Islam tak melarang pemimpin untuk isytihar harta, pemimpin PAS tersilap hadis

Islam tak melarang pemimpin untuk isytihar harta, pemimpin PAS tersilap hadis

Nampaknya Parlimen Malaysia kembali bersidang pda awal bulan ni, dan antara usul hangat yang diperdebatkan oleh wakil rakyat adalah isu isytihar harta. Macam-macam pandangan yang ada tentang isu ni, dan pandangan yang paling menarik datang daripada Tuan Ibrahim Tuan Man yang kata isytihar harta kepada umum ni sebenarnya ditegah dalam Islam. Disebabkan pandangan ni, ramai yang jadi hairan dan datang dengan persoalan adakah Islam larang pemimpin untuk mempunyai semangat integriti?

Ustaz Wanji kata ia selaras dengan kaedah fiqh, Islam memang pentingkan integriti

Menurut ustaz Wanji – secara dasarnya, Islam amat menekankan integriti, akauntabiliti dan transparensi dalam berpolitik. Apatah lagi, salah satu sifat utama Nabi adalah al-Amin. Zaman kini, ia disebut integriti. Sikap tidak bersedia untuk isytihar harta, adalah lambang bercanggah dengan sifat integriti. Apabila bercanggah dengan integriti, dah tentu-tentulah ia tak selaras dengan sifat al-Amin bagi Nabi.

Ustaz Wan Ji. Via SPD

Oleh sebab tu, tak wajar bagi mana-mana ahli Parlimen yang beragama Islam menolak amalan isytihar harta. Lebih-lebih lagi, amalan isytihar harta ini dapat mengelak dari sebarang amalan rasuah melibatkan pihak yang terlibat dengan politik secara langsung. Ia sudah pasti selaras dengan kaedah fiqh yang berbunyi:

“Tidak sempurna perkara wajib kecuali dengan melakukan perkara itu, maka melakukan perkara itu adalah wajib”.

Dalam kata lain, tak sempurna proses melawan rasuah kecuali dengan melakukan amalan isytihar harta, maka isytihar harta juga boleh dianggap sebagai wajib juga.

Dalam pada itu, tak dinafikan – ada orang yang diragui sumber kekayaannya akan menolak cadangan dan amalan isytihar harta ni. Sebabnya, dengan pengisytiharan harta akan membantu lagi siasatan SPRM terhadap individu ahli politik yang diragui harta yang dimilikinya.

Sebenarnya amalam macam ni dah diamalkan sejak zaman Saidina Umar lagi…

Amalan sebegini sebenarnya sudah diamalkan pada zaman pemerintahan Saidina Umar – semasa dia melantik Abu Hurairah menjadi gabenor di Bahrain. Dengan sebab itu, dakwaan bahawa Islam melarang isytihar harta itu adalah satu fitnah dilakukan terhadap agama Islam yang mementingkan integriti.

Pun begitu, dalam laporan berita dinyatakan bahawa Timbalan Presiden PAS ada berkata : “dalam sebuah Hadis Rasulullah SAW menyuruh supaya harta yang ada tidak dihebahkan, kerana ramai pendengki kata Rasulullah,”

Tuan Ibrahim. Via Mstar

Sebenarnya, hadis yang dinukilkan oleh Tuan Ibrahim tu adalah hadis palsu berdasarkan apa yang pernah dinyatakan oleh al-Imam Ibn al-Jawzi; dianggap doif oleh al-Imam al-Iraqi dan al-Imam al-Sayuti; dianggap mungkar oleh al-Imam Ibn Abi Hatim. Ini kerana dalam sanad hadis itu ada seorang perawi yang ditolak bernama Sa’id bin Salam al-Attar. Ia ditolak oleh ramai ilmuan hadis, malah Imam Ahmad bin Hanbal anggap dia sebagai pendusta.

Dari sudut Sanad juga, dicatatkan bahawa perawi hadis daripada Muaz bin Jabal yang beliau diambil daripada Khalid bin Ma’dan. Al-Imam Ibn Abi Hatim menyatakan bahawa Khalid bin Ma’dan tidak pernah mendengar hadis dari Muaz. Apabila tidak mendengar, lebih mengukuhkan lagi dakwaan bahawa hadis ini adalah palsu.

Palsu. Via Giphy

Dari sudut matan pulak, dikatakan bahawa tidak boleh diberitahu kepada orang berkenaan nikmat yang kita dapat. Ini sudah pasti bercanggah dengan ayat Al-Quran yang menyatakan: “Adapun dengan nikmat Tuhan kamu, hendaklah kamu ceritakan.” (Surah al-Dhuha 93:11)

Dengan ni jelas bahawa “fatwa” Timbalan Presiden PAS itu tidak berasaskan hujah yang benar. Apatah lagi dengan menyandarkan ia kepada Islam boleh melahirkan persepsi buruk dari mata masyarakat Non Muslim terhadap agama Islam – seakan-akan islam adalah agama yang tidak cenderung kepada integriti. Islam adalah agama yang pentingkan integriti. Dalam hal ini, sikap PAS, sama sekali tidak mewakili ajaran Islam.

Moga lepas ni semua ahli politik berhati-hati apabila beri gambaran tentang Islam

Selain daripada Ustaz Wan Ji ni, Mufti Perlis juga ada keluarkan kenyataan dan secara umumnya tidak bersetuju untuk gunakan agama untuk kata tak boleh isytihar harta. Kami harap lepas ni ahli politik akan lebih berhati-hati apabila diorang gunakan nas atau hujah agama dalam sesuatu isu. Takut nanti agama ni nampak macam jahat pulak, padahal orang yang tersilap kata.

Pandangan ini ditulis oleh Ustaz Wan Ji Wan Hussin yang menamatkan pengajiannya di Universiti Al-Azhar, Mesir (Ijazah Syariah Islamiyyah) dan memperolehi Sarjana Sastera di Universiti Malaysia Kelantan (kajian Maqasid Syariah). Kini berkhidmat sebagai Pengarah Akademik di SAUDARA (NGO).

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print