Sedang seluruh mata rakyat tertumpu pada pergelutan kuasa para pemimpin nak cari undi majoriti mudah, kita sempat melihat kebaikan dan keprihatinan YDP Agong yang sanggup keluar bersama para pegawai istana semata-mata nak agih-agihkan makanan kepada warga media. Permaisuri Agong pun tak kurang manisnya bila sambal air tangan baginda ‘menyatukan’ Malaysia dengan negara lain.
Orang agih makanan tanda penghargaan, Youtuber Isa Isarb cuba agih duit RM10,000…
Tindakan YDP Agong agih-agihkan makanan pada pihak media yang sanggup berpanas laporkan perkembangan semasa untuk rakyat ni akhirnya ditiru oleh pihak syarikat berjenama. Ada jugak warganet kata tindakan syarikat berjenama ni cuma nak tumpang ‘hype’ je depan Istana Negara di samping nak mempromosikan jenama atau produk mereka.
Bagi kami, benda ni takdelah bawa masalah pun sebab ada pihak syarikat ni hanya sekadar mengambil peluang untuk sumbangkan produk mereka tanpa ada niat tersembunyi. Walaupun begitu, kami faham jugak kegusaran sesetengah rakyat yang tengok perkara ni seolah tak hormat pulak kawasan Istana tu.
Atas sebab ni lah, boleh pulak sorang Youtuber bernama Isa Isarb datang nak buat video prank dengan nak ‘agih-agihkan’ duit kertas RM1 berjumlah RM10,000!
“Semalam Agong bagi McDonalds, hari ni KFC, jadi hari ketiga Isa nak pergi bagi. Saya nak buat cabaran pergi bagi habiskan RM10,000, bagi RM1 seorang,”- Isa Isarb, dalam sebuah klip video miliknya
Cubaan Isa nak agih wang tunai tersebut gagal apabila dia dan rakan-rakan dihalau pihak polis yang mengawal di hadapan pintu masuk Istana Negara. Akur dengan larangan tersebut, Isa kemudian bertindak meninggalkan kawasan istana bagi menghormati arahan pihak berkuasa.
Ketika keadaan dilihat terkawal, Isa dan rakan-rakannya kembali cemas apabila mereka perasan ada kenderaan lain mengekori mereka sewaktu dalam perjalanan pulang. Mereka putuskan untuk berhenti dan menyapa individu terbabit.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik, individu tidak dikenali terbabit dipercayai pihak berkuasa yang kemudiannya memberi nasihat agar tidak mengulangi perkara sama. Di akhir video yang dimuat naik tu pulak, Isa Isarb berpesan agar jauhi rasuah.
“Akhir kata, siapa-siapa yang mentadbir negara atau mendapat kuasa selepas ini, saya nasihatkan jangan buat seperti saya, jangan beli apa-apa guna duit. Buatlah dengan cara jujur dan kurangkan rasuah, anti rasuah”
Ia suatu cara yang agak luar biasa dan berbahaya, bila nak difikirkan semula. Korang bawa wang tunai bernilai RM10,000 kat kawasan terbuka, lepas tu mendakwa nak prank pihak petugas media dengan RM1? Pesanan tu dah cukup baik, tetapi kami pun nak pesan jugak kat anak muda luar sana supaya berhati-hati khususnya nak buat prank. Pastikan korang fahami risiko dan akibat jika nak teruskan buat prank macam ni ye…
YDP Agong pun ikut prosedur nak pilih Perdana Menteri, demokrasi belum mati lagi…
Kami dah tulis sikit pasal kes beberapa orang yang dicari oleh pihak polis kerana didakwa keluarkan kenyataan menghina YDP Agong. Sekali lagi kami nak tegaskan bahawa mempersoalkan Perdana Menteri tak bererti korang hina YDP Agong dan kebijaksanaannya, sebab baginda pun pilih ikut apa yang dihadapkan kepadanya. Haa… ni harapnya jawab kenapa kedua-dua pihak (Muafakat Nasional & Pakatan Harapan) nak kumpul sokongan guna akuan bersumpah (SD).
YDP Agong memang ada kuasa nak pilih Perdana Menteri, dan ia dah tertakluk dalam perlembagaan. Menurut Astro Awani, ikut Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri dalam kalangan Ahli Parlimen, yang Baginda berpendapat mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.
Dalam Perkara 40(2) pula, YDP Agong dengan budi bicaranya boleh lantik seorang PM dan tak perkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen, serta berkuasa nak lantik seorang ahli Dewan Rakyat yang mungkin dapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai PM untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.
Kalau nak kata demokrasi dah mati… ia belum mati lagi pada hakikatnya. Masih wujud lagi keperluan rakyat untuk mengundi, dan masih wujud lagi parti pembangkang untuk meneruskan semak-dan-imbang dalam kerajaan. Suara rakyat masih berkesan nak tekan kerajaan Muafakat Nasional, sekaligus menjadikan masyarakat muda kita lebih sedar politik jugak.
Yang kami nak persoal pula adalah ketelusan Muafakat Nasional sebagai kerajaan nak banteras masalah yang dahulunya buatkan BN-UMNO tumbang pada 2018. PH tak sempurna, namun mampu ke Bersatu nak ‘kawal’ tindak-tanduk para pemimpin UMNO dan PAS dari menyalahgunakan kuasa semula?
Namun pembentukan kerajaan pintu belakang ni sememangnya suatu penghinaan kepada mandat rakyat yang dah memilih dulu, terutamanya bila masih ada para pemimpin dalam permuafakatan tu terpalit dengan kes penyelewengan dan rasuah. Masih suram harapan dan persepsi rakyat terutamanya anak muda tak kira kaum dan agama ni mengenangkan kuasa kepimpinan yang kembali semula di tangan kotor mereka yang melanggar nilai moral Melayu yang jujur serta nilai Islam yang menjunjung amanah.