Kisah Allahyarham TG Nik Aziz membaiki gereja yang uzur

Baru-baru ni ramai umat Melayu yang tak senang mengenai isu lambang salib yang terpapar di sebuah bangunan bernama Grace Residencs, Jelutong, Penang. Walaupun Ketua Menteri Pulau Pinang dan pemaju binaan tersebut dah jelaskan lampu berlambang salib tu sebenarnya memaparkan abjad Cina yang bermaksud Ong (nasib baik), masih ramai pihak yang mengarahkan agar lambang salib itu dibuang dengan segera dan menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak menjaga sensitiviti umat Islam. Macam biasalah, tak sah lah kalau isu seperti ni tak dijadikan modal politik sebilangan pihak.

Bagi yang tak tahu, ni haaaa. Via Milo Suam

Bukan benda baru di Malaysia

Isu tanda Salib ini bukanlah benda baru, sebelum ni pernah berlaku. Sesekali penganut Islam seakan-akan lupa bahawa kita hidup dalam masyarakat majmuk yang berlainan adat dan agama. Dalam situasi ni, kita tidak perlu golongan yang suka mengapi-apikan suasana, tetapi kita perlu kepada masyarakat yang berfikiran jauh dan berjiwa besar untuk sentiasa melihat cara terbaik supaya tercapai dalam berbezaan pendapat.

Semua pihak perlulah ada sikap toleransi, bijak dan matang ketika berhadapan dengan agama lain. Kalau dilihat di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan pun, masyarakat bukan muslim sememangnya dibenarkan untuk menganut agama mereka dengan aman. Walaupun ia terikat dengan syarat – agama-agama lain tidak dibenarkan disebarkan kepada muslim, namun ia jelas menunjukkan bahawa kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menghormati agama lain seperti mana kita ingin agama kita dihormati. Macam tak logik – hujah iman seseorang muslim menjadi goyah hanya kerana melihat lambang salib.

Kalau yang ni, macam mana pulak? Via Giphy

Lambang salib tersebut yang terhasil daripada lampu-lampu bangunan yang sudah pun dipadamkan. Apa tindakan seterusnya daripada pihak berkuasa, kami pun tak tahu. Yang pasti mereka tak akan bakarlah bangunan tu.

Mengenang kisah allahyarham TG Nik Aziz

Kali ini, kami ingin kongsikan kisah mengenai tokoh ulama’ tersohor negara ni, Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz (TGNA), tentang sikapnya dalam berhadapan dengan agama lain yang kebetulan juga melibatkan lambang salib. Kisah ini ditulis sendiri oleh Jerome Fernandez dengan tajuk The Tok Guru I Knew pada tahun 2015 di di Herald Malaysia Online selepas pemergian TGNA.

Semasa Allahyarham berkhidmat sebagai Menteri Besar Kelantan, pejabat beliau di Kota Baru berhadapan dengan The Fatima Catholic Church. Pada suatu hari, paderi di gereja tersebut mendapat panggilan khas dari pejabat TGNA. Beliau menelefon kerana menyedari bahawa lambang salib di bahagian atap gereja sudah hilang tidak kelihatan seperti hari-hari yang lain. TGNA bimbang sekiranya salib tersebut hilang disebabkan perbuatan vandalisme sesetengah pihak. Namun jelas paderi tersebut, lambang salib itu jatuh disebabkan hujan petir dan bukannya angkara orang.

Via BH

Lepas dengar penjelasan tu, TGNA mengarahkan gereja tersebut untuk baiki lambang salib dan menghantar kos bil pembaikan di Pejabat Menteri Besar Kelantan. TGNA merasakan bahawa itu merupakan tanggungjawab beliau sebagai individu yang diberikan amanah sebagai pemimpin.

Allahyarham TG Nik Aziz pernah beri bantuan pada gereja

Dalam kisah lain, TGNA pernah memberikan bantuan membaik pulih sebuah gereja di Kuala Kerai yang keadaannya sudah sangat uzur dengan bumbung yang hampir jatuh. Pada awalnya, jawatankuasa gereja tersebut sudah memohon kepada majlis bandar raya untuk kebenaran membaik pulih, namun ditolak sebanyak tiga kali. Apabila diadukan kepada TGNA, perkara tersebut diselasaikan segera dan beliau terus ingin mendapatkan identiti setiausaha majlis perbandaran yang terlibat kerana kesal dengan sikapnya yang menghalang atau melengahkan hak rumah ibadat agama lain.

Kedua-dua kisah ni seharusnya membuka mata kita dalam pemahaman agama. TGNA, insan yang sangat tinggi ilmu agamanya tetap bersifat berlembut hati dengan penganut agama lain. Sekiranya muslim lain berada dikedudukan beliau, mungkin sudah diarahkan agar gereja tersebut berpindah dengan kuasa yang dimiliki. Beliau yang ketika itu merupakan ketua Parti Islam Semalaysia tidak pula merasakan lambang tersebut menyakitkan mata bahkan TGNA siap menelefon dan membayar kos membaik pulih lambang tersebut.

Buka mata luas-luas. Via Giphy

Eh, tapi itukan rumah ibadah, masalahnya ni bukan rumah ibadah!

Tapi mungkin ada yang bertanya – dalam kes kali ini – lambang salib tersebut bukanlah diletakkan di rumah ibadat, tapi di bangunan dan benda ni sengaja nak ganggu keharmonian masyarakat. Mengapa wujudnya lambang tersebut pada asalnya pun masih kabur, tetapi reaksi sesetengah pihak yang terus melabel bahawa benda ni ada agenda tersembunyi, adalah reaksi yang tak matang. Tidak kurang yang suka memainkan isu perkauman. Benar, agama Islam ada hak istimewa yang perlu dijaga, tapi belum pernah lagi kita dengar ada orang yang berpindah agama kerana melihat lambang agama lain.

Salib! Via Giphy

Kalau muslim tak terkesan dengan lambang ni, masih perlukah kita memberikan reaksi berlebih-lebihan? Yang lebih terkesan adalah mereka yang bukan Islam, mereka yang tiada masalah mendengar azan lima kali sehari, tetapi umat Islam nampak lambang Salib pun sudah risau. Sebab tu, pentingnya ada toleransi, dan tak cepat melenting. Toleransi ni termasuklah menjauhi isu-isu perkauman dan sangka buruk yang akan mengeruhkan keadaan. Toleransi bukan bermakna kita meremehkan agama, tapi mengambil reaksi yang paling kurang mudaratnya dan paling lebih kebaikannya. Juga mengambil kira persepsi yang diwujudkan keatas agama kita setiap kali ingin memberikan reaksi.

Pemikiran macam ini turut berlaku di Indonesia – sehingga ada muslim yang menganggap bahawa muslim akan menjadi murtad dengan berjalan di atas mozaik yang seakan-akan melambangkan tanda Salib di Balai Kota Solo. Adakah kita ingin menjadi seekstrim ini? Padahal lambang ni merupakan bentuk lazim yang wujud hampir di mana-mana, contohnya tiang lampu, lambang hospital, simbul persimpangan jalan, tanda tambah dalam matematik dan macam macam lagi. Kalau begitu, semua lambang-lambang ini pun perlu dihapuskan kah?

Agama Islam bukan semata-mata agama simbol

Agama Islam bukanlah agama berdasarkan lambang yang akan tergugat dengan wujudnya fahaman berlainan dan simbol selain bulan bintang. Ramai yang menjadi keras dan lantang, dan kalau boleh semua undang-undang dibuat hanya demi kebaikan umat Islam.

Kita sering lupa – agama Islam amat menekankan pentingnya bersikap baik dan bijak dengan agama lain. Agama yang berkembang pada awalnya juga adalah kerana baiknya sifat Nabi Muhammad. Pada zaman rasulullah, umat Islam dilarang untuk kita mengganggu gugat hak agama lain, jadi nilai yang sama perlu diguna pakai pada hari ini. Peliklah kalau kalau seorang muslim takut dengan lambang salib, tetapi hubungan dan perpaduan antara masyarakat di dalam negara sendiri ditolak tepi. Lihat TGNA, beliau sedar bahawa dengan bersifat lembut dan baik, jalinan manusia dan persefahaman akan lebih terjalin. Kalau tidak berkesan, buat apa seorang Kristian ingin menulis mengenai tokoh Islam, pada akhbar Katolik?

[poll id=”4″]

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *