Memerhatikan situasi semasa pandemik hari ni, kita masih lagi bergelut dengan laporan peningkatan kes harian dan usaha nak percepatkan agihan vaksin kepada rakyat. Istilah ‘imuniti kelompok’ menjadi istilah harapan buat semua, walaupun ada jugak yang masih tak percaya tentang keberkesanan imuniti kelompok. Sebilangan kecil ni masih tak yakin nak ambil vaksin, dan ada jugak lebih memilih untuk ambil ubat-ubatan yang belum sah selamat sebab diorang dah ‘biasa’ dengan idea telan ubat berbanding suntik ubat.
Bagaimana apapun kepercayaan sesetengah orang ni terhadap vaksin, khususnya yang tolak vaksin ataupun benci dengan “agenda” vaksin… tak dinafikan bahawa buktinya dah ada di Malaysia – imuniti kelompok berjaya mengekang penularan Covid-19 dalam kawasan tu. Maksudnya, kalaupun ada jangkitan baharu… kesan kepada kesihatan para pesakit semakin berkurang dan risiko maut akibat komplikasi Covid-19 semakin rendah. Atas usaha kerajaan, Labuan menjadi negeri pertama di Malaysia yang capai imuniti kelompok.
Labuan selesai capai 80% populasi dewasa untuk imuniti kelompok, catat sifar kes buat kali pertama
Pada Julai lepas, Labuan mengumumkan diorang dah selesai memvaksinasi penuh 80% populasi dewasa. Wilayah Persekutuan tu dilaporkan siap beri suntikan vaksin kepada 54,800 daripada 68,500 penduduk dewasa yang disenaraikan layak untuk dapat vaksin dari PICK. Salah satu cara diorang mempercepatkan rancangan tersebut adalah diorang jalankan vaksinasi dari rumah ke rumah untuk para orang kurang upaya (OKU) dan sesiapa yang terlantar sakit sehingga menyukarkan diorang datang sendiri ke pusat vaksin.
Selain tu, diorang jugak melaksanakan vaksinasi pandu lalu dan ‘walk-in’ yang dikendalikan oleh Majlis Perwakilan Penduduk. Hasilnya, ramai penduduk dari 27 kampung datang ke pusat vaksin yang dah ditetapkan. Ketika tu, Labuan ada 9 pusat vaksin termasuk 1 di terminal feri antarabangsa untuk pekerja dalam sektor perkapalan, serta minyak dan gas. Pesanan Pengarah Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari sebenarnya perlu kita hadam baik-baik.
“Sekurang-kurangnya satu ke dua tahun kita akan hidup dengan pandemik ini. Kita perlu memastikan ahli keluarga dan rakan-rakan telah divaksin penuh bagi melindungi diri kita daripada COVID-19,” – seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Ni bermaksud pandemik ni tak berhenti apabila kita dah habis vaksin. Imuniti kelompok ni boleh dibayangkan macam korang buka payung sewaktu hujan. Korang tak basah lencun, walaupun hujan menderu. Hujan tak berhenti saat korang buka payung; dan begitulah realiti pandemik yang berlaku sekarang. Kita kena bersama-sama ‘membuka payung’, barulah semuanya boleh rasa kering dan selamat dari hujan virus ni.
Berbalik kepada apa yang berlaku kat Labuan, hanya seminggu lebih sebelum pengumuman capai 80% tu… varian Delta dahpun dikesan di situ. Bagaimanapun, pemberian vaksin dilihat berjaya bendung penularan Covid-19 dalam masa kurang tiga minggu. Ni jugak menunjukkan bahawa pemberian vaksin sememangnya memberi kesan positif kepada tahap kesihatan awam dalam sesebuah kawasan tu.
Pada 14 Ogos, Labuan catat sifar kes jangkitan. Ketika negeri lain masing-masing bergelut dengan kes baharu, Labuan dah berseronok meraikan kejayaan diorang yang berjaya catat sifar kes jangkitan. Untuk pengetahuan korang, sejak pandemik melanda… Labuan tak pernah catat sifar kes harian. Labuan antara kawasan yang paling teruk terjejas.
Bukan sekali pertama ni berlaku; ia berlaku sekali lagi 3 hari lepas tu dalam pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham.
“Sekali lagi Labuan mencatatkan sifar kes, alhamdulillah. Semoga wilayah-wilayah dan negeri-negeri yang lain mengikuti jejak langkah Labuan dgn kepatuhan kepada SOP secara menyeluruh. Sayangi diri dan masyarakat keseluruhannya #KitaJagaKita,”- sepert yang dilaporkan oleh Kosmo
Labuan jadi negeri pertama beralih ke Fasa 4, Perlis turut bersemangat nak ikut Labuan
Seiring dengan kejayaan Labuan mencapai lebih 80% populasi dewasa yang dah divaksin, kerajaan menetapkan Labuan dah boleh beralih masuk ke Fasa 4 mulai 27 Ogos. Setakat ni, Labuan dah vaksinkan 92.4% imuniti kelompok bagi populasi dewasa. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kata keputusan peralihan ke Fasa 4 adalah berdasarkan kepada kadar vaksinasi lengkap dua dos, bukti trend menurun kes positif kepada satu digit secara konsisten selama 12 hari berturut-turut.
Kadar penggunaan katil di ICU kat Labuan jugak menurun ke angka sifar berbanding 30% pada bulan sebelumnya.
“Mengambil kira keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan hari ini mengumumkan peralihan Fasa PPN di Labuan daripada Fasa Tiga kepada Fasa Empat,”-seperti yang dilaporkan Berita Harian
Selain dari usaha vaksinasi, sekatan pergerakan jugak membantu kawalan pandemik ni. Tetapi bagi Dr. Ismuni, cabaran seterusnya kini adalah nak pastikan kawalan terhadap peningkatan jumlah pekerja asing daripada sektor perkapalan serta minyak dan gas selalu bertandang ke Labuan.
Usaha vaksinasi diorang jugak sejak 14 Ogos, tak melupakan warga tak berdokumen yang tinggal di sana. 101.39% populasi dewasa dah dapat dos pertama termasuklah warga takde dokumen. Arahan tersebut dah lama diumumkan pada Februari lalu, tetapi masih ramai lagi takut ditangkap kalau datang ke pusat vaksin. Mujurlah di Labuan, diorang tetap teguh nak datang ambil vaksin dan memudahkan usaha nak capai imuniti kelompok.
Sementara tu, Perlis menyasarkan akan beralih ke Fasa 4 dengan usaha mempercepatkan proses pemberian vaksin dan memperbanyakkan sasaran kuantiti vaksin setiap hari. Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) Perlis, Azman Mohd Yusof yakin Perlis boleh cecah 60% populasi dewasa divaksin lengkap dalam masa 10 hari lagi, dengan syarat jumlah vaksin kepada negeri tersebut tak dikurangkan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Peratusan pemvaksinan ini mampu mencapai 60 peratus dalam masa 10 hari lagi sekiranya kita hendak mencapai Fasa 4 PPN kerana sasaran kita adalah sekurang-kurangnya 3,000 vaksin diberikan sehari. Peruntukan diberikan kepada Perlis juga janganlah diubah kerana sekiranya diubah, ia akan merencatkan usaha untuk mencapai sasaran berkenaan,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian
Pada 2 Ogos lalu, Perlis bersama Sarawak dan Labuan beralih ke Fasa 3 PPN yang berkuatkuasa pada 4 Ogos. Namun tak lama lepas tu, Labuan lebih dahulu memecut ke Fasa 4 pulak. Keyakinan Pengerusi CITF Perlis ni yang kita mahukan; ada sasaran tersendiri dan taknak tunggu banyak masa untuk capai imuniti kelompok. Jangkaan 10 hari yang diletakkan tu nampaknya tak tercapai, kerana kenyataan tu dikeluarkan pada 9 Ogos. Sekarang dah nak hujung bulan Ogos.
Apapun, kami percaya bahawa semangat CITF Perlis, termasuklah negeri-negeri lain tak pernah pudar untuk pastikan semua orang dapat vaksin. Cabaran setiap negeri berbeza dan sebenarnya tak setara untuk dibanding-bandingkan. Kita harus pertimbangkan jugaklah dengan aspek lain seperti kadar populasi dewasa, kapasiti pusat vaksin dan keutuhan kerjasama antara pihak kerajaan dan masyarakat.
Labuan adalah sebuah pulau yang bersaiz sederhana, dan lebih rendah kadar populasi penduduknya kalau dilihat ke negeri ‘kecil’ lain seperti Perlis. Diorang jugak dipisahkan dengan kedua-dua negeri jiran Sabah dan Sarawak menerusi laut (dan belum ada jambatan pun nak hubungkan dengan tanah besar Sabah), maka urusan rentas negeri tu tentulah lebih sulit berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Paling penting, kejayaan Labuan harus jadi mercu cita-cita kita ke arah imuniti kelompok di Malaysia.