Malang tak berbau, tapi ada sesetengah jenis kejadian malang ni pun terletak salahnya kat tangan dan telinga manusia. Dah diberi amaran, dirayu dan digesa pun masih jugak berkeras nak buat. Tau nak untung je kan… Projek Kondominium ‘The Address’ Taman Desa ni boleh dikatakan sebagai salah satu projek yang ‘mencurigakan’ sampai persatuan penduduk kat sana mintak kerajaan supaya pantau perkembangan projek tersebut.
Kondo dalam pembinaan tiba-tiba runtuh, pekerja terperangkap dan cedera…
Baru-baru ni kita dikejutkan dengan kejadian sebahagian daripada sebuah kondo yang tengah dalam pembinaan tiba-tiba runtuh. World of Buzz kata kejadian tersebut berlaku kira-kira pada jam 3.37 petang, 14 Februari lalu. Susulan dari sebuah panggilan kecemasan dari penduduk tempatan, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur gerakkan beberapa aset dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang terperangkap dalam runtuhan tersebut.
Ikut laporan Egindo, Pusat Gerakan Operasi KL hantar tiga buah jentera bomba Fire Rescue Tender (FRT), dua buah ambulans Emergency Medical Rescue Services (EMRS), sebuah Aerial Ladder Platform (ALP), sebuah Isuzu Dmax RRV dan sebuah trak dengan kekuatan sebanyak 50 anggota. Selain tu, operasi tersebut dibantu oleh Unit K-9 sebanyak tujuh orang anggota, anggota STORM-4 serta empat orang dari Unit Penyelamat DBKL.
Daripada jumlah pekerja yang disahkan berada di kawasan pembinaan tersebut masa runtuhan tu, pihak penyelamat yakin hanya ada dua orang mangsa yang terperangkap di tingkat satu lepas lantai tempat letak kereta di tingkat enam runtuh . Kedua-duanya adalah pekerja warga Bangladesh, namun salah seorangnya dilaporkan terperangkap dengan objek berat. Akhirnya, mangsa kedua berjaya dikeluarkan pada jam 9.40 malam sekaligus menamatkan misi operasi menyelamat tersebut.
Kita kena puji kecekapan dan dedikasi pasukan penyelamat yang diturunkan dalam operasi ni, sebab runtuhan tu pun masih baru dan dianggap masih tak stabil. Apa-apa kecuaian boleh akibatkan runtuhan kedua sekaligus mengugat keselamatan anggota lain, mangsa yang dah terperangkap kat dalam serta penduduk sekeliling. Jasa unit K-9 yang memastikan takde mangsa lain pun buktikan betapa terlatihnya pasukan kita; patutlah boleh dapat anugerah khas lagi.
Penduduk dah lama risau, pemaju tak peduli jugak sampailah binaan runtuh…
Kejadian ni boleh dianggap sebagai contoh klasik bagaimana penduduk yang hari-hari tengok dan kenal tempat tu dah dibelakangi wakil kerajaan tempatan yang asyik serah je tanah kepada para pemaju. Untuk pengetahuan korang, pihak pemaju kondominium tu adalah Maxim Holdings Sdn. Bhd dan ni hanyalah salah satu projek kondominium daripada beberapa lagi yang dah dibangunkan serata Kuala Lumpur.
Bila kami baca semula bayangan pemaju kondominium yang kini dah runtuh sebahagiannya, The Address (nama asal projek kondominium tu) boleh dianggap sebagai salah satu jenis kondominium yang boleh tahan mewah jugaklah. Dalam sebuah artikel temu bual The Edge Market dengan Pengarah Pengurusan Datuk Gan Seong Liam bersama dengan anaknya, Jayden Gan yang merangkap Ketua Pegawai Pengurusan:
“Taman Desa adalah kawasan yang matang dan kebanyakan kondominium di sekelilingnya agak lama dan tiada kemudahan yang moden. Jadi kami ingin bina sebuah kondominium dengan reka bentuk moden yang sesuai dengan gaya hidup masyarakat”- Datuk Gan Seong Liam, seperti yang dilaporkan oleh The Edge Markets pada 10 Ogos 2017
Tanah tu dibeli oleh Maxim Holdings walaupun ada bantahan dari para penduduk. Asalnya, ia memang dirizabkan untuk Tenaga Nasional atas pelan nak bina penjana kuasa tapi tak jadi lalu dipulangkan kepada kerajaan negeri semula. Jadi Maxim Holdings belilah sebab kata Seong Liam sendiri;
“Ini adalah sebahagian tanah yang belum dibangunkan lagi dan tengah kosong. Kami beli pada Disember 2015 dan harga pasaran ketika tu adalah RM310 persegi. Bila kami mulakan projek ni, wujud bantahan kerana para penduduk sana ingatkan tanah ni adalah tanah paru-paru hijau (yang dirizabkan) tapi ia bukan (tanah yang dirizab)”
Para pemaju sendiri sedar bahawa memang ada bantahan dikemukakan oleh para penduduk termasuklah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok. Teresa Kok kata dia pernah bersama para penduduk lain kemukakan bantahan terhadap pembangunan melampau pada 2017, dan mulakan petisyen untuk membantah pembinaan kondominium baharu serta memanggil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengkaji semula semua projek baharu di Taman Desa.
Dalam pertemuan empat mata dengan DBKL, seorang penduduk yang ikut bantah tu kata pegawai DBKL tak jawab pun macam mana projek tu boleh lulus. Walaupun dengan tindakan para penduduk Taman Desa tu memfailkan semakan kehakiman nak tuntut penjelasan macam mana DBKL luluskan rancangan tersebut.
Para pemaju pun nak jugak pertahankan pembelian tanah tu dengan hujah bahawa tanah tu dah dipulangkan pada Pejabat Tanah, sedangkan para penduduk ni dakwa proses beri kelulusan tu sendiri tak ikut prosedur yang betul sepertimana yang digariskan dalam Kaedah-kaedah Rancangan (Pembangunan) 1970. Lebih mendukacitakan lagi, para pemaju tu tetap teruskan pembangunan walaupun prosiding kehakiman tengah berlangsung.
Punca runtuhan perlu sebulan untuk dikenalpasti, penguatkuasaan kena lebih ketat…
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin kata Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dah mulakan siasatan dan sementara tunggu siasatan itu selesai, Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan (APDL) pemaju kondominium berkenaan akan digantung.
“Sehingga siasatan itu selesai, adalah terlalu awal untuk mengetahui sama ada terdapat pelanggaran prosedur operasi standard dalam insiden berkenaan… Maklumat awal yang saya dapat semalam ialah tiada isu dengan tanah, ia sepatutnya siap dalam masa 54 bulan, semuanya dalam keadaan teratur,”- Zuraida, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian pada 15 Februari 2020
Sambung Zuraida lagi, pihak KPKT akan minta DOSH percepatkan lagi proses siasatan tersebut. Sebuah mesyuarat penyelarasan antara kementerian bersama DOSH, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pemaju dah diadakan 17 Februari. Apa yang pasti adalah memandangkan ni takde isu dengan tanah, maksudnya ada kemungkinan berlaku kecuaian dari pihak pemaju tu sendiri.
Khalid Samad, Menteri Wilayah Persekutuan pun nampaknya sependapat jugak dengan kami. Katanya;
“Ia bukan tanah runtuh dan kejadian berlaku sebelum hujan… Mungkin struktur bangunan itu sendiri tidak mengikut spesifikasi sehingga roboh dari tingkat enam ke bawah”
Dalam satu lagi laporan, Khalid Samad tegaskan lagi bahawa ni adalah tanggungjawab para pemaju dan bukannya DBKL sebab DBKL hanya sedia dan luluskan je perancangan reka bentuknya. Manakala kerja pemantauannya pula dipertanggungjawabkan kepada pihak kontraktor sendiri dan Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerja (JKKP). Atas alasan ni jugak, ada pulak yang minta Teresa Kok laporkan pada SPRM mengenai kemungkinan wujudnya rasuah dalam proses pemantauan projek tersebut.
Kami berharap siasatan ni akan dijalankan dengan lebih teliti, telus dan dipantau oleh mereka yang berintegriti. Hukuman pun kena lebih berat dan tegas lagi. Meskipun ni hanya kondominium mewah yang belum pun siap sepenuhnya, tapi punca awalnya banyak menunjukkan ada berlakunya unsur kecuaian dari pihak pemaju sendiri.