak adalah korang kena jaga kesihatan mental korang tu.

Banteras buli siber terutamanya bila sebut isu perkauman dan agama…

Dengan situasi politik kita yang kini diterajui oleh parti-parti yang berprinsipkan Melayu dan Islam ni, kami rasa semua rakyat Malaysia, khususnya untuk pemimpin kerajaan Muafakat Nasional lepas ni kena lebih berhati-hati bila nak sebut pasal isu kaum dan agama ni. Bukan apa, warganet ni kadangkala selalu ulang balik je apa pemimpin cakap dan anggap tu lah yang paling benar.

Kita sendiri dah lama rasai bagaimana budaya politik takut dan politik perkauman yang diamalkan oleh UMNO dulu, jadi kami pun tak nak lah budaya tersebut muncul kembali. Betul tak?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *