Kami rasa ramai tak tahu yang Hutan Amazon tengah terbakar teruk, dan ia boleh beri kesan yang buruk pada alam. Bagi yang tak tahu, hutan hujan Amazon ni meliputi tujuh juta kilometer persegi (1.7 bilion ekar); lima setengah juta kilometer persegi (1.4 bilion ekar) ditutup dengan hutan hujan. Kawasan ni meliputi kawasan sembilan negara. Hutan Amazon ni pembekal utama oksigen kat dunia, cuba bayangkan apa terjadi kalau kebakaran ni berterusan dan hutan tu musnah? Ini belum sembang lagi tentang tumbuhan dan hidupan yang ada kat sana…
71,497 kejadian kebakaran hutan direkodkan di Brazil bagi lapan bulan pertama 2019…
Kebakaran hutan hujan Amazon yang tengah berlaku sekarang ni merupakan yang terburuk dalam sejarah. Benda ni bukan setakat cetuskan krisis di Brazil tapi turut menyebabkan kebimbangan antarabangsa. Macam yang kami dah kata tadi, Amazon ni penting untuk penduduk dunia sebab ia keluarkan oksigen untuk kegunaan orang ramai.
“Kami amat bimbang berhubung kebakaran ini,” – Kata jurucakap kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Stephane Dujarric, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Dia kata macam tu dalam sidang akhbar pada Khamis lepas berhubung kebakaran hutan terburuk di rantau Amerika Latin yang musnahkan banyak kawasan Amazon. Dia kata, hutan amat penting untuk kesihatan seluruh dunia dan usaha kekalkan hutan amat penting untuk memerangi peningkatan suhu dunia.
Pada awal bulan ni, Brazil istiharkan darurat berikutan peningkatan jumlah kejadian kebakaran hutan kat negara tu. Kebakaran hutan di Brazil meningkat sebanyak 82 peratus sejak Januari hingga Ogos 2019 berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut Institut Penyelidikan Angkasa Lepas Brazil (INPE). Menurut institut tu, sebanyak 71,497 kejadian kebakaran hutan direkodkan di negara tu bagi lapan bulan pertama 2019, berbanding hanya 39,194 kes pada tahun 2018.
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro salahkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berikutan peningkatan kejadian kebakaran kat utara negara tu, tapi tuduhannya tu disangkal pencinta alam sekitar. NGO tu dakwa peningkatan ketara kes kebakaran itu berpunca daripada dasar anti pencinta alam kerajaan yang menyaksikan pertambahan projek pembalakan dan pembakaran terbuka.
Kenyataan NGO tu pulak disokong penyelidik INPE, Alberto Setzer, dia kata semua kebakaran tu berpunca daripada aktiviti manusia, sesetengahnya akibat kecuaian dan ada kes disengajakan.
Sambil menyifatkan kebakaran tu sebagai kecemasan antarabangsa, Presiden Perancis Emmanuel Macron menerusi Twitternya suarakan kebimbangan berikutan kebakaran yang tidak terkawal serta menggesa perkara itu dibincangkan dalam sidang puncak Kumpulan 7 (G7).
Our house is burning. Literally. The Amazon rain forest – the lungs which produces 20% of our planet’s oxygen – is on fire. It is an international crisis. Members of the G7 Summit, let's discuss this emergency first order in two days! #ActForTheAmazon pic.twitter.com/dogOJj9big
— Emmanuel Macron (@EmmanuelMacron) August 22, 2019
Berikutan peningkatan kebimbangan antarabangsa, Presiden Bolsanaro pada akui petani mungkin menyebabkan kebakaran tu tapi mendesak kuasa Barat supaya tak campur tangan. Kebakaran tu dilaporkan dah merebak ke sempadan Peru, Paraguay dan Bolivia. Kerajaan Chile ada tawarkan bantuan kepada Brazil untuk padamkan kebakaran kat Amazon yang dah berlarutan sejak dua minggu lalu.
Presiden Brazil tolak bantuan luar, kata negara lain hantar duit untuk kacau kedaulatan negara…
Di sebalik kritikan antarabangsa berhubung kebakaran hutan hujan kat Amazon, Presiden Brazil, Jair Bolsonaro akui kemungkinan petani bertanggungjawab terhadap kebakaran tersebut tapi pada masa yang sama dia ingatkan kuasa luar supaya tak campur tangan. Macam yang kami dah kata tadi, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres dah luahkan kebimbangan diorang berhubung kebakaran kat Amazon.
Macron sifatkan kebakaran tu sebagai ‘krisis antarabangsa’ dan ia perlu dibincangkan dalam Sidang G7 yang akan diadakan di Biarritz, Perancis. Cuma, untuk pengetahuan korang, persidangan tu tak libatkan Brazil. Guterres kata, Amazon perlu dilindungi dan kita tak boleh biarkan lebih banyak kerosakan berlaku terhadap sumber utama oksigen dan biodiversiti tu.
Tapi, Presiden Brazil berang dengan kenyataan tu, dan menganggapnya sebagai satu campur tangan.
“Negara-negara yang menghantar wang ke mari, mereka menghantarnya bukan atas dasar kebajikan sebaliknya bertujuan untuk mengganggu kedaulatan kami,” kata Bolsonaro menerusi siaran Facebook Live, seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian
Dalam marah-marah pun, dia ada jugak akui Brazil kekurangan sumber untuk mengekang kebakaran tersebut. Walaupun kebakaran kerap berlaku ketika musim kering, para aktivis alam sekitar salahkan kenaikan mendadak kebakaran dengan tindakan petani yang membakar hutan bagi membersihkan kawasan untuk tujuan pertanian.
Hutan dalam kemewahan alam yang kita perlu jaga dan pelihara…
Kebakaran hutan adalah benda yang serius dan perlu ditangani dengan segera. Kalau dulu kita ada persoalan – mampukah manusia bertahan dengan alam? Sebab alam ni cukup mencabar. Sekarang ni persoalannya terbalik; adakah alam mampu bertahan dengan kerakusan manusia? Kami harap semoga kebakaran kat Amazon ni segeralah terhenti, memandangkan hutan tu bekalkan oksigen kepada kita dan kaya dengan biodiversiti.