Sejak perang dunia kedua, dunia mengenali Rusia sebagai sebuah negara besar yang berkuasa. Perang Dingin akhirnya menyusul, membuatkan kita semakin skeptikal dengan sistem kerajaan di Rusia. Sehingga kini, kita dah biasa dengan khabar tak sedap mengenai Rusia. Rupanya bukan kita yang orang luar ni je tak sedap hati; rakyat sana pun sebenarnya turut mahukan perubahan khususnya bila dah bertahun-tahun lamanya Vladimir Putin mentadbir negara tersebut.
Protes baru-baru ni mendapat perhatian dunia di Moscow, ditambah lagi dengan tersiarnya dokumentari berani mati yang mendakwa Putin ni penuh dengan korupsi, skandal serta penipuan terhadap rakyatnya. Nama Alexei Navalny menjadi carian hangat awal tahun ni, malah dikatakan sebagai ‘lelaki yang paling ditakuti Putin’. Kenapa Putin begitu takut Navalny?
Alexei Navalny bersungguh-sungguh lawan Putin, hampir kena bunuh pun masih tetap nak menentang
Mungkin korang boleh kata Alexei Navalny ni buat kerja gila je nak lawan sorang pemerintah yang digeruni ramai, tapi kadangkala, kerja gila macam ni sebenarnya yang jalan yang betul. Sebelum kami cerita terus kepada kisah masa ini, ada baiknya kalau kita berkenalan dulu siapa sebenarnya Alexei Navalny. Navalny lahir pada 1976, berlatar pendidikan dalam bidang perundangan pada 1998.
Pada 2008, Navalny melaburkan duitnya sebagai 30,000 rubles (kira-kira RM16,009.58) dalam saham syarikat minyak dan gas Rusia seperti Rosneft, Gazprom, Gazprom Neft, Lukoil dan Surgutneftegas. Sebagai salah sorang pemegang saham tu, dia berusaha untuk ‘bersihkan’ dan mementingkan ketelusan dalam laporan kewangan syarikat-syarikat ni. Kemudiannya 2 tahun berlalu; dia menyiarkan laporan audit kewangan Transneft dalam blognya. Navalny mendakwa kira-kira 4 bilion dolar dicuri oleh orang atasan Transnet semasa pembinaan sistem perpaipan minyak Eastern Siberia-Pacific Ocean.
Tak berhenti setakat tu, Navalny menyiarkan kertas siasatannya berkaitan urusan rundingan harta bangunan pada 2011 antara kerajaan Hungary dan kerajaan Rusia. Dalam siasatannya tu, Hungary dikatakan menjual sebuah bekas bangunan kedutaan di Moscow sebanyak 21 juta dolar kepada sebuah syarikat luar pesisiran milik Victor Vekselberg. Bangunan tersebut akhirnya dijualkan semula kepada kerajaan Rusia sebanyak 116 juta dolar. Akibatnya, 3 pegawai kerajaan Hungary ditahan namun takde cerita di pihak Rusia.
Pada 2012 pulak, Navalny mendedahkan 2 lagi skandal kewangan melibatkan dua menteri Rusia iaitu Menteri Dalam Negeri Chechen, Ramzan Kadyrov dan Timbalan Perdana Menteri Igor Shuvalov. Skandal kewangan ni berbeza ceritanya, namun dah cukup memperlihatkan betapa besarnya pengaruh Navalny sebagai aktivis dan penyiasat yang berani membocorkan maklumat yang penting untuk diketahui ramai.
Pada tahun 2017, dia muat naik dokumentari untuk tontonan umum kat Youtube, di mana dia mendakwa Perdana Menteri Dmitri Medvedev terlibat dalam korupsi dan berjaya mengajak demonstrasi anti-rasuah sekitar Rusia. Dia ditahan dan dipenjarakan 15 hari sebelum dia dilepaskan semula. Pada 2020, dia percaya ada arahan bunuh dirinya dikeluarkan lepas percubaan tersebut gagal. Namun pada 2021, dia kembali ke Rusia lepas membikin filem dokumentari yang mendakwa Putin turut terbabit dalam korupsi dan membina istana besar untuk dirinya di Kransnodar Krai.
Istana mewah ni untuk Tsar je, ramai keluar protes tuntut ketelusan dan bebas dari korupsi
Daripada skandal-skandal kewangan, isu rasuah dan korupsi yang dilihat semakin meruncing, ramai antara rakyatnya yang dah penat nak percaya kerajaan macam tu. Nak tegur pun, tak boleh sangat. Boleh jadi esok lusa dah hilang dari pandangan keluarga. Walaupun begitu, ada yang tetap bertegas nak keluar menunjuk perasaan demi menekan kerajaan supaya lebih serius menangani korupsi dan salahguna kuasa yang wujud sekian lama.
Dengan penahanan Alexei Navalny, ribuan keluar dan turut mendesak kerajaan lepaskan Navalny. Insiden cubaan pembunuhan tersebut agak teruk jugak sebenarnya, kerana dia terpaksa mengambil masa berbulan lamanya untuk pulih. Dakwanya, ada pegawai yang ditugaskan untuk mencampurkan minuman teh yang dihirupnya dengan racun Novichok. Gaya ‘serangan’ macam ni sebenarnya dah jadi kepada tokoh anti-Putin yang lain, jadi tentulah orang lebih yakin bahawa ni memang arahan Putin.
Menurut koresponden BBC Sarah Rainsford, kebanyakan yang keluar memprotes ni pun sebenarnya takde lah ikuti sangat perkembangan Navalny. Namun mereka terkejut apabila dia dilayan sebegitu rupa, dan kini melihat Navalny sebagai ‘simbol penentangan’ serta meluahkan rasa mereka untuk melihat perubahan. Memandangkan pihak polis ni terus berkawal bagi memastikan takde rusuhan berlaku, para pemprotes ni bagaikan bermain kejar-kejar pulak dengan polis agar tak ditangkap atau dikesan polis.
Ada pulak yang ditarik dan diheret keluar daripada barisan pelindungan yang dibuat oleh para pemprotes yang lain. Dengan hiruk-pikuk tu jugak, kedengaran jeritan “Down with the Tsar” dalam sebuah tunjuk perasaan di St. Petersburg. Gelaran tu dipercayai ada kaitan dengan Putin dan pengaruhnya yang cukup besar macam sorang raja. Di bandar Novosibrisk, terletak di kawasan sejuk Siberia; dilaporkan kira-kira 2,000 orang keluar protes.
Setiausaha Luar Amerika Syarikat yang baharu, Antony Blinken mengutuk tindakan keras dan taktik ugutan yang diberikan kepada para wartawan dan pemprotes aman di sana. Rusia memberi respon balas menuduh Amerika Syarikat cuba mencampuri urusan hal ehwal dalaman negara tersebut, sementara pihak polis dilaporkan sedang berusaha nak beri ruang untuk menempatkan para pemprotes yang dah ditahan.
Mengikut kumpulan pemerhati OVD-Info, pihak polis menangkap lebih dari 5,000 pemprotes daripada 86 bandar sekitar negara tersebut. Ni termasuklah 1,608 yang dahpun ditahan di Moscow dan 1,122 lagi di St. Petersburg. Isu-isu korupsi dan ketelusan ni sebenarnya harus ditegakkan tanpa rasa malu oleh rakyat, sebab rakyatlah pemegang kuasa sebenar dalam sesebuah kerajaan. Rakyat bayar cukai, dan cukai tulah yang membiayai pentadbiran kerajaan. Taktik kekerasan tentulah hanya akan memburukkan keadaan yang boleh je diperbetulkan semula oleh kerajaan.