Kisah kapal S.S Jeddah hampir karam bawa jemaah haji, melahirkan agensi mengurus jemaah haji

Fok

Sebelum ni kami dah pernah kongsikan sikit pasal protokol jemaah haji pada tahun ni, di mana hanya seramai 1,000 orang je yang terpilih untuk menunaikan haji dalam dunia norma baharu. Untuk pengetahuan korang, jemaah dari Nusantara khususnya dari Tanah Melayu merupakan antara kelompok masyarakat Islam yang tak pernah putus dari mengerjakan haji.

Tapi ada satu peristiwa yang menggemparkan dunia berlaku pada 1880, iaitu apabila sebuah kapal dari Singapura yang membawa jemaah haji dibiarkan je untuk karam manakala kapten kapal serta anak-anak kapal tu lari menyelamatkan diri. Peristiwa tu menyebabkan British dikecam teruk, hingga mereka terbuka hati nak pakai idea orang Arab untuk wujudkan agensi urus jemaah haji.

Urusan Haji Ke Mekah Melayu
Jemaah haji tengah berangkat dari Tandjong Priok, Jawa Barat.. Via Facts and Details

Sempit dan kotor, keadaan jemaah haji belayar dari Nusantara disifatkan lebih teruk dari keadaan kapal hamba abdi

Sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu, orang Islam dah mulai belayar jauh lebih lama. Apatah lagi untuk sampai ke Mekah dan Madinah sebelum pengangkutan kapal wap, mereka dah belayar guna kapal layar atau naik kapal pedagang Arab yang singgah di Aceh dan kemudiannya diturunkan di Hadramaut, Yaman atau terus ke Jeddah.

Lepas pembukaan Terusan Suez, kapal-kapal wap mendominasi jalan perairan dari Nusantara ke Tanah Arab sekaligus melenyapkan penggunaan kapal layar secara beransur-ansur. Penjajah Eropah mulai sedar bahawa mereka boleh buat duit dengan sediakan pengangkutan kapal wap tu pada jemaah haji, jadi pada 1865, syarikat-syarikat perkapalan tawarkan perjalanan yang dikatakan lebih selesa dan pantas menggunakan kapal wap.

Kapal Haji
Kapal Kuala Lumpur yang bersedia berlabuh ke Mekah dari pelabuhan Pulau Pinang.. Via Berita Mediacorp

Bayangkan, perjalanan ke Jeddah dipendekkan daripada 2-3 bulan menjadi 3 minggu je. Mestilah ramai yang nak ikut kapal wap kan? Namun begitu, keadaannya takdelah selesa sangat kerana kapal-kapal wap ni sengaja nak cari untung lebih dengan memuatkan seramai boleh hingga melebihi muatan. Akhirnya, keadaan padat dan sesak ni jugaklah yang menyebabkan penyakit berjangkit mudah tersebar seperti cacar.

Ada jugak kapal-kapal wap ni sebenarnya cuma kapal kargo, tapi di luar rekod, mereka bawak jugak jemaah haji hingga melebihi berat muatan yang sepatutnya. Hal ni turut berlaku dalam kapal-kapal yang berlabuh kat India dan Negeri-Negeri Selat, dimana mereka hanya dibiarkan bersesak tanpa ada pemantauan dari pihak pemilik kapal misalnya dari segi kebersihan, bekalan makanan dan minuman, pengaliran udara dan kawasan tempat tidur.

Kapal Haji Penumpang Malaya
Penumpang beratur di Pelabuhan Pulau Pinang, dahulu dikenali sebagai Swettenham Pier..- Via Bernama

Keadaannya sangat teruk, sampaikan ada catatan dari Kapten Henry Carter menyatakan bahawa keadaan kapal yang bawak jemaah haji ni lebih teruk dari kapal hamba abdi. Mereka terpaksa bersempit sesama sendiri, berlanggar bahu dengan orang lain yang tak diketahui tahap kesihatannya serta terpaksa berhati-hati agar tak ditimpa barangan kargo yang dibawa sekali.

Insiden kapal hampir karam mengejutkan dunia, kapten kapal cuma lari selamatkan diri dan dakwa semua penumpang dah mati

Pada 17 Julai 1880, sebuah kapal milik pedagang British iaitu dinamakan sebagai S.S Jeddah dikatakan sarat membawa jemaah haji dari Singapura untuk menuju ke Pulau Pinang, seterusnya terus ke Tanah Suci Mekah. Setelah 18 hari pelayaran tinggalkan Pulau Pinang pada 20 Julai, jemaah haji dalam kapal S.S Jeddah terpaksa meredah gelora ombak yang ganas dan perubahan cuaca yang tak menentu.

Akibatnya, banyak peralatan kapal rosak hingga menyebabkan kapal tersebut mulai ditenggelami air perlahan-lahan. Pada 7 Ogos, enjin kapal berhenti berfungsi manakala layar terpaksa bertukar ganti kerana dipecahkan angin ribut. Penumpang kapal yang terdiri daripada jemaah haji tak berhenti-henti ceduk air keluar supaya tak karam.

Ss Columbia Gambar
Gambaran rekaan kapal wap pada 1880. Ni adalah S.S Columbia.. Via Wikimedia

Kapten kapal S.S Jeddah, lebih pendek dilaporkan media ketika tu sebagai Kapten Clark, putuskan untuk selamatkan diri dan arahkan anak-anak kapal lain turunkan bot keselamatan untuk mereka je dan meninggalkan para penumpang yang sibuk ceduk air. Tindakan tersebut mengundang kecaman dari para penumpang tu sebab tentulah sebilangan kecil penumpang je akan selamat.

Mungkin Kapten Clark masa tu yakin sangat S.S Jeddah tak dapat diselamatkan sebab mereka ada palsukan jumlah rasmi penumpang yang berada dalam kapal tu. Dalam senarai rasmi, cuma 953 orang je. Namun begitu, yang berada di kapal tu adalah kira-kira 992 penumpang dengan 50 anak kapal lalu menjadikannya 1042 orang dimuatkan dalam S.S Jeddah.

Haji Jemaah Kapal British
Jemaah haji di atas sebuah kapal menuju Mekah pada 1913.. Via University of Leeds

Atas kerjasama penumpang lain, isyarat kecemasan “We are sinking” diikat kat salah sebuah tiang layar dan “Send immediate assistance” di sebuah tiang yang lain. Nasib baiklah sebuah kapal wap British bernama Antenor ternampak isyarat kecemasan tersebut dan sempat menyelamatkan para penumpang yang lain dengan membenarkan sebahagian penumpang naik ke kapal Antenor sehingga cukup muatan. Lepas tu, Antenor menunda kapal S.S Jeddah ke pelabuhan terdekat iaitu Aden pada 11 Ogos.

Kapten Clark pulak pada hari yang sama, selamat dan sejahtera kat darat pulak melaporkan kapal S.S Jeddah dah karam. Dia kemudiannya menuntut insurans ke atas kapal tersebut dengan mendakwa semua penumpang disahkan lemas. Korang jangan hairan ye, insurans ni dah lama wujud sejak wujudnya tamadun Mesir lagi.

Berita ni meletup di dada akhbar antarabangsa, sebab ada dua laporan yang bertentangan mengenai S.S Jeddah. Kapten Bragg yang tunda S.S Jeddah kata penumpang selamat manakala Kapten Clark tu pulak dakwa S.S Jeddah dah karam. Yang pasti, hal ni menimbulkan isu yang lebih besar iaitu piawaian dan pemantauan yang tak cekap ke atas syarikat-syarikat perkapalan ni.

Agensi haji yang berfungsi kawal selia urusan haji sudah pernah dicadangkan, tunggu dikecam barulah dilaksanakan

Susulan tu, idea pembukaan agensi haji yang dicadangkan oleh Dr. Abdul Razzack sebagai Naib Konsul British di Jeddah akhirnya diterima baik oleh British. Cadangan tu sebenarnya dah popular beberapa tahun sebelum insiden S.S Jeddah pada 1880, tapi tu lah… nak kena kecam teruk, barulah British nak fikir. Bermula 1881, usaha British untuk merangka semula urusan pengangkutan haji dilaksanakan.

Tiket Haji Dari Bombay Mekah 1886
Tiket untuk jemaah haji dari Bombay ke Mekah pada 1886.. -Via Foreign Policy

Sejak tu lah, polisi British akhirnya mengetengahkan sedikit ruang untuk jemaah haji kembali pulang dengan selamat dan teratur. Kapal-kapal pengangkutan jemaah haji ditambah baik. Konvensyen Kebersihan Antarabangsa tahun 1921 dan 1926 pulak menandakan lebih banyak pembaharuan untuk menjamin kebajikan dan keselesaan kepada para penumpang.

Misalnya, cadangan Abdul Majid Zainuddin sebagai Pegawai Haji Tanah Melayu Pertama yang mengutamakan pemberian makanan kepada penumpang kapal khususnya untuk jemaah haji mendapat perhatian British. Kalau korang berminat nak ketahui lebih lanjut tentang sejarah pelayaran dan pengangkutan jemaah haji sebelum Perang Dunia kedua, korang boleh rujuk kajian Dr. Aiza Maslan (2017) kat Jurnal Sejarah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *