Memandangkan sekarang ni, program vaksinasi kita dah semakin lancar dan dipercepatkan agihannya… kami rasa sudah tiba masanya untuk kita bercakap pulak tentang kebaikan ambik vaksin. Sebelum ni, kita dah banyak dengar pasal jenis-jenis vaksin yang bakal kita terima dan sejauh mana pantasnya ia boleh diberikan kepada rakyat. Kita turut melihat betapa gembiranya kawan-kawan kita dapat vaksin, siap pegang kad lagi untuk tunjuk diorang dah vaksin. Tanda pagar #CucukMyAZ pun tular, mendapat perhatian ramai sehingga hari ni.
Mungkin tak ramai yang tau bahawa, kalau bukan sebab vaksin ni.. penularan Covid-19 akan jadi lebih teruk. Kita boleh belajar sendiri bagaimana kesannya terhadap kluster hospital di Singapura baru-baru ni. Oleh sebab rata-ratanya adalah petugas hospital yang dah dapat vaksin, maka kadar penyebarannya kecil je. Berbeza sangat dengan dulu tau… termasuklah dalam varian baharu sekarang ni.
Kajian buktikan vaksin berkesan ke atas varian baharu, terutamanya varian India yang mengganas sekarang
Kalau korang masih ingat, varian India ni adalah mutasi baharu yang lebih cepat merebak dan kesan daripada kaedah pengawalan pandemik India yang kurang baik khususnya lepas pilihan raya dan perayaan besar diorang. Akibatnya, varian India dah sampai ke negara-negara lain termasuklah Malaysia. Oleh demikian, ada jugak orang masih ragu sama ada vaksin Pfizer dan Astrazeneca ni berkesan ke jugak kepada varian baharu ni. Ye lah, dulu vaksin ni diciptakan semasa varian ni belum ada. Jadi adakah ia berkesan?
Berita baik untuk kita – menurut laporan BBC, vaksin Pfizer dan Astrazeneca sangat efektif ke atas varian yang dikenalpasti di India dan UK lepas ambil 2 dos penuh. Namun begitu, kedua-dua vaksin hanya 33% efektif melawan varian India selama tiga minggu lepas dos pertama dan 50% berkesan ke atas varian UK. Dalam kesempatan ni, kami nak ingatkan korang untuk datang ambil dos kedua ye.. Kalau terlepas, jangan risau… janji temu baru akan diberikan secara automatik dalam Mysejahtera. Sekiranya nak kepastian, korang boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing untuk kepastian.
Saya terlepas janji temu vaksinasi. Apa perlu saya lakukan?
Jangan bimbang, janji temu vaksinasi anda akan dijadualkan semula secara automatik dan butiran akan dihantar melalui SMS/MySejahtera.
Bagaimanapun. penjadualan semula janji temu vaksin AstraZeneca TAK DiBENARKAN. pic.twitter.com/WlhSeRtSxl
— KKMalaysia🇲🇾🩺❤️ (@KKMPutrajaya) May 26, 2021
Menerusi kajian yang dilakukan oleh Public Health England, vaksin berkesan mengurangkan simptom dan komplikasi. Sekiranya korang terkena Covid-19 lepas vaksin, ia hanya akan terasa macam demam biasa je macam apa yang berlaku kat para pesakit Covid-19 di Singapura tu. Diorang dah dapat Pfizer, jadi bila terjangkit… diorang demam biasa je. Sekarang ni, kita yang belum ada vaksin ni masih lagi risau sendiri kalau ada rasa macam nak demam dan hembus nafas lega sikit bila dah sembuh sikit esok harinya.
Vaksin Moderna pulak dah digunakan sejak April, tapi kajian kata jumlah penerimanya masih terlalu sikit untuk diorang nak masukkan dalam kajian. Namun demikian, kesimpulan kajian tu membuatkan kita sendiri semakin yakin nak ambil vaksin. Apabila kita dah capai imuniti kelompok, barulah Covid-19 ni jadi lebih terkawal dan akhirnya, boleh jadi macam demam biasa je lah kelak.
Setakat ni, BBC turut melaporkan bahawa vaksin Pfizer didapati 88% berkesan dalam menghentikan simptom daripada vaksin India, dua minggu lepas dos kedua. Manakala untuk varian UK pulak, kadar keberkesanannya pada 93%. Maksudnya, untuk perlindungan terbaik… dua dos perlu dilengkapkan.
Untuk Astrazeneca pulak, ia didapati 60% berkesan melawan varian India, dan 66% berkesan ke atas varian UK. Dapatan untuk Astrazeneca ni tak bermakna ia takkan berkesan. Public Health England menjelaskan perbezaan tentang keberkesanan ni hanyalah disebabkan Astrazeneca lambat diagihkan berbanding Pfizer. Oleh demikian, kajian selanjutnya perlu diteruskan lagi dari semasa ke semasa.
Lepas vaksin terbukti berkesan, adakah kita patut tunda pemberian dos kedua?
Hasil kajian yang dilaporkan tu merupakan suatu khabar baik untuk kita semua, khususnya penerima vaksin Pfizer dan Astrazeneca. Sedang kita menunggu lebih banyak beberapa jenis vaksin yang direncanakan akan masuk Malaysia lepas diluluskan oleh badan kesihatan kita, kat UK pulak… diorang alami sedikit masalah. Antara masalah diorang ialah masih ramai lagi kat sana yang baru terima satu dos je. Hal ni terjadi kat Malaysia jugak sebenarnya.
Pada 26 Mei lalu, dilaporkan sebanyak 1,647,183 individu dah terima dos pertama. Manakala penerima dos kedua adalah sebanyak 935,865 individu. Perbezaan jumlah ni masih tak dikenalpasti mengapa, tetapi bagi Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 22 Mei tu… diorang cadangkan agar kerajaan tangguhkan dulu pemberian dos kedua dan mendakwa strategi ni dah digunakan kat beberapa negara lain seperti Singapura dan India. Strategi penundaan dos kedua ni membolehkan lebih ramai orang dapat sedikit perlindungan daripada masih takde perlindungan daripada Covid-19.
Penyelidikan terbaharu oleh University of Birmingham dengan kerjasama Public Health England mendapati bahawa pemberian Pfizer BioNTech booster 12 minggu selepas dos pertama berbanding dengan tiga minggu menghasilkan tindak balas antibodi yang jauh lebih kuat. Sementara tu, penyelidik dari Oxford University jugak mendakwa pada bulan Februari bahawa ketika pemberian dos kedua vaksin mereka ditunda selama 12 minggu, tindak balas antibodi dilaporkan lebih dua kali ganda dibandingkan dengan normal
“Kesannya ternyata melihat trend yang membimbangkan di seluruh negara. Oleh itu, kita mesti menerima hakikat ini dan menyedari bahawa ada keperluan sangat mendesak untuk kita melaksana strategi yang terbukti secara saintifik ini.
Berdasarkan sains dan data, strategi ini telah terbukti berhasil. Oleh itu, kerajaan wajib proaktif dalam meratifikasi strategi-strategi ini dan berhenti meletakkan nyawa rakyat dalam bahaya,”-Kenyataan bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Strategi ni turut diharap menyelesaikan masalah kekurangan bekalan vaksin yang melanda negara. Dari satu sisi, ia suatu tindakan yang logik jugak.. namun, adakah ia wajar dari sudut kesihatan? Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba hanya membalas: CITF akan putuskan. CITF ni adalah Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), dan sebenarnya badan yang bertanggungjawab mengendalikan cerita belakang tabir.
Misalnya, baru-baru ni pusingan kedua tempatan Astrazeneca tu… jatuh pada bahu CITF. Diorang dah mohon maaf atas gangguan teknikal tersebut. Untuk pengetahuan korang, pusingan kedua yang dimaksudkan ni adalah untuk penerima sukarela yang nak daftar lepas pusingan pertama dikhaskan untuk warga berusia 60 tahun ke atas. Disebabkan gangguan teknikal tersebut, ramai gagal akses laman sesawang pendaftaran sekaligus menggagalkan usaha diorang nak dapat vaksin pada masa tu.
Korang rasa macam mana pulak? Adakah kita patut tunda pemberian dos kedua untuk memberi laluan kepada lebih ramai orang yang belum ada dos pertama pun… atau fokus je kat mana-mana yang perlu lengkapkan dos kedua? Codeblue melaporkan hanya 8% populasi dewasa Malaysia baru dapat sekurangnya dos pertama. Kita masih ada 92% yang terdedah dengan jangkitan tersebut.
Harapnya para penganalisis kesihatan dan kerajaan sendiri dapat mempertimbangkan cadangan pembangkang tu. Dulu kerajaan dah pernah buat dasar “satu suntik, satu simpan”, tapi masih takde “dua-dua suntik, tapi penerima berbeza”. Kalau cadangan tersebut tak masuk akal pun… berikanlah sebabnya agar rakyat boleh faham rasionalnya.