Di sebalik kritikan demi kritikan yang korang boleh baca kat media sosial terhadap kerajaan PH pada waktu ni, banyak jugak benda baik yang terhasil dari penstrukturan semula dan perubahan polisi dalaman kerajaan. Kami pun tak ketinggalan jugak bab kritik kerajaan, namun apa yang baik tu haruslah kita angkat bersama-sama. Baru-baru ni, kita diletakkan dalam tangga 51 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dengan skor sebanyak 53 daripada 100 markah.
Indeks Persepsi Rasuah bukti kita semakin baik, kena tingkatkan lagi…
Untuk pengetahuan korang, indeks ni bukan sekadar nak syok sendiri isytihar kita dah bebas rasuah ye. Sebenarnya, laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ni adalah hasil kajian daripada sebuah badan bebas bertaraf antarabangsa iaitu Transparency International. Hasil kajian mereka nilah yang ditunggu-tunggu oleh 180 negara seluruh dunia sebab piawaian penarafan Transparency International amat teliti iaitu dengan 13 sumber data daripada 12 pertubuhan bebas yang menganalisis keadaan sektor awam dan swasta sesebuah negara.
Organisasi antarabangsa ni pada mulanya ditubuhkan pada 1993 dan begitu berdedikasi nak lawan sebarang bentuk korupsi hingga kini. Sebab tulah, piawaian penarafannya tak hanya mengukur berapa kerap orang akan ambil atau terima rasuah. Mereka pun turut ukur dari aspek ketelusan pentadbiran tu sendiri, iaitu sama ada rakyat boleh tau ke tak apa sebenarnya kerajaan mereka buat dengan duit negara. Kalau tengok pun dari segi definisi ‘korupsi’ bagi Transparency International:
“Secara umumnya, (ia) adalah ‘penyalahgunaan kuasa yang diberi (dengan mandat) untuk kepentingan peribadi’.
Ada tiga jenis korupsi yang tersenarai, iaitu korupsi dalam skala besar, kecil dan politikal, ni pun bergantung jugak dengan berapa banyak wang yang hilang dan sektor apa yang terlibat. Haa… takrif ni penting untuk korang faham kenapa kita boleh melonjak naik dari tangga 61 daripada 180 negara pada tahun 2018 ke tangga 51 untuk laporan 2019.
Dalam laporan tu, korang boleh saksikan tiga negara yang turut berusaha memerangi korupsi seperti Greece, Guyana dan Estonia. Masing-masing turut menerima lonjakan markah yang agak tinggi, iaitu melebihi 10 markah sejak 2012. Tiga lagi negara yang mengalami penurunan markah dalam indeks tersebut adalah Kanada, Nicaragua dan AustraliA; masing-masing turun lebih dari lima markah.
Sekarang ni, kita berada berkongsi tangga ke-51 dengan negara Grenada, Itali, Rwanda dan Arab Saudi. Kalau korang perasan, Malaysia seolah-olah mewakili Asia Tenggara. Ni tak menghairankan sebab laporan tersebut turut kupas perkembangan indeks tersebut mengikut bahagian benua masing-masing. Ye lah, lain benua lain jugak keadaan politik serantau kan…
Kecekapan berterusan adalah kunci bebas korupsi, dapat markah tinggi…
Kalau nak diikutkan, markah kita pun sebenarnya takdelah berubah besar mana jika nak dibandingkan secara objektif dari tahun-tahun lalu. Menarik jugak untuk kita lihat sejauh mana markah kita dah berubah, kan? Jangan risau, The Edge Market dah buat carta visual dari 2012 hingga 2017.
Daripada 2012, kita naik 1 markah pada 2013. Kemudiannya, kita naik 2 markah lagi pada 2014, sebelum turun semula 2 markah pada tahun seterusnya. Kita terus menurun hingga 2017, iaitu hanya dapat 47 markah je. Pada 2018 pula, kita kekal dalam 47 markah sampailah pada 2019 ni, skor kita bertambah ke 53 markah.
Ni penjelasan Presiden Transparency International Malaysia;
“Jika anda lihat pada 2012 sehingga 2014, skor kita bertambah ketika Pemandu menerajui kempen dan kerajaan… Tetapi pada 2014, pendedahan (skandal) 1MDB, skor Malaysia terus menurun dan ia disebabkan oleh isu itu,”- Dr. Muhammad Mohan, seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani pada 23 Januari 2020
Langkah-langkah kerajaan PH yang nak selesaikan isu besar (grand corruption) seperti skandal 1MDB, SRC, Felda, Tabung Haji dan penahanan beberapa ahli politik oleh SPRM secara langsung buatkan kita dapat skor markah yang lebih tinggi. Kami pun ada kupas sikit perihal tindakan pada whistleblower seperti kes Rafizi Ramli, di samping langkah pengisytiharaan harta oleh para jemaah menteri pun harus dinilai sebagai satu lagi sebab kenapa pentadbiran di bawah PH ni agak telus berbanding kerajaan BN dulu.
Secara subjektifnya, kita dah boleh nampak banyak kelonggaran diberi pada rakyat untuk mengkritik, melaporkan dan mengadu jika wujud penyelewengan kuasa. Kalau dulu, SPRM tu takdelah kuat sangat sampaikan Taib Mahmud, si Raja Balak Malaysia tak takut pun. Sekarang, SPRM semakin agresif menyiasat para pemimpin kerajaan terdahulu.
Pelan menuju bebas rasuah, benci pada semua bentuk korupsi…
Selain dari SPRM, satu lagi organisasi khas yang ditubuhkan untuk memantau isu rasuah khususnya dalam sektor pentadbiran awam iaitu Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC). Menurut portal rasmi pusat organisasi kerajaan tersebut;
“Idea asal Pelan ini tercetus semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 di mana Pakatan Harapan memberikan penekanan kepada usaha untuk memastikan Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah…”- seperti yang dipetik dalam Portal Rasmi GIACC pada 28 Januari 2020
Di dalam GIACC ni, ada dua benda lagi yang mustahak untuk kami sebut iaitu kewujudan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) dan sebuah pelan tindakan yang dinamakan Pelan Antirasuah Nasional (NACP). Ada tiga tunjang matlamat utama NACP ni iaitu:
“…Kebertanggungjawaban dan Kredibiliti Kehakiman, Pendakwaan dan Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang; Penyampaian Perkhidmatan Awam yang cekap dan responsif; dan Integriti dalam Perniagaan…”
Maksudnya, sasaran plan tu adalah ketelusan dari segi kehakiman dan bidang kuasa agensi pihak berkuasa, kualiti perkhidmatan awam yang berkualiti tinggi dan mengamalkan integriti dalam perniagaan. Kalau dah hakim pun senang dirasuah, relevan ke lagi mahkamah sebagai tempat kita nak tuntut keadilan?
Lagipun kalau kita tengok pun sebelum ni, memang takde pelan nasional untuk betul-betul menumpukan pembasmian rasuah. Kebanyakannya masuk dalam pelan yang turut memuatkan beberapa pelan untuk sektor lain.
Dalam peringkat atas, kita boleh perhatikan sendiri bahawa kerajaan PH serius nak tangani isu rasuah ni. Bagaimana pula dengan kita? Kempen demi kempen dah dijalankan, namun bagaimana tahap kesedaran moral dan integriti kita sendiri untuk tolak rasuah terutamanya dalam sektor swasta? Ni adalah persoalan yang harus dijawab bersama-sama sebagai rakyat Malaysia yang bersatu untuk menolak budaya rasuah.
Tambah lagi bila dah masuk bab “tolong sesama kaum”- rasuah tetap rasuah. Dosa tetap dosa. Kitab suci Quran pun kata rasuah tu berdosa. Para Mufti seluruh negara pun sendiri kata rasuah itu amalan berdosa. Memetik Mufti Wilayah Persekutuan;
“Jelas di sini menunjukkan yang mereka yang terlibat dengan rasuah termasuk orang yang menjadi pemudah cara adalah dilaknat. Para ulama’ sebahagiannya menafsirkan maksud dilaknat dengan makna ia termasuk dalam dosa besar.”