Tanda-tanda korang sedang dimanipulasi dalam perhubungan

Manipulatif

Ramai orang tak nak mengaku bahawa mereka sedang dimanipulasi dalam hubungan sebab mereka tak nak hilang orang yang mereka sayang. Atau, mereka tak nak mengaku kena manipulasi sebab mereka tak nak nampak lemah. Ye lah, mestilah korang tak nak ingat diri korang ni senang je kena manipulasi, kan? Kali ni kami nak kongsi sikit pasal satu trick yang selalu orang terpedaya dalam mana-mana hubungan pun, tak kiralah dalam persahabatan sehinggalah perkhawinan.

Rahsia trick ni adalah ia susah nak dikesan

Bukan salah korang kalau korang boleh termanipulasi. Teknik si pemanipulasi pakai selalunya agak susah nak perasan. Haa… nama teknik tu adalah gaslighting. Kata dasarnya, gaslight ni benda yang buatkan korang percaya dengan si pemanipulasi tu walaupun dengar cerita pun dah tak masuk akal. Lebih teruk, si pemanipulasi akan salahkan korang sampai ke tahap mereka sanggup kata korang ni mungkin dah sakit mental.

Akibat fitnah, apa yang keluar dari mulut korang tak dipercayai dah. Via Vulture

Oleh sebab korang tak nak dikata sakit mental, maka korang pun takde pilihan selain terima cerita mereka walaupun dari sudut hati, korang tau korang betul. Tambah lagi, susah nak perasan beza antara gaslighting atau sekadar menegur. Buatkan korang rasa keliru dan akhirnya rendah diri pula. Bila si pemanipulasi dah berjaya rendahkan diri korang, perkara ni lah yang buatkan penipuan-penipuannya lebih senang!

Untuk jangka masa panjang, emosi yang korang tahan-tahan selama ni akan memakan diri. Korang jadi mangsa penyeksaan emosi si pemanipulasi tu tadi. Kawan-kawan korang suruh tinggalkan si dia pun korang tak nak sebab korang pun dah percaya kata-katanya pasal korang selama ni. Buruk padahnya, kan?

Penipuan dan penafian berulangkali sampai korang dah malas tanya

Kalau korang dah sampai tahap ni, boleh jadi dia dah lama manipulasi korang. Psychology Today kata kedua-dua cara ni adalah cara paling efisien supaya korang mula ragui pendirian awal korang dan perlahan-lahan dapat terima pendirian mereka. Hmm… kalau pendirian mereka pun dah menyimpang dari perkara yang benar, susahlah korang dan perhubungan korang sendiri.

Boleh jadi mereka sendiri yang pura-pura lupa atau sengaja lupa dengan apa yang mereka pernah janji kat korang dulu. Kawan nak pinjam duit, nanti minggu depan bayar. Bila korang tanya balik bila nak bayar, kawan tu kata dengan muka terkejut:

“Eh, ye ke? Salah orang ni kot, takde pun”. Via Gifimage

“Cepatnya koyak, hati tisu betul lah awak ni!”

Biasalah kalau bergurau senda, kadangkala orang boleh terlebih batas walaupun niat mereka baik. Kita sendiri pun ada batasan peribadi masing-masing yang boleh jadi berlainan antara satu sama lain. Ni disebabkan oleh perbezaan pandangan, pengalaman dan banyak aspek. Jadi, kadang-kadang gurau ‘main nama bapa’ pun orang boleh terasa.

Dalam hubungan korang dengan si dia, tak dinafikan jika kita lebih senang terasa dengan apa yang mereka katakan sebab kita mesti dah jangka mereka tahu batasan peribadi kita secara lebih dekat. Tapi si pemanipulasi akan selalu berulangkali langgar batasan tersebut, dan bila korang cuba minta mereka hentikan, mereka akan kata hati korang “terlalu sensitif.”

Via Gfycat

The National Domestic Violence Hotline jelaskan, sebenarnya teknik ni teknik lama tapi berharga. Kesannya, mangsa akan rasa keperluan dan perasaan mereka tak penting. Dari titik ni, korang akan mula rasa koranglah yang salah. Mereka dilihat hampir takde masalah dalam banyak hal. Ini dipanggil minimizing dan boleh membawa kepada blame-shifting.

Tiba-tiba diberi hadiah dan dipuji penuh mesra, korang pun hairan

Kami tak kata kalau pasangan korang tu beri hadiah dan puji korang ertinya tengah gaslight korang. Takde masalah pun, lagi-lagi bila memang korang patut dapat pujian dan hadiah misalnya baru dapat kerja baru atau tengah sambut orang baru dalam keluarga. Kami maksudkan dalam situasi hubungan toksik dimana si pemanipulasi ni tiba-tiba jadi baik. Hadiahkan benda mewah dan puji banyak-banyak.

Via Giphy

Kerana korang dah biasa kena komen sana sini, jadi korang akan rasa dengan berbakul pujian tu, mereka taklah teruk sangat. Sebenarnya cara ni memastikan supaya korang terus tahan bersama mereka dalam hubungan tu walaupun mereka sendiri dah sedar apa yang mereka dah buat diam-diam kat korang tu salah.

Si pemanipulasi akan ‘ceraikan’ korang dengan kawan dan keluarga

Kalau dulu, korang boleh harapkan sokongan dari kawan-kawan dan keluarga. Sekarang ni, semua pun dah macam menjauh. Takpun, semua akan backup si pemanipulasi. Apatah lagi kalau korang dah kahwin, tak ramai berani nak komen banyak sebab ‘tu rumahtangga korang’. Walaupun ada benarnya, kawan dan keluarga kena dengar dua sisi pihak sebelum nak menyebelahi mana-mana pihak.

Dalam gaslighting pula, awal-awal korang dah takde ‘pihak’. Kenapa? Sebab si pemanipulasi dah cakap kat kawan dan keluarga korang bahawa korang ni ada masalah mental sikit. Mungkin, di belakang korang tu si pemanipulasi dah yakinkan bahawa korang ni bermasalah sampaikan orang jadi susah nak percaya cakap korang.

Via Giphy

Boleh jadi si dia sendiri yang buatkan korang nak ‘ceraikan’ diri dari kawan dan keluarga. Mereka akan mula yakinkan korang bahawa korang hanya perlukan dirinya je. Mereka semua tak boleh percaya dan penipu. Di sini timbulnya sesi mencipta fitnah dan spekulasi supaya kepercayaan korang dengan kawan-kawan serta keluarga semakin goyah sehingga di akhirnya, korang hanya percaya dia sorang je.

“Saya marah sebab sayangkan awak, awak kena ingat tu.”

Nampak macam ayat biasa yang datang dari niat baik dan ikhlas, kan? Tu yang si pemanipulasi nak korang fikir. Ayat macam ni boleh dijadikan sebagai alasan yang paling sesuai untuk membolehkan dia buat apa yang dia suka, termasuklah memukul korang. Mangsa yang dah lama kena dera dari fizikal dan mental khususnya dalam perkahwinan hanya boleh terima je nasib mereka pun sebab dah lama kena gaslighted oleh pasangan mereka.

Via Channel 4

Bila korang dah tak boleh pisahkan mana satu yang betul dan salah, korang hanya akan ikut definisi ‘betul’ dan ‘salah’ korang. Ni dipanggil kehilangan identiti, satu lagi kesan yang disengajakan supaya korang hanya menurut pandangan si pemanipulasi je. Kalau kawan nak sedarkan, boleh jadi korang akan bermati-matian menyebelahi si dia walhal perspektif orang luar tu membantu untuk analisis semula keadaan dinamik hubungan korang.

Malangnya, tak mudah mengecam para pemanipulasi dari jauh

Para pemanipulasi ni tak sekadar antara pasangan, malah turut merangkumi banyak jenis dan tahap hubungan. Daripada persahabatan, pekerjaan, profesional, perkahwinan dan kekeluargaan; biasanya para pemanipulasi ni terdiri daripada mereka yang terdiri dari sifat pentingkan diri, sosiopat dan psikopat.

Perbandingan antara tiga benda ni. Via Quora

Dalam sesetengah kes, teknik gaslighting  ni digunakan untuk kawal dinamik sesuatu hubungan dan ia ‘dipelajari’ sejak mereka kecil melalui keadaan hubungan kekeluargaan. Oleh demikian, adalah penting untuk kita bina kefahaman dan membentuk kesedaran terhadap gaslighting khususnya apabila ia berlaku dengan orang terdekat kita. Lebih banyak kita tahu, lebih senang untuk kita ambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan terkenanya gaslighting ni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *