Mungkin lepas ni korang kena hati-hati bila nak beli ternakan, khususnya ayam dan telur ayam tu. Sebelum ni, kami dah pernah tulis pasal pencemaran plastik, dan macam mana kita boleh pulak dapat sisa sampah dari negara-negara maju. Gelaran je maju, namun tetap nak harapkan negara membangun uruskan sampah mereka…
Kali ni, kami nak bawakan satu lagi isu berkaitan secara langsung dengan pencemaran plastik yang dah makin menjadi-jadi kat rantau Asia Tenggara termasuklah negara tercinta kita ni. Kalau setakat gambar dan video ikan mati kerana plastik tu tak dapat sedarkan manusia, boleh jadi isu ni boleh bukakan mata korang pasal betapa teruknya kesan pencemaran plastik.
‘Racun plastik’ dalam telur, penduduk dah tak peduli…
Kalau ikut dapatan kajian dari International Pollutants Elimination Network (IPEN), nampaknya sampel telur yang telah mereka selidik dari kawasan Tropodo, Jawa Timur di Indonesia mengandungi dioksin. Malah, kadarnya jauh lebih tinggi dari standard makanan berkualiti kat Barat iaitu sebanyak 70 kali ganda!
Menurut World Health Organization (WHO), dioksin ni biasanya dijumpai dalam produk yang diproses, termasuklah plastik. Ia juga dianggap sebagai antara toksin yang amat berbahaya dan mampu merosakkan fungsi organ dan sistem badan korang. Ia boleh tinggal kat dalam badan korang sehingga 11 tahun, ia terkumpul bila korang makan makanan yang tercemar dengan dioksin.
Walaupun dapatan tu dah diketahui ramai, para penduduk tetap makan telur-telur tu. Pihak berkuasa Tropodo, Bupati Sidoarjo Saiful Illah nafikan khabar bahawa telur tu dah beracun. Memetik responnya;
“Di sini semua yang dimakan telur juga. Ayam-ayam liar itu juga,”- Bupati Sidoarjo Saiful Illah, seperti yang dilaporkan oleh IDN Times, 19 November 2019
Nampaknya isu ni akan berlarutan lebih lama, lagi-lagi apabila pihak berkuasanya sendiri tak prihatin dengan kesihatan penduduk Tropodo untuk jangka masa panjang. Desakan Direktur Eksekutif Ecoton, Prigi Arsandi merupakan antara pihak yang berjuang menuntut penyelesaian, namun setakat ni takde lagi jawapan dari pihak kerajaan Indonesia.
‘Pertanian plastik’ lebih lumayan, lebih baik dari bertanam…
Begitulah komen BBC Indonesia ketika mereka lawati desa Bangun dan Tropodo, sampah-sampah negara maju banyak sekali dilonggokkan kat sana. Mengikut data yang dipetik oleh BBC, Indonesia menerima sekitar 283,000 ton sampah plastik setiap tahun. Tu dah macam tinggi sebuah bukit dah…
Lebih mengejutkan, kebanyakan sampah tu kena letak pula kat desa perkampungan Jawa Timur ni. Akhirnya, petani biasa kini lebih suka menjadi ‘petani plastik’ kerana ia lebih lumayan jika dibandingkan nak jual padi dan tanaman lain.
Kerja ‘petani plastik’ ni adalah untuk kumpul mana-mana sisa plastik yang masih berguna untuk digunakan kat kilang-kilang plastik sekitar desa tu. Manakala untuk sisa plastik yang dah tak berguna lagi, mereka akan jemur dan dijual semula kepada kilang-kilang makanan berdekatan. Patutlah ramai rela jadi petani plastik je…
Sisa plastik pilihan kilang pembuat makanan…
Hasil sisa plastik yang dah dipilih dan dijemur tadi akan dijual pula dekat kilang-kilang pembuatan makanan tempatan kat sana. Kali ni, mereka hanya perlu bakar je sisa-sisa plastik yang dah dikeringkan tadi. Kaedah tu selalu menjadi kaedah utama diorang nak teruskan kelangsungan hidup sama ada sebagai petani plastik ataupun pembuat tauhu.
“Dulu bahan bakar (kayu) itu satu trak, (harganya) Rp 1,5 juta. Itu saya kalkulasi, hanya bisa untuk tiga hari, (sampai) empat hari. Kalau plastik (harganya) hanya Rp 100,000”- Fajar Fatiyani, seperti yang ditemuramah oleh BBC News Indonesia, 18 November 2019
Fajar Fatiyani, pemilik kedai tauhu mengakui kilang tauhunya sendiri gunakan plastik sebagai bahan bakar utama kerana lebih cepat terbakar dan lebih murah jika nak dibandingkan dengan bahan kayu api. Kami tak pasti kalau pemilik tu cakna atau tak pasal bahaya dioksin yang akan dilepaskan bila pembakaran plastik berlaku. Yang kami boleh fikir logik adalah, tauhu tersebut berkemungkinan besar dah dicemari dengan dioksin.
Makan minum hidupan kat sana bergelumang dengan plastik…
Dengan longgokan plastik yang sentiasa diterima dengan hati yang terbuka oleh para penduduk, sudah pastilah sisa tersebut akan turut mencemari sumber air dengan mikroplastik. Bukan je dioksin lagi mendatangkan mudarat, mikroplastik ni pun bahaya jugak.
Pacific Standard terangkan bahawa kehadiran mikroplastik dah tersebar ke seantero dunia, jadi bahaya mikroplastik ni akan terkesan pada keadaan alam sekitar dan kitaran rantaian makanan. Lama-lama, kita pun akan ‘makan’ mikroplastik tu jugak menerusi makanan ataupun minuman.
Ternakan ayam dan lembu kat sana dahlah bernafas pun dengan udara tercemar dengan dioksin, manakala makanan asas mereka pun dah ada mikroplastik. Ikan-ikan mereka pula mesti dah telan lebih banyak mikroplastik. Kalau takde sistem penapis air yang selamat, macam mana mereka minum air yang bersih dari mikroplastik… sampai bila keadaan tu kena dibiarkan?
Kurangkan pencemaran plastik, elak nasib yang sama berlaku…
Nasib sebegini boleh je jadi kat tempat kita, lagi-lagi bila takde orang nak kisah pun pasal kegiatan pencemaran plastik yang berleluasa di tepi tingkap anda. Banyak insiden pencemaran alam yang dah berlaku kat negara kita, termasuklah kes import haram plastik dari negara maju untuk diproses tanpa lesen kat kawasan kita. Kita kena berubah; dunia ni anak-anak kita yang punya!