Pernah tak bila korang bercuti tak kiralah dengan kawan, keluarga atau pasangan, korang susah nak faham apa maksud star ratings sesebuah hotel atau tempat korang bermalam? Asal 5 bintang, korang bayangkan betapa megah dan mewahnya biliknya… kalau 1 bintang ataupun takde langsung, korang bayangkan pulak tempat tu mesti kotor dan penuh habuk. Sebenarnya penarafan bintang ni takdelah seratus peratus dinilai dari kekemasan dan kecantikan sesebuah bilik tu je.
Sistem bintang ni hanya untuk hotel je rupanya…
Sebenarnya Malaysia pun ada jugak sistem penarafan hotel tersendiri. Kita ambil kira banyak aspek dalam panduan antarabangsa United Nations World Tourism Organisation dan buat sendiri sistem pemarkahan untuk penarafan hotel yang sesuai untuk budaya masyarakat Malaysia. Bagus jugak tu, sebab para pelancong tempatan pun boleh tinggal dengan selesa dan tak rasa janggal kat tanah air sendiri.
Secara asasnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan kata ada empat kategori utama dalam bidang perhotelan dan penginapan sementara ni iaitu Green Hotel, Hotel, Hotel Apartment dan Orkid. Walaupun korang nak sebut semua ni sebagai ‘hotel’, tapi kalau ikut sistem taraf bintang, tiap-tiap kategori ni ada syarat markah tertentu untuk melayakkan dapat diberi bintang. Daripada empat ni, hanya kategori Orkid je takde bintang.
Kategori Orkid ni pun sebenarnya baru je pun diperkenalkan, iaitu pada 2017 menerusi pengenalan sistem pemarkahan yang dah dikemaskini mengikut keperluan penting seperti kemudahan Wi-Fi. Menurut penjelasan Malaysiakini:
“Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan turut perkenalkan taraf orkid sebagai sistem klasifikasi untuk premis penginapan bajet yang tidak mencapai syarat untuk masuk dalam Skim Klasifikasi Bintang”- Seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini pada 9 Julai 2017.
Berikut adalah kadar cukai ikut kategori bintang:
- Lima bintang: RM20 sebilik per malam
- Empat bintang: RM10 sebilik per malam
- Satu hingga tiga bintang: RM5 sebilik per malam
- Satu hingga tiga orkid: RM2.50 sebilik per malam
- Tiada penarafan: RM2.50 sebilik per malam
Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia terkecuali dari cukai ni lepas ramai tak puas hati dan hanya akan dicaj kepada para pelancong asing je. Kami pun rasa tu lebih baik sebab kita pun kena galakkan para pelancong tempatan untuk memacu industri pelancongan kita, bukan hanya nak harapkan para pelancong asing yang kena berlambak datang semata-mata.
Wow, punya teliti nak bagi markah untuk dapat bintang…
Ada enam kriteria yang akan diperiksa oleh pihak pemeriksa dari Kementerian bila nak bagi penarafan bintang kat sesebuah tempat penginapan khususnya hotel-hotel yang nak jaga kualiti penginapan mereka. Bila taraf bintang mereka tinggi dan diiktiraf kat Malaysia serta seluruh dunia, sudah pastilah lebih ramai orang nak cuba perkhidmatan penginapan mereka termasuklah orang-orang kenamaan. Korang bayangkanlah macam Hilton dan Le Meridien…
Antara kriteria tersebut adalah dari segi keperluan aestetik dan kualitatif yang pentingkan kekemasan, ketersusunan, menarik dan bersih. Faktor keselamatan dan kesesuaian hiasan, perabot pun diambil kira jugak, dengan penilaian sebanyak 10%. Selain tu, sesebuah hotel mesti ada kemudahannya yang tersendiri (20%) dan untuk capai taraf 5 bintang; ruang mesti luas dengan secukupnya dalam semua kawasan hotel termasuklah bahagian surau, tandas awam dan beberapa fasiliti rekreasi lain seperti gimnasium dan kolam renang.
Untuk fasiliti dalam bilik pula iaitu sebanyak 20%, antara keperluan yang wajib ada kalau nak dapat 5 bintang adalah akses Wi-Fi, air minuman dan gelas disediakan, saluran televisyen pula kena ada minimum 6 saluran manakala sistem penghawa dingin pula mesti sesuai ditempatkan supaya para pelanggan boleh rasa selesa.
Paling minimum pun, kena ada akses telefon untuk memudahkan komunikasi sama ada ke luar hotel mahupun dalam hotel.
Kriteria yang dinilai seterusnya adalah dari segi servis. Peratusan markah kriteria ni besar daripada kriteria yang lain iaitu sebanyak 25%. Sesebuah hotel boleh je bagi cantik, kemas dan pilih perabot yang paling baik sekali, tapi bagaimana dengan servis lain?
Jadi kualiti servis tu pun merangkumi servis makanan, minuman dan servis perkhidmatan dan penyediaan kereta untuk para pelanggan yang takde masa nak cari Grab. Sebab tu kebanyakan hotel besar ada servis tersebut termasuklah limosin yang menunggu depan lobi.
Kebersihan dan keselamatan pun turut dinilai jugak dengan markah penilaian sebanyak 10%, seperti bekalan kuasa simpanan kalau-kalaulah berlaku kecemasan yang melibatkan sumber elektrik dari sistem penjana kuasa utama terputus. Lampu kecemasan kena ada dan mudah dilihat oleh semua orang, dan kenalah sentiasa bersih termasuklah di kawasan tandas serta dapur restoran.
Kriteria terakhir adalah kualiti perkhidmatan staf tu sendiri (10%). Penilaian ni mengutamakan perkhidmatan dan latihan yang dah diberikan kepada staf, serta kebolehan berbahasa Inggeris. Satu bonus jika staf hotel tersebut ada kemahiran berbahasa lain khususnya ikut kelompok para pelancong yang selalu menginap kat sana.
Kalau ramai orang Perancis, maka Perancislah bahasa tambahan yang harus dikuasai oleh para staf hotel tersebut. Pakaian uniform pun kena sentiasa kemas, bersih dan selamat digunakan.
Industri perhotelan, penginapan boleh jadi sumber perniagaan pasif…
Orang kata kalau nak cepat kaya, kenalah tau macam mana nak uruskan aliran duit korang. Korang takkan kaya dengan sekadar berjimat je, dan takkan kaya kalau hanya tau pakai duit atau ikut MLM. Jadi bila difikir semula, industri perhotelan dan penginapan bajet seperti inapan keluarga (homestay) boleh jadi salah satu model perniagaan yang baik. Setakat ni, kami dah terangkan sikit macam mana nak buat duit dengan jual barangan tanpa simpan stok, ataupun korang boleh buat kerja sambilan di mana-mana je.
Kalau nak buat bisnes homestay ni, korang takdelah perlu kejar sangat taraf bintang sebab ia perlukan modal yang amat besar. Selain dari sewakan rumah atau bilik kat orang lain, kenapa tak buat je penginapan bajet atau homestay kan? Majalah Labur senaraikan 7 tips macam mana mulakan ceburi industri penginapan sementara ni.
Yang penting, lokasi dan saiz dalaman kena cun, pengiklanan kena mantap dengan tawaran istimewa secara bermusim dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Tak pasal-pasal, korang kena tuduh buka premis haram dari segi perundangan dan agama. Lepas tu, korang boleh rujuk kat sini mengenai sistem pemarkahan yang boleh korang usahakan.