Dasar Pandang ke Timur merupakan salah satu dasar yang diharapkan dapat mengubah budaya kerja serta polisi ekonomi kita ni agar lebih berdaya saing dengan kerjasama dari peringkat antarabangsa. Biasanya bila orang sebut pasal dasar ni, ramai akan teringat Tun Mahathir yang gagaskan benda ni.
Dari mana sebenarnya datangnya idea ni? Adakah Tun Mahathir yang terfikir benda ni lebih awal? Haa.. Sebenarnya idea dasar pandang ke Timur ni dah wujud di minda Tun Hussein Onn lagi. Jom kita telusuri hubungan awal kita dengan Jepun lepas merdeka.
Hubungan diplomatik Malaysia dengan pelbagai negara baik hingga takde masalah nak tarik pelabur luar termasuklah Jepun
Tak ramai yang perasan bahawa kita sebenarnya mempunyai pertalian kerjasama yang erat dengan Jepun sejak 60-an lagi. Mengikut kajian jurnal dari Uqbah Muhammad Iqbal dan Nordin Hussin (2017) dari Universiti Malaya, ekonomi kita banyak bergantung dengan pelaburan dari negara Asia Timur seperti Jepun.
Pada masa tu, Malaysia sebagai negara baharu melihat cara nak maju dengan pantas adalah dengan wujudkan persekitaran rantau yang sihat dan aman. Untuk mengecapi kestabilan rantau Asia Tenggara lagi-lagi dalam situasi politik dunia yang sedang dalam ‘Perang Dingin’, maka kerjasama dengan negara ASEAN amatlah berharga untuk memastikan perkembangan negara kita tak tergugat sama.
Kekuatan Jepun daripada negara yang hancur ranap selepas pengeboman kotanya Hiroshima dan Nagasaki sejak Perang Dunia kedua terserlah apabila dalam beberapa dekad je, Jepun membina dirinya sendiri menjadi negara berteknologi dan berkepakaran tinggi.
Hubungan baik kita dijaga rapi menerusi kerjasama politik dengan pertubuhan antarabangsa seperti ASEAN, Komanwel, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Selain tu, kita jugak mempunyai kerjasama ekonomi dengan negara-negara dunia ketiga dengan negara Afro-Asia.
Atas hubungan kita yang amat baik dengan pelbagai negara, kita tak banyak masalah nak tarik pelabur asing. Sebaliknya, Malaysia dan negara ASEAN lain kekurangan teknologi dan kepakaran untuk memajukan industri. Jepun pulak ada kepakaran tersebut, namun mereka perlukan pasaran dan sumber bahan mentah untuk majukan ekonomi mereka pulak. Sudah pastilah negara kita adalah destinasi pasaran yang amat baik untuk mereka.
Jepun amat percaya dengan kita sehinggakan sanggup bagi pinjaman dan bantuan kewangan untuk bangunkan negara
Pada 1977, The Associated Malay Chambers of Commerce (AMCC) jemput Jepun untuk bangunkan industri petroleum tempatan. Macam yang kami cakap tadilah, kita kekurangan teknologi dan kepakaran untuk bangunkan industri kita termasuklah dalam sektor petroleum ni.
Jepun tambah berminat dengan Malaysia apabila Perdana Menterinya, Takeo Fukuda melawat Malaysia pada Ogos 1977 dan kunjungan balas Malaysia kemudiannya pada September 1977. Ni menambah baik imej Jepun di Malaysia, khususnya lepas Perang Dunia kedua dulu.
Tak cukup dengan tu, Doktrin Fukuda yang diperkenalkan Jepun pada 1977 dulu diharapkan dapat memenangi hati dunia. Di bawah doktrin ni, Jepun komited untuk tak muncul lagi sebagai kuasa ketenteraan dan akan berusaha untuk membantu mencapai keamanan.
Untuk buktikan komitmen mereka untuk menjenamakan semula negara mereka di persada ASEAN, Jepun banyak bantu memberi pinjaman kepada Malaysia untuk menjayakan rancangan-rancangan ekonomi kita. Misalnya lepas hasil perbincangan Tun Hussein Onn dengan Perdana Menteri Jepun dulu, Jepun beri pinjaman sebanyak RM 21 billion khusus untuk perlaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga.
Hubungan kita dengan Jepun tambah erat lepas 1978, iaitu lepas pengenalan Dasar Ekonomi Baru dengan kejadian pencerobohan tentera Vietnam di Kemboja. Pada 1979, menteri-menteri ASEAN yang menyertai Persidangan ASEAN telah bersetuju bahawa hubungan Jepun dan ASEAN haruslah diteruskan dan Jepun jugak digesa untuk memperkemas strategi baru pembangunan ASEAN untuk 1980-an.
Jepun alu-alukan pelajar dari Malaysia untuk belajar kepakaran teknikal dan vokasional
Selain dari hubungan perdagangan dan perniagaan kita dengan Jepun, kita turut menghantar ramai anak muda kita untuk belajar di Jepun. Tujuannya adalah untuk memberi pendedahan melalui latihan teknikal dan vokasional kepada generasi muda zaman tu, sesuailah dengan keperluan industri masa tu.
Idea “Pandang ke Timur” diaplikasikan menjadi satu budaya kerja baharu, jadi amalan sehingga kini
Hubungan kita dengan Jepun banyak berlegar dalam ruang ekonomi dan bantuan kewangan, di samping perkongsian ilmu pengetahuan serta teknologi. Tun Dr. Mahathir kemudiannya menerapkan lagi ciri-ciri budaya etika kerja Asia Timur dalam budaya kerja orang Malaysia seperti kerajinan, disiplin bekerja, kesetiaan kepada negara serta kepada syarikat.
Di bawah Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan pada 1982 oleh Tun Dr. Mahathir, polisi hubungan politik kita dengan negara lain pun turut berubah. Daripada polisi berkecuali dan berbaik kepada semua negara, akhirnya kita dilihat lebih mesra kepada beberapa blok dunia je. Tun Mahathir pernah buat kempen Buy British Last, menunjukkan reaksi agresif kepada blok Barat khususnya kepada British.
Walau bagaimanapun, ni cuma sejarah polisi dan dasar kita je. Melangkah ke dekad 2020 ni, budaya dan prinsip kita harus diteguhkan agar lebih bersesuaian dengan kehendak zaman. Nak bangkitkan polisi lama pun boleh je, yang penting kenalah dikaji semula sama ada masih bagus ke tak untuk generasi akan datang.