Ketua Polis Negara yang baru dikagumi, rupanya pernah jadi bos cawangan khas

Baru-baru ini, tular gambar Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang duduk duduk sebelah anggota polis bertugas di dalam sebuah kereta. Kisahnya, kereta beliau rosak di lebuh raya, dan kereta peronda datang memberikan bantuan untuk menghantar beliau balik ke Bukit Aman. Terkejut beruk anggota polis di dalam kereta peronda itu, apabila Abdul Hamid masuk duduk depan sebelah pemandu. Inilah wajah ‘Malaysia Baru’ yang sebenar –jawatan tinggi bukan untuk bermegah dan dibanggakan, tapi peluang untuk berkhidmat, selain menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat.

Minggu lalu, Abdul Hamid sekali lagi membuat kejutan apabila membuat lawatan ke beberapa buah balai polis dengan berpakaian serba santai – berbaju t-shirt lengan pendek dan seluar jeans biru. Bukan saja penuh kasual, malah beliau hadir tanpa iringan skuad pengiring UTK.

Disangka datang ke balai untuk membuat laporan polis

Ketika lawatannya ke Balai Polis di Damansara Utama, Abdul Hamid yang baru saja dilantik selaku KPN bulan lalu, malah dihampiri oleh seorang anggota polis yang tidak menyangka apa-apa, bertanyakan jika beliau mahu membuat laporan polis. Anggota polis itu kemudiannya terkejut apabila menyedari identiti Abdul Hamid, kemudiannya meminta maaf, dan memuat naik gambar KPN itu di dalam media sosial, sehingga menjadi tular.

Selain Damansara Utama, Abdul Hamid turut mengunjungi balai polis di Bidor (Perak) dan Taman Melawati (Selangor) secara mengejut. Siri lawatan KPN ini menerima pujian netizen dan orang ramai, kerana tindakan ini dilhat bersifat membumi serta tidak terlalu mengikut protokol. Seorang pengguna Facebook, Hilbert Montell menulis komen: “Ini baru KPN, terbaik bossku.”

Via Malaysiakini

Selain bertujuan melawat serta bertanyakan mengenai kebajikan anggota polis di balai-balai yang dikunjungi, Abdul Hamid juga mahu mendengar pandangan mereka mengenai penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Matlamat utama penubuhan IPCMC, iaitu satu daripada 128 cadangan dikemukakan RCI yang ditubuhkan pada 29 April 2005 adalah untuk mengendalikan siasatan terhadap sebarang laporan membabitkan penyalahgunaan kuasa oleh anggota polis.

Sebagai sebuah badan bebas, IPCMC bakal menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan berperanan menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku polis. Terdahulu, Abdul Hamid menerusi kenyataan kepada portal berita dilaporkan menyokong idea penubuhan IPCMC dan mahu agensi itu bekerjasama dengan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk berkhidmat kepada PDRM serta masyarakat.

Via NST

Beliau turut melihat keadaan berek polis lama di Bidor dan akan berusaha untuk meyakinkan pihak berkaitan untuk memperbaiki keadaan tempat tinggal para anggota polis itu.

Latar belakang yang hebat, pernah berkhidmat di Cawangan Khas

Abdul Hamid mengantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang bersara wajib pada 3 Mei 2019. Mohamad Fuzi dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 4 September 2017. Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, surat pelantikan KPN yang baharu itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Pelantikan Abdul Hamid selama dua tahun berkuatkuasa pada 4 Mei lalu.

Disebalik pelantikan Abdul Hamid, tidak semua rakyat mengetahui latar belakang sosok tubuh yang pernah mendapat perhatian media pada 2015 itu. Abdul Hamid yang dilahirkan pada 7 Ogos 1958 di Kuala Lumpur pernah menjawat jawatan pada peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Anak kepada konstabel polis ini membesar di beberapa berek polis – di Pudu, Kuala Lumpur; Serendah, Rawang; Jerantut, Pahang; dan Tampin, Negeri Sembilan.

Power. Via Giphy

 

Hamid mula menyertai polis pada November 1979, sebelum ditugaskan ke Jabatan Cawangan Khas di Bukit Aman pada 1980 hingga 1996. Sepanjang lebih 42 tahun berkhidmat dengan PDRM, beliau pernah menjadi Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak (1999), Pengarah Jabatan Cawangan Khas Selangor (2001), Pengarah Jabatan Cawangan Khas Kelantan (2005), dan banyak lagi.

Pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya oleh kerajaan Indonesia

Dikenali sebagai seorang yang tegas dan komited terhadap tugasnya, Abdul Hamid pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya (bintang kepahlawanan tertinggi) oleh kerajaan Indonesia di atas jasanya membantu negara jiran itu melumpuhkan kegiatan Jemaah Islamiah (JI) dan Daesh (ISIS).

Abdul Hamid menjadi perhatian pada 2015 apabila membuat pendedahan mengenai pihak tertentu yang menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain mendesak siasatan terus ketika menjawat jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman. Beliau bagaimanapun ditukarkan ke pejabat Perdana Menteri pada September tahun yang sama di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

Bila lah mamat ni nak ditangkap. Via The Star

Namun, itu bukan pengakhiran kerjaya Abdul Hamid apabila beliau dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman mengantikkan Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff selepas Kerajaan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *