Korang mungkin pernah terbaca kes sorang pelajar Tingkatan 4 saman cikgunya sebab tak datang masuk kelas selama lebih dari 3 bulan. Ramai jugak orang sokong tindakan pelajar saman guru, dan ada jugak yang kata pelajar tu kurang ajar sebab berani nak saman cikgu dia sendiri. Kes tu takdelah lama sangat; ia dilaporkan dalam pelbagai platform media pada 2018.
Kali ni kami nak tinjau semula perkembangan kes tersebut, lagi-lagi kes ni sebenarnya menunjukkan budaya cikgu tak masuk kelas terutamanya kat Sabah masih lagi dalam tahap yang membimbangkan. Lebih mengecewakan lagi, pertukaran kabinet seterusnya Menteri Pendidikan sama ada di bawah BN, PH atau PN; semua dilihat gagal selesaikan isu ni.
Ni fakta kes mahkamah, guru besar dan pegawai pendidikan dah tau guru selalu tak hadir tapi didakwa sengaja berdiam diri
Benda ni dah terjadi lebih lama, iaitu pada 2015. Guru yang disaman, iaitu Jainal Jamran tak masuk kelas pelajar yang saman tu sepanjang tahun persekolahan. Pada waktu ni, cikgu tersebut dikatakan menerima gaji penuh sedangkan kalau ikut undang-undang penjawat awam, ketidakhadiran lebih dari 7 hari dah boleh kena tindakan tatatertib. Ia tak berlaku kat Jainal Jamran.
Hal ni dilaporkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud, Jabatan Pendidikan Sabah dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Walau bagaimanapun, kegagalan para pegawai kat Pejabat Pendidikan untuk mengambil tindakan munasabah atas isu ponteng kelas secara ekstrim ni tentunya sangat menghampakan.
Pegawai kat Jabatan Pendidikan Sabah pun mengaku memang tau pasal kes guru ponteng kelas ni, tapi masih gagal mengambil apa-apa tindakan termasuklah potong gaji guru tersebut. Dikatakan sehingga 7 bulan ketidakhadiran, Jainal Jamran masih lagi menerima gaji penuh sebagai sorang guru yang bertugas. Dahlah kat sekolah tu, dia memegang kuasa sebagai Guru Disiplin.
Para pelajar kelas tersebut siap bagi bukti ketidakhadiran cikgu Bahasa Inggeris mereka tu kat Pengetua. Sebuah mesyuarat tertutup diadakan melibatkan Jainal Jamran, Pengetua serta para pegawai dari Pejabat Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Sabah; di mana guru tu pun gagal kemukakan alasan wajar atas ketidakhadiran ke sekolah.
Lebih menyedihkan, pada Oktober 2015 tu pulak… didakwa ada berlaku usaha tawaran dan pemalsuan kenyataan dari pihak Pengetua kepada para pelajar kelas yang mengadu tu. Pelik jugak, yang si mangsa ni pulak disuruh untuk menandatangani surat akujanji untuk bercakap perkara yang baik-baik tentang cikgu yang ponteng teruk tu. Kalau tandatangan surat tersebut, mereka akan dapat guru Bahasa Inggeris baharu. Kelas subjek Bahasa Inggeris masih lagi kosong lepas tu.
Pada bulan yang sama jugak, dikatakan Pengetua sekolah tu sengaja berjumpa dengan tertuduh, Jainal Jamran lalu mendakwa telah menyuruhnya agar palsukan tandatangan bagi “membuktikan” bahawa guru tersebut ada masuk kelas. Takde pun dia masuk sebenarnya, siap dapat gaji penuh tanpa perlu bekerja sehari pun kat sekolah tu.
Defendan gagal menjalankan tugas dalam bidang kuasa masing-masing, Nafirah terus heret KPM ke Mahkamah Tinggi
Nafirah Siman, bekas pelajar tingkatan 4 yang pernah tular pada 2018 kerana tindakannya saman guru serta kerajaan kerana kegagalan pegawai-pegawainya mengambil tindakan sewajarnya ke atas isu guru ponteng kelas kini sedang menunggu tarikh perbicaraan yang dijadualkan pada tahun ni.
Sorang anak perempuan tunggal daripada 5 adik beradik serta dibesarkan oleh sorang ibu tunggal, Nafirah terpaksa tunggu habis SPM baru dapat kemukakan saman ke atas guru tersebut. Antara defendan yang disenaraikan dalam kes tersebut termasuklah:
- Muhyiddin Yassin (Menteri Pendidikan pada tahun 2009-2015)
- Mahdzir Khalid (Menteri Pendidikan pada tahun 2015-2018)
- Dr. Maszlee Malik (Menteri Pendidikan pada tahun 2018-2020)
- Dr. Mahathir Mohammad (Menteri Pendidikan sementara pada 2020)
- Dr. Radzi Jidin (Menteri Pendidikan pada 2020, setakat artikel ni ditulis)
Melihatkan kes ni tak lagi mendapat liputan awam, seterusnya tak dapat perhatian selanjutnya oleh orang awam menyebabkan isu pendidikan di Sabah seolah dihakis waktu; kami harap korang sebagai pembaca artikel ni sedar bahawa isu pendidikan nasional tidak terhad fokusnya pada kerangka bahasa, perkauman dan infrastruktur.
Isu guru ponteng kelas seperti ni banyak berlaku kat Sabah, dan kami percaya, turut berlaku secara senyap dalam sekolah-sekolah kat negeri-negeri lain. Bahkan Dr. Maszlee Malik yang dilihat agak bangga apabila berjaya membongkar program bantuan makanan yang tak cukup sifat sendiri tetap gagal menyelesaikan beberapa hal kritikal berkaitan pendidikan di Sabah.
Jika korang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang perjalanan kes Nafirah, korang boleh rujuk kat laman web Tiada.Guru . Lebih banyak bahan dan rujukan tambahan untuk korang faham pasal isu pendidikan di Sabah khususnya dalam isu ketidakhadiran guru. Kami tak kecam guru ye, kami kecam guru-guru yang ‘bermasalah’ sebab perkara ni tak adil untuk mana-mana pihak pun. Para guru pun rugi, pelajar pun rugi.