Konflik Armenia-Azerbaijian, persempadanan negara yang baharu berdasarkan rundingan

F1
Konflik Armenia-Azerbaijian, persempadanan negara yang baharu berdasarkan rundingan

Sejak runtuhnya Soviet Union, persempadanan banyak negara telah dibahagikan mengikut persetujuan dan rundingan oleh banyak pihak. Tetapi ada jugak dalam banyak kes, rundingan persempadanan tu sendiri pun tak kena khususnya apabila ia tak ambil kira sejarah dan budaya sesebuah masyarakat yang tinggal kat kawasan tersebut.

728 X 90

Beberapa konflik persempadanan dah kami sentuh untuk tahun, seperti isu sempadan kat China-India dan Ukraine-Rusia. Kali ni, kami nak bincangkan sikit pasal konflik persempadanan dua negara yang jarang kita dengar iaitu Armenia dan Azerbaijian. Huruf depan nama negara je sama, tapi kedua-duanya bermusuhan berdekad lamanya kerana berebutkan tanah.

Armenia Azerbaijian
Via EUObserver

Nagorno-Karabakh direbut masyarakat etnik Armenia dan Azerbaijian, hasil campur tangan Stalin ketika zaman Soviet

Armenia dan Azerbaijian ni suatu masa dulu merupakan dua kawasan di bawah kekuasaan Soviet dulu. Namun antara silap besar yang kita boleh lihat ketika ni adalah bagaimana Stalin secara mudahnya anggap masyarakat yang ada ni sama dan boleh disamaratakan budayanya di bawah polisi Sovietnisasi dulu.

Dari segi sejarah, kawasan tinggi Nagorno-Karabakh ni memang banyak didiami oleh kaum etnik yang beridentitikan Armenia. Malah sebelum era sejarah moden lagi, pernah wujud satu tamadun kecil di sekitar kawasan tersebut yang dinamakan Artsakh. Kawasan pengaruh republik bebas Armenia, Azerbaijian dan Georgia kemudiannya ditelan masuk ke dalam pengaruh Bolshevik. Di sinilah bermulanya usaha nak bagi sempadan agar mudahkan kawalan pentadbiran untuk Soviet ketika tu.

Nagorno Karabakh
Via Pulitzer Center

Pada mulanya, kepimpinan Bolshevik di Azerbaijian dah setuju untuk ‘memberikan’ kawasan tinggi Nagorno-Karabakh tu kepada kepimpinan Bolshevik di Armenia pada mesyuarat rasmi Julai 1921. Tetapi disebabkan campur tangan Joseph Stalin dalam mesyuarat tersebut, Biro Kaukus selaku biro yang bertanggungjawab dalam kawasan termasuk Armenia dan Azerbaijian terpaksa menarik semula keputusan nak bagi Nagorno-Karabakh kepada Bolshevik Armenia.

Campur tangan ni ada kena mengena jugak untuk melemahkan perpaduan etnik berjatikan Armenia di Nagorno-Karabakh, sebab orang Azerbaijian dah mulai mendiami kawasan sekitar tu. Konflik kemudiannya terus berlangsung sehingga pada 1988 apabila masalah awalnya iaitu sekadar isu persempadanan menjadi isu etnik pulak. Perang kecil berlaku sehinggalah menjadi suatu perang yang berskala besar pada 1994. Azerbaijian kalah dan etnik Karabakh Armenia mendiami lebih banyak kawasan sekitarnya.

Nagorno Karabakh Rusia
Via The Indian Express

Kelompok komuniti Karabakh Armenia ni disokong oleh kerajaan Armenia, manakala undang-undang antarabangsa kata Nagorno-Karabakh ni merupakan milik Azerbaijian. Dah banyak sebenarnya usaha rundingan namun semua berakhir penuh buntu. Kesannya, masyarakat Karabakh Armenia yang tak setuju di bawah sempadan Azerbaijian dah isytihar diri mereka sebagai sebuah republik bebas. Malangnya ia tak diiktiraf pun oleh undang-undang antarabangsa.

Turki sokong Azerbaijian walaupun rundingan negara-negara besar gagal, Rusia berjaya tenangkan keadaan

Salah satu faktor jelas yang buatkan orang Armenia taknak diperintah oleh Azerbaijian adalah perbezaan agama tu sendiri. Populasi terbesar Armenia ni merupakan penganut Kristian manakala populasi terbesar untuk Azerbaijian merupakan penganut Islam. Oleh disebabkan faktor ni jugaklah, Turki antara negara yang konsisten sokong Azerbaijian sejak 1991. Pada 1993, Turki tutup sempadannya untuk Armenia sebagai tanda sokongan kepada Azerbaijian.

Turki Azerbaijian
Dari kiri, bendera Turki dan Azerbaijian… Via Foreign Policy

Rundingan pertama pada 1994 yang dimulakan oleh Rusia dulu dah berjaya tenangkan keadaan. 2 tahun sebelum tu, sebuah organisasi yang dipengerusikan tiga negara besar iaitu Amerika Syarikat, Rusia dan Perancis dinamakan Organization for Security and Co-operation in Europe (OSCE) Minsk Group menjadi pentas untuk bincangkan konflik tersebut antara Armenia dan Azerbaijian.

Walau bagaimanapun, konflik tersebut menjadi lebih teruk pada 2016 dan mengakibatkan ramai terbunuh dan terpaksa berpindah keluar dari kawasan Nagorno-Karabakh untuk selamat. Tentera pemisah Armenia dan pasukan tentera Azerbaijian berbalas tembakan, akhirnya yang tersepit dan merasa kehilangan cumalah rakyat yang nak hidup aman.

Titik sinar muncul jua pada 2018, Nikol Pashinyan dipilih menjadi Perdana Menteri lepas revolusi aman yang menumbangkan Serzh Sargsyan dari tampuk pentadbiran Armenia. Lepas pelantikan Pashinyan, dia bersetuju nak buat rundingan damai dengan Presiden Azerbaijian, Ilham Aliyev. Namun hanya setahun lepas tu, Pashinyan terlepas cakap dengan kumpulan pendemonstran etnik Armenia bahawa Artsakh (bandar bersejarah di Karabakh) tu hak Armenia.

Ni buatkan rakyat Azerbaijian marah, dan Presiden Aliyev mengutuk pernyataan tersebut. Pada Julai tahun ni pulak, berlaku pertembungan senjata di sempadan antarabangsa Azerbaijian dan Armenia. Hal ni diburukkan lagi dengan keberadaan tentera kerajaan Turki buat latihan bersama Azerbaijian pada bulan yang sama. Disengajakan atau kebetulan; tu kita tak pasti.

War Pain Nagorno Karabakh
Menangisi kanak-kanak yang turut jadi mangsa. Melihat kemusnahan ni, berbaloi ke?… Via The Washington Post

Pada September tahun ni, berlaku lagi pertembungan senjata. Armenia mendakwa Azerbaijian mula dulu, manakala Azerbaijian kata tu cuma membalas mula serangan Armenia. Seterusnya pada November tahun ni, kedua-dua pihak akhirnya setuju nak tandatangani perjanjian damai dengan Rusia sebagai orang tengah.

Benda ni tak mengejutkan sebab Rusia ni kawan dengan kedua-dua pihak. Antara syarat utama adalah Azerbaijian boleh kekalkan kawasan yang dipegangnya manakala Armenia kena keluarkan tentera daripada kawasan yang dipegang Azerbaijian. Untuk meredakan ketegangan di sempadan, Rusia turut meletakkan hampir 2,000 tentera pengaman sebagai cara nak pastikan takde yang langgar perjanjian.

Kami harap konflik ni terus terhenti dan diselesaikan dengan cara yang lebih baik dari sekadar angkat senjata. Konflik sebegini dari sudut geopolitik amat menguntungkan para elit, tetapi amat merugikan buat rakyat biasa. Soal persempadanan, etnik dan kewilayahan tentunya tak mudah untuk diselesaikan, maka kita dari jauh hanya mampu berdoa yang terbaik buat rakyat kedua-dua negara di sana.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top