Dr. Kang Kyoung Seok, orang KOREA yang mahir dalam tulisan Jawi

Prof Kang Youtube

Baru-baru ni, hangat betul perbincangan rakyat pasal keperluan nak perkenalkan sistem tulisan Jawi ni dalam silibus pendidikan khususnya untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Kalau korang ingat balik dalam subjek Pendidikan Islam kat sekolah rendah atau sekolah menengah pun, tulisan Jawi ni memang boleh dikatakan wajib nak kuasai. Dahlah buku teks Pendidikan Islam juga gunakan tulisan Jawi. Namun lain pula pandangan segelintir yang kata bahawa tulisan Jawi ni macam satu proses pengislamisasian.

Jadi, kami nak angkat ni sorang cendekiawan tulisan Jawi yang diiktiraf sendiri oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sebenarnya dah lama orang sebut tokoh ni, tapi kami nak juga kupas kembali kepakarannya dan kepentingan tulisan Jawi ni dalam usaha kita nak martabatkan semula sejarah dan identiti kita sebagai rakyat Malaysia.

Ahjussi Korea jatuh hati dengan seni tulisan Jawi…

Nama penuhnya ialah Dr. Kang Kyoung Seok. Ye, dia memang orang Korea yang dah jatuh cinta dengan tulisan jawi tu masa dia belajar kat Korea dulu. Katanya dalam temubual bersama Astro Awani Pagi bersama hos Hakim Rahman dan Geegee Ahmad.

Dia jadi sangat minat dengan tulisan Jawi sampaikan dia belajar sendiri macam mana nak buat tulisan Jawi tu. Ketika tu, bahan-bahan pasal tulisan Jawi ni sikit je kat Korea. Malah, Korea pada masa 70-an dan 80-an ni tak berapa nak layan sangat Malaysia sebab tanggapan mereka bahawa Malaysia ni negara baharu nak ‘up’.

Kang Kyoung Seok
Ni lah Dr. Kang Kyoung Seok, seorang pakar Jawi. Via Malaysiakini

Lebih menarik lagi, sebenarnya Bahasa Melayu tu memang dah kena ajar pun kat Korea. Cuma ia adalah Bahasa Melayu versi Indonesia. Tulisan Jawi yang dia belajar sendiri masa tu pun sebenarnya dia dapat dari seorang guru dari Patani. Korang bayangkan, pensyarah dia yang ajar pasal sistem tulisan dunia dan sentuh pasal Jawi pun tak berapa mahir pasal Jawi. Nasihat pensyarahnya: pergi belajar kat Malaysia kalau nak pandai pasal Jawi.

Nak mohon Universiti Malaya pada dekad 80-an bukannya senang ye. Dia ceritakan lagi betapa susahnya dia nak mohon belajar kat Malaysia, terutamanya kat Universiti Malaya yang kaya dengan sumber rujukan literatur dan pakar bahasa Melayu. Dia kata, kali keempat tu barulah Dekan layan sebab dia tulis surat permohonannya dalam bahasa Jawi. Begitulah kesungguhannya nak belajar sistem tulisan Jawi. Baginya, tulisan Jawi ni seninya halus dan cantik.

Malaysia patut bangga sebab masih pelihara sejarah…

Kenyataan ni wajar kita terima dan ambil iktibar berbanding terlalu asyik nak tengok perkembangan pemeliharaan dan pemuliharaan sejarah negara lain je. Ye lah, kami lihat masih ramai orang yang ‘cemburu’ tengok macam mana negara lain bangunkan usaha jaga sejarah mereka.

Betul juga kata Dr. Kang Kyoung Seok: hanya di Malaysia je yang masih pelihara sistem tulisan Jawi ni. Lagipun, sistem tulisan Jawi ni berusia lebih dari 700 tahun.

Ditambah lagi, Malaysia juga secara langsung membenarkan penggunaan tulisan Jawi. Tak pernah ada undang-undang nak haramkan tulisan Jawi, mahupun tulisan-tulisan kaum lain. Kat Sabah misalnya, wujud juga manuskrip yang pakai tulisan kaumnya tersendiri, macam Kitab Sampang Bulan yang ditulis guna skrip tulisan Bajau Laut. Korang boleh baca kajian Dr. Ismail Ali yang dah kaji macam-macam pasal sejarah pelayaran Borneo. Unik kan?

Sampang Bulan
Dah kabur dan tak banyak lagi boleh dibaca. Via Ismail Ali, ‘Kitab Sampang Bulan: The Bajau Laut Ancient sailing Scripture’

Kita juga tak semata-mata pelihara; kita perbaiki lagi sistem tulisan Jawi. Kajian Dr. Kang Kyoung Seok ni turut perlukan dia nak betul-betul faham perkembangan tulisan Jawi daripada zaman dulu sampailah ke sistem moden yang gunakan idea Za’ba, dan kemudiannya disesuaikan lagi dengan kaedah Jawi baharu.

Nak majukan Jawi sampai satu dunia tahu…

Impian Dr. Kang Kyong Seok ni memang besar. Sistem tulisan Jawi ni dilihat sebagai suatu khazanah sejarah yang tak sepatutnya hilang. Impiannya membuktikan bahawa tulisan Jawi ni juga amat menarik untuk dipelajari oleh semua orang, tanpa mengira bangsa dan agama. Untuk penuhi impiannya, dia dah mulai bina Jawiologi, iaitu pengenalan semula sistem tulisan Jawi dengan terangkan sekali perkembangan bentuk tulisan Jawi tu supaya semua dapat faham.

Profkangjawi
Via Projek MM

Ikut beberapa temubualnya, kerapkali dia bertanya sendiri mengapa ejaan Jawi tu sedikit berlainan. Jadi boleh dikatakan bahawa persoalan-persoalannya dulu pasal ejaan Jawi menginspirasikan semangatnya nak buat Jawiology ni. Selain tu, dia memang dah tulis buku pun pasal Jawi ni bersama Muhammad Syukri Rosli dan diterbitkan oleh Klasika Media, di bawah Akademi Jawi Malaysia pada 2015.

Kerana kepakaran ini juga, dia sanggup pulang ke negara asalnya demi nak ajar warga Korea pasal sistem tulisan Jawi. Pada 2016, Daegu University of Foreign Studies (DUFS) dah mulakan pengajian kebudayaan Melayu dengan memberi fokus pada pengajian tulisan Jawi ni. Dr. Kang Kyoung Seok dilantik sebagai Dekan Fakulti Asia Tenggara DUFS turut membawa Jawiologi melalui Pusat Antarabangsa Jawiologi.

“Kuliah Jawiology mendapat sambutan baik, ramai minat belajar. Tetapi penting bagi saya ialah membuat lebih banyak kajian mengenai ilmu jawi supaya kita semua dapat tahu lebih dalam mengenai Jawi,”- Dr. Kang Kyoung Seok kepada Bernama, dipetik oleh Astro Awani pada 13 Mac 2016.

Ni bukanlah kali pertama pengajian Melayu dibuka kepada orang Korea. Beberapa tahun sebelum tu, dia pun dah bantu Busan University of Foreign Studies menubuhkan Jabatan Indonesia-Malaysia. Korang boleh tengok sendiri senarai Jabatan yang dah ada kat Busan University of Foreign Studies, dan patut bangga bahawa pengajian Malaysia turut mendapat perhatian warga luar.

Belajar je tak cukup, nak buktikan Jawi pun boleh ditulis guna teknologi…

Idea Jawiologi tak cukup kalau nak setakat untuk belajar je tapi tak dapat nak gunakan tulisan tersebut, betul tak? Betul, boleh je kita menulis pakai tangan. Namun begitu, lebih baik kalau kita boleh gunakan teknologi sekarang untuk tulis Jawi. Oleh demikian, papan kekunci Jawi telah cuba dilakukan oleh Dr. Kang Kyoung Seok agar generasi muda boleh pakai.

Via Giphy

Dia kata, papan kekunci Arab untuk tulis Jawi tu macam tak berapa sesuai kerana ada banyak perbezaan antara kedua-dua tulisan tu meskipun nampak sama. Jadi, dia nak bina model papan kekunci Jawi tu ikut model papan kekunci Rumi supaya lebih mudah digunakan. Ikut Pendidik2u.my, tulisan bahasa Arab tu masih kekurangan beberapa perkataan yang wujud dalam Jawi seperti ‘ca’, ‘ga’ dan ‘nya’.

Setakat ni, dah makin banyak pilihan papan kekunci Jawi yang boleh didapati kat Internet dengan pelbagai bentuk. Ada yang berupa ‘font’ yang korang boleh install sendiri macam AsarFonts, dan ada juga yang berbentuk terjemahan dalam talian seperti Ejawi.

Keyboard Arab
Contoh papan kekunci Arab. Via dsi-keyboard.com

Bagus juga kalau kita boleh wujudkan sendiri papan kekunci fizikal yang dapat bantu kita tulis Jawi dalam komputer, berbanding nak pasang font atau terpaksa guna Internet untuk terjemah tulisan Rumi ke Jawi.

Sistem tulisan Jawi setaraf dengan sistem tulisan Rumi

Dr. Kang Kyoung Seok sendiri bukanlah berbangsa Melayu, dan bukan juga beragama Islam (setakat yang kami tahu), namun kenapa mesti orang luar yang bersungguh-sungguh nak mengantarabangsakan sistem tulisan Jawi ni? Jawi adalah sebahagian dari sejarah masyarakat Malaysia, dan dah menjadi tanggungjawab warganegaranya untuk lindungi khazanah peradaban yang makin terhapus.

Tulisan Jawi Hari Ni
Via Radio Ikim.

Mempelajari sistem tulisan Jawi pun tak bererti masuk Islam ataupun disuruh tukar bangsa jadi Melayu ye. Ia bererti korang dah belajar sistem tulisan yang juga punyai sejarah ketamadunan yang unik, sebagaimana sistem tulisan Korea dan Jepun turut dipengaruhi tamadun China ketika zaman dinasti Han. Malah, sistem tulisan Jawi ni diperkenalkan tanpa ketepikan pun tulisan Rumi yang tengah digunakan seluruh dunia sekarang.

https://www.youtube.com/watch?v=Rt5xxvhLmnA

Kami rasa takde masalah pun kalau nak belajar lebih banyak bahasa mahupun sistem tulisan dari pelbagai sumber. Cuma yang cetus masalah ni adalah apabila hal sistem tulisan pun dijadikan isu nak api-apikan perkauman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *