Bila takde air, semua rasa serba tak jadi. Nak ikut rentak orang putih yang tak mandi pun tak sesuai jugak, disebabkan iklim panas kat Malaysia ni. Belum masuk nak guna air untuk cuci kain, memasak dan lain-lain lagi. Terdahulu, kami turut mengikuti perkembangan masalah air kat Selangor dan Melaka. Idea tadahan air hujan pun dah kami bincang dulu.
Jadi kali ni, kami nak kembali semula dengan isu air kat Selangor. Baru-baru ni, banyak jugak perkara yang berlaku selepas isu tersebut mendapat perhatian meluas kerajaan negeri. Strategi baharu direncanakan kerajaan negeri dan dah ada yang telah berjaya ditahan reman untuk bantu siasatan kes air kat Selangor.
Setakat tahun ni, rakyat merana 6 kali terputus air kerana loji terpaksa ditutup di Selangor dan KL
Dengan jumlah populasi dan kepadatan penduduk yang agak tinggi, isu putus air ni amat dirasakan oleh sebilangan besar rakyat kat Selangor dan KL. Sehingga awal tahun ni hingga Oktober lepas, CEO Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman kata dah 6 kali operasi Loji Rawatan Air (LRA) Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa ditutup. Ni mengakibatkan gangguan bekalan air tak berjadual hingga menjejaskan 1.2 juta akaun pengguna di Lembah Klang.
Setiap kali berlakunya insiden terbabit, pemantauan terlebih dahulu dilakukan supaya mereka ambil tindakan yang tepat ikut situasi. Kami faham ramai yang marah kat Air Selangor ni… tapi situasi sebenar yang harus mendapat perhatian awam bukanlah pada mereka yang nak kawal keadaan buruk.
“Pemantauan kami adalah di muka sauk di mana kami mengambil (sampel) air mentah bagi mengenalpasti sekiranya terdapat pencemaran di muka sauk, (loji) terpaksa kami henti tugas. Kami cuba sedaya upaya memberi maklumat kepada pengguna secepat mungkin sekiranya loji terpaksa ditutup,”- Seperti yang dilaporkan Harian Metro
Masalah sebenar yang membawa kepada isu air ni adalah pencemaran air sungai khususnya yang jadi bekalan utama rakyat di sana. Beberapa sungai yang terkesan adalah Sungai Gong dan Sungai Kundang di Rawang pada September dan Oktober lalu.
Kilang-kilang tak gentar buang sisa kilang di sungai, masalah pencemaran terus berulang
Dalam kes Sungai Gong dulu pada September lalu, sebanyak 7 wilayah di Selangor alami gangguan bekalan air manakala pemilik kilang dah ditahan. Kilang pun dah ditutup dan disita lepas kerajaan negeri mendapati mereka gagal lakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat ditetapkan, selain menemui bau seperti pelarut mengalir ke sungai.
Kemudian pada Oktober lalu, sebuah kilang memproses minyak kelapa sawit pulak dipercayai jadi punca pencemaran di Sungai Kundang. Siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati pencemaran bau air sungai itu berpunca daripada bahan biodiesel yang melebihi 10 TON (ukuran kadar bau) pada aliran disyaki dari kawasan perindustrian Kundang Jaya. Pengarah kilangnya antaranya yang direman.
Di sungai yang sama jugak, Free Malaysia Today pada 14 November turut melaporkan ada pencemaran bau dengan kiraan 4 TON (kiraan kesan bau) di Sungai Kundang, dipercayai berpunca daripada limpahan kawasan takungan berhampiran Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd di Taman Velox, Rawang. Namun kali ni, takde loji rawatan yang dihentitugas.
Beberapa telahpun ditahan reman untuk membantu siasatan termasuklah sorang pengarah syarikat pembinaan jalan raya dan dua warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti buang sisa kimia. Sisa kimia tu dibuang kat sebuah premis yang membawa bahan sisa terus mengalir ke kawasan tercemar.
Ni suatu yang mengecewakan apabila aktiviti pencemaran ni tak dipandang serius pun oleh para pemilik kilang dan pekerjanya yang tak bertanggungjawab. Aktiviti pencemaran ni jugak mungkin dah lama dilakukan secara berulang kali, tapi kali ni mereka tertangkap akhirnya. Jika tak dibendung, masalah pencemaran takkan selesai pun sampai bila-bila.
Inisiatif kerajaan negeri memakan belanja RM200 juta, siap ada dron untuk mantapkan pantauan ke atas sungai
Susulan kejadian pencemaran yang terjadi, kerajaan negeri Selangor gariskan beberapa langkah yang diharap dapat kawal aktiviti-aktiviti pencemaran ni. Menteri Besarnya Datuk Seri Amirudin Shari bentangkan beberapa penyelesaian. Dalam penyelesaian jangka pendek, kerajaan negeri akan tambah lebih ramai kakitangan untuk buat pantauan di lembangan sungai utama iaitu Sungai Selangor dan Sungai Langat.
Penggunaan dron jugak akan diaplikasikan sebagai langkah pemantauan kat kedua-dua lembangan tersebut dengan peruntukkan sebanyak RM2 juta. Wujud jugak pertikaian mengenai kemampuan dron nak halang pencemaran daripada berlaku, namun MB Selangor kata dron tersebut mempunyai potensi yang tinggi dari segi teknologi aplikasi dan analisis yang boleh dilakukan daripada data yang dikutip oleh dron tu.
“Perkhidmatan dron ini akan memberikan dua kajian awal kepada kita iaitu pertama berkenaan dengan unsur-unsur premis bangunan dan juga apa-apa perkara yang berada berhampiran dengan sungai yang boleh mencemarkan. Selepas itu kita akan membuat proses penguatkusaan secepat mungkin untuk memastikan punca-punca dan potensi pencemaran ini boleh dikurangkan atau dihapuskan. Namun, ia memerlukan sedikit masa untuk kajian sebab cerapan akan dibuat oleh syarikat atau pengendali dron sebelum ia dapat disampaikan kepada kerajaan negeri,”- Amirudin Shari, seperti yang dilaporkan Awani
Tambah lagi, inisiatif kerajaan negeri Selangor yang patut dicontohi adalah dari segi kerjasama terbuka antara komuniti dan Pusat. Tugas dan tanggungjawab nak jaga alam sekitar ni takdelah terletak kat tangan kerajaan negeri semata-mata. Komuniti pun kenalah main peranan jugak, dan sedaya upaya halang pencemaran daripada terus berlaku. Bukannya bersekongkol dengan pihak pencemar pulak…
Friends of River (FoR) dan pertimbangan kerajaan negeri untuk beri ganjaran pemberi maklumat ni pun ada baiknya. Begitu jugak dengan gesaan kerajaan negeri sendiri agar Persekutuan turut terlibat bersama-sama dalam usaha ni. Dari segi inisiatif jangka panjang, penambahbaikan infrastruktur dan beberapa projek perintis bagi tujuan pemuliharaan kualiti air.
Kami rasa idea menggunakan teknologi untuk membanteras kegiatan pencemaran ni suatu yang menarik dan wajar diteliti oleh kerajaan-kerajaan negeri yang lain jugak. Bila cakap pasal pencemaran, mudarat yang sama akan berlaku kepada alam dan manusia tanpa mengira negeri atau mana-mana kawasan sekalipun. Sokongan komuniti pun sama pentingnya, begitu jugak dengan sikap seluruh peringkat termasuklah para pemilik kilang dan para pekerjanya sendiri.