Hmmm…tengah fikir nak tidur ke tu? Mari baca artikel ni supaya mata korang kembali segar. Sebab hari ni kami nak beritahu satu info penting tentang tidur.
Pernah tak, terbangun tiba-tiba sebab mimpikan benda pelik? Daripada mimpi sengeri jumpa hantu atau hilang orang tersayang sehinggalah mimpi terlalu lucu sehingga terketawa bahak-bahak waktu tidur, inilah 5 sebab kenapa kita boleh bermimpi.
1. Nak tafsir mimpi, kena tengok apa benda yang dimimpikan
Sigmund Freud, seorang pakar psikoanalisis kata kita mimpi sebab dalam diam, kita mahu benda yang kita mimpikan tu. Dalam bukunya The Interpretation of Dreams, mimpi ni boleh terbahagi kepada dua komponen.
Pertama, mimpi kita terbentuk daripada imej-imej, perasaan dan fikiran yang terkandung serta bercampur aduk. Kedua, ada hasrat atau kemahuan tersembunyi dalam mimpi tu. Agak-agak mimpi kereta, maksudnya nak kereta baru ke? Hmm…
2. Siapa kata mimpi tak berguna?
Kadang-kadang lepas tidur, barulah terasa lega otak. Lepas mimpi minum milo tadi, baru teringat nak buat Milo Tabur. Tak pernah pun buat, tapi tup tup menjadi pulak. Haa.. sebenarnya ada penjelasan kenapa itu berlaku. Ikut teori J. Allan Hobson dan Robert McClarley pada 1977, otak jadi lebih aktif ketika fasa REM semasa tidur. Aktiviti otak ni akan keluarkan isyarat yang berbeza sehingga terjadinya mimpi.
Campuran isyarat ni akhirnya lahirkan banyak gambaran minda bawah sedar sehingga apabila terbangun, gambaran-gambaran dalam mimpi kita tadi secara tidak langsung ‘mencadangkan’ idea baharu walaupun agak mengarut di dunia nyata. Jadi lepas jangan hairan kalau lepas tidur, boleh terfikir idea-idea yang fantastik gitu.
3. Mimpi jadi stesen transit
Sebelum tidur, kita set di otak untuk siapkan kerja yang bos tugaskan tadi petang. Terbawa pula dalam mimpi; sampaikan kita rasa kita sudah siapkan kerja tu dalam mimpi walhal masih tengah tidur.
Jie Zhang, seorang ahli psikatrik mencadangkan bahawa sebenarnya otak tengah transfer memori jangka pendek untuk dipindahkan dalam simpanan memori jangka panjang. Sepanjang proses perpindahan memori berlangsung, mimpi terjadi.
Sebab itulah kadangkala kita boleh bermimpi semula pasal apa yang telah berlaku bukan setakat ketika siang tadi, tapi boleh sampai mimpi semula kejadian yang berlaku pada 2-3 minggu lalu.
4. Mimpi jadi ‘pusat buang sampah’
Tak, tak. Bukan sampah di rumah yang berlendir dan berbau tu. Sampah memori, kami maksudkan. Sampah memori ni boleh dikatakan perkara-perkara yang tidak relevan untuk kita ingat. Tu pasal kadangkala kita sampai tidak teringatpun apa sarapan kita seminggu lalu.
Hampir sama macam teori Hobson dan McClarley, otak pada fasa tidur REM sibuk asingkan memori-memori yang berkaitan dengan hidup mengikut kepentingannya. Teori mimpi ni dikemukakan oleh Crick-Mitchison pada 1983 dan dinamakan sebagai reversed learning.
Hasilnya, mana-mana memori otak yang dirasakan tidak penting akan di-nyahbelajar (unlearned). Sementara kita bermimpi, boleh jadi mimpi tu adalah sampah-sampah memori dalam bentuk imej yang tergabung. Disebabkan itu jugalah kita boleh lupa mimpi kita sendiri selagi ia tidak dipertautkan dengan apa-apa kepentingan dalam hidup.
5. Jangan takut kena kejar hantu pocong dalam mimpi!
Selain berfikir dan mengingat perkara-perkara lalu, otak juga ada fungsi tersendiri untuk membayangkan diri kita dalam situasi yang mengancam nyawa. Antti Revonusuo, seorang neurosaintis dan ahli falsafah Finland kata mimpi menjadikan seseorang lebih kuat dan tabah, bersedia secara mental untuk menghadapi cabaran esok hari.
Mimpi melawan zombie atau bersilat menendang hantu boleh jadi sebuah ‘permainan simulasi’ otak untuk mempersiapkan diri kita agar lebih berhati-hati dengan persekitaran masa kita tengah bangun. Oleh itu, janganlah rasa pelik bila ada mimpi-mimpi yang menakutkan. Bak kata orang tua-tua, mimpi adalah mainan tidur.
Ada berlambak lagi teori pasal mimpi…
Sebenarnya, banyak lagi teori mimpi yang wujud hanya untuk menjelaskan kenapa kita bermimpi. Secara saintifiknya, kami boleh simpulkan bahawa mimpi ni banyak kaitannya dengan memori dan hubungannya dalam otak. Jom, kongsikan pada kami mengenai mimpi paling pelik yang pernah anda alami!