Minggu lepas, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Philip Alston, kata Malaysia perlu laksanakan polisi ketelusan data, serta pastikan mikrodata dari sumber yang tak diketahui mudah diakses oleh golongan penyelidik. Dalam laporan yang diterbitkan PBB, Alston kata, kerajaan juga perlu nilai kembali garis kemiskinan, selari dengan standard antarabangsa, dan masukkan populasi bukan warganegara.
Ia merupakan antara cadangan yang diberikan kepada Malaysia dalam usaha menyelesaikan beberapa masalah yang ada, terutamanya mengenai kemiskinan tegar dan pengurusan warga asing. Pelapor khas tu kata, garis sebenar kemiskinan di Malaysia sangat rendah, iaitu sekitar RM980 sebulan untuk empat orang ahli dalam satu keluarga, atau sekitar RM8 sehari.
“Penggunaan garis kemiskinan yang tidak realistik hanya memberikan gambaran yang lebih kabur mengenai jutaan rakyat, baik yang tinggal di kawasan bandar, mahupun di kawasan pendalaman. Menafikan skala garis kemiskinan yang tepat akan memburukkan masalah sedia ada, dengan memberi justifikasi kepada usaha yang lebih konklusif untuk menyelesaikan isu itu,” – Philip Alston, seperti yang dilaporkan Astro Awani
Sebenarnya had kemiskinan RM980 tu dah digunakan sejak tahun 2005 lagi, kali ni ia diubah kepada RM2,208
Beberapa hari selepas laporan tu dikeluarkan, Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional diletakkan pada angka RM2,208 berbanding RM980 yang diguna pakai sejak 2005. Pengenalan had baru tu jadikan jumlah isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin bertambah kepada 405,441 berbanding hanya 16,653 jika kita gunakan had sebelum ni. Macam tu jugak dengan bilangan isi rumah miskin tegar berdasarkan garis PGK baru ni, ia berjumlah 27,158 pada 2019, berbanding 1,752 mengikut had lama.
Ketua Perangkawan Uzir Mahidin kata, berdasarkan metodologi 2019, nilai purata PGK nasional kini ialah RM2,208, iaitu mewakili kelompok 10% terbawah isi rumah. Menurut laporan tu, pendapatan penengah tumbuh sederhana sebanyak 3.9% setahun kepada RM5,873 pada 2019 dan pendapatan purata pula meningkat 4.2% setahun kepada RM7,901.
Uzir kata, 7 negeri catatkan pendapatan penengah melepasi paras nasional, sementara Selangor dan Johor rekodkan nilai pendapatan purata lebih tinggi daripada paras nasional, iaitu RM7,901. Corak perbelanjaan penggunaan isi rumah kekal kepada kumpulan utama, iaitu perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (23.6%); makanan dan minuman bukan alkohol (17.3%); restoran dan hotel (13.9%) dan pengangkutan (13.5%) yang jadikan 4 kumpulan perbelanjaan tertinggi merangkumi 68.3% daripada jumlah perbelanjaan isi rumah di Malaysia pada 2019.
Katanya, selari dengan pembangunan negara, komposisi perbelanjaan bagi kesihatan dan pendidikan menunjukkan peningkatan masing-masing sebanyak 0.2 % pada 2019.
Ada cadangan supaya garis kemiskinan ni ditentukan mengikut lokaliti, sebab lain tempat, lain kos sara hidup
Cumanya, ada cadangan supaya garis kemiskinan baru yang akan diumumkan tu kena bercirikan lokaliti tertentu selain menambah beberapa lagi segmen yang dianggap perlu untuk isi rumah. Penganalisis ekonomi, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor, berkata wujud perbezaan yang ketara dari segi kos sara hidup antara bandar tertentu di Malaysia.
Contohnya, bagi bandar seperti Kota Bharu di Kelantan, dengan pendapatan RM1,500 sebulan, ia mungkin mencukupi bagi individu yang sudah berkeluarga, namun di bandar besar lain mungkin berbeza.
“Di Kuala Lumpur, dengan pendapatan RM2,500 sebulan mungkin dikategorikan sebagai miskin bandar. Sebab itu, ukuran PGK ini perlu dikhususkan mengikut lokaliti atau bandar-bandar. Mungkin Bandaraya Johor Bahru dan Georgetown, Pulau Pinang tidak sama dengan PGK di Kota Kinabalu di Sabah. Sama juga (PGK) di Kuala Lumpur pun berbeza dengan bandar-bandar yang lain,” – Dr. Shazali, seperti yang dilaporkan Berita Harian
Katanya, pengkelasan PGK ikut lokaliti ni akan bantu kerajaan untuk rangka dasar ekonomi yang lebih teliti dan bersasar. Penilaian PGK jugak mesti diperluas dengan ambik kira perbelanjaan baru bagi setiap isi rumah yang kini boleh dianggap sebagai keperluan. Shazali yang juga Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata, PGK juga mesti bersifat dinamik yang mana penilaiannya dibuat pada setiap masa.
Tindakan Malaysia perkenalkan garis kemiskinan ni dapat pujian wakil PBB, cuma dia sarankan beberapa benda lain yang perlu diselesaikan
Tindakan Malaysia perkenalkan garis kemiskinan ni dapat pujian dari wakil PBB yang kami cerita awal-awal tadi. Sebabnya garis kemiskinan yang baru ni adalah dua kali ganda berbanding sebelumnya. Dia kata keputusan kadar garis kemiskinan secara rasmi adalah 14 kali lebih tinggi berbanding laporan tahun-tahun sebelumnya.
During my visit to #Malaysia last year, I criticized the excessively low national poverty line, a statistical sleight of hand that erased poverty in the country.
The government has now doubled the absolute poverty line, raising the poverty rate from 0.4% to 5.6%. My response:
— Philip Alston (@PhilipGAlston) July 11, 2020
Dia kata Malaysia dah tingkatkan dua kali ganda kadar garis kemiskinan, dari 0.4 peratus kepada 5.6 peratus. Tetapi kerana kadar kemiskinan baru iaitu 5.6 peratus hanya satu pertiga daripada yang dianggarkan oleh hampir semua penganalisis bebas, dia berharap kerajaan akan masukkan tanda aras yang lebih realistik dalam Rancangan Malaysia ke-12.
“Ini kerana menyelaraskan garis kemiskinan adalah langkah utama. Cabarannya ketika ini adalah untuk mengatasi kemiskinan secara sistematik dengan menerapkan skema perlindungan sosial yang komprehensif dan memberikan ketelusan data yang lebih luas bersesuaian dengan apa yang digunakan oleh negara-negara demokratik,” – Philip Alston, seperti yang dilaporkan Astro Awani
Disebabkan benda ni, kerajaan perlu memandang serius nasib jutaan nasib bukan warganegara yang secara tak langsung pengaruhi kadar rasmi garis kemiskinan negara. Kami harap, dengan garis kemiskinan yang baru diperkenalkan ni, kerajaan akan semakin serius untuk bantu kelompok yang tergolong dalam kumpulan “miskin” ni. Ada jugak orang yang tengah tertanya-tanya; kalau kadar kemiskinan ni dah ditingkatkan, adakah kerajaan bersedia untuk meningkatkan kadar gaji minima?