Baru-baru ni heboh jugak satu negara pasal beberapa penemuan yang membuktikan bahawa tak semua duit yang diperuntukkan dalam belanjawan negara tu betul-betul ‘sampai’ manfaatnya kepada rakyat. Benda ni jugak membuktikan walaupun banyak kritikan yang dilemparkan kepada pentadbiran PH dulu, ketelusan program-program ni patut dipuji dan seharusnya diteruskan tak kiralah siapa yang pegang kerajaan nanti.
Kami tertarik dengan dapatan laporan ni, jadi kami nak kongsikan dengan korang apa je dapatan Jabatan Audit. Sepintas lalu, memang banyak jugak program kerajaan yang tak menepati sasaran dan matlamatnya. Daripada 500 lebih halaman, kami ringkaskan jadi satu artikel istimewa untuk korang…
1. Di bawah Jabatan Perdana Menteri, program khusus untuk bantu golongan miskin tak dilaksanakan dengan cekap manakala bantuan air FELDA tak dirancang dengan baik
Di bawah Unit Perancangan Ekonomi, pengurusan program besar iaitu Program Peningkatan Kapasiti dan Kapabiliti Kumpulan Khusus (PPKK) yang sepatutnya bantu golongan B40 dengan pemberian latihan jangka pendek serta panjang ni tak cekap dan dirumuskan kurang berkesan.
Dalam PPKK ni, sebanyak RM258.29 juta diperuntukkan demi membolehkan peserta dapat kerja dan jana pendapatan isi rumah. Tapi ia tak dilaksanakan dengan cekap dan wujud pelbagai masalah yang wajar dinilai semula. Penyertaan peserta misalnya tak sampai pun 40% sebab hanya 11 daripada 22 latihan yang disediakan tu memenuhi objektif program. Pengurusan peruntukan, masalah baki laporan yang berbeza tunjukkan kelemahan dari agensi pelaksana tu sendiri.
Pembayaran berjumlah RM2.16 juta didapati tak ikut tatacara kewangan dan wujud pulak lantikan pihak ketiga dari penyedia perkhidmatan tu tanpa kelulusan untuk melaksanakan program berjumlah RM870,000. Ada 11 agensi pelaksana meliputi pelbagai Unit, Yayasan dan Kementerian lain.
Begitu jugak dengan pelaksanaan projek Menaik Taraf Sistem Bekalan Air FELDA yang melibatkan 2 projek air iaitu di FELDA Pahang (Mac 2013-September 2016) dan FELDA seluruh negara (Januari 2016-Disember 2018). Sejumlah RM621 juta diperuntukkan sehingga 2018 dengan objektif kurangkan gangguan air dan kadar kehilangan air tak berhasil di kawasan FELDA terbabit.
Ikut dapatan Audit, kedua-dua projek gagal dilaksanakan dalam masa yang ditetapkan akibat kurangnya perancangan yang teliti. Pembekalan 7 kenderaan berjumlah RM0.92 juta bertentangan dengan peraturan, pembayaran tidak teratur berjumlah RM706,400 bagi item pejabat tapak yang digabungkan dan kelemahan pemantauan pembinaan tak ikut spesifikasi serta Peraturan-peraturan Elektrik 1994, Suruhanjaya Tenaga.
Kerajaan jugak alami kerugian berjumlah RM49,860 akibat lebihan tuntutan kadar levi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang diluluskan oleh kontraktor. Oleh sebab kelewatan projek tersebut, para peneroka tak dapat menikmati sepenuhnya bekalan air yang lebih baik khususnya di Pahang. Masih banyak yang kurang berpuas hati dengan kualiti air yang dibekalkan.
2. Di bawah Kementerian Kewangan, sistem baharu belum capai kecekapan optimum dan pengurusan MRT terhadap aduan kerosakan masih belum sempurna
Menurut laporan, pembangunan dan pengenalan sistem baharu Integrated Government Financial Management Accounting System (iGFMAS) telah menerima peruntukan sejumlah RM773,27 juta supaya keperluan pelaksanaan perakaunan akruan kerajaan dan direka bentuk secara dual ledger iaitu tunai ubah suai dan akruan.
Sistem baharu tu sepatutnya dah siap pada 9 Ogos 2018 tapi terpaksa dilanjutkan pulak ke 3 tahun lagi dengan tarikh selesai baharu iaitu pada 9 Ogos 2021. Akibatnya, kerajaan terpaksa keluarkan lebih banyak wang sejumlah RM230,74 juta termasuklah untuk keperluan penyelenggaraan lesen dan server sistem legasi (GFMAS), perolehan penyelenggaraan lesen iGFMAS ikut tarikh kontrak sedangkan belum siap sepenuhnya serta pelantikan Project Management Office.
Selain tu, sebuah lagi projek besar meliputi sejumlah RM21.35 billion untuk 12 pakej sistem Mass Rapid Transit (MRT). MRT ni pun suatu perkara yang kontroversial jugak dulu, dimana ia dibina bertujuan untuk bangunkan kawasan tadahan yang tak berkaitan atau kurang dapat perhatian. Tak dinafikan MRT turut memudahkan pergerakan penduduk dari satu tempat ke tempat yang lain dan kurangkan pelepasan karbon.
Walaupun pencapaian prestasi sistem MRT memberangsangkan, pengurusan pembaikian kerosakan masih kurang memuaskan dan perlu dipertingkatkan terutamanya dari segi pemantauan dan rekod data aduan yang selesai. Sehingga luput tempoh Defect Liability Period (DLP), masih ada 581 kerosakan yang belum siap. Setakat 14 Januari tahun ni, 85 lagi belum siap.
3. Pengurusan pentadbiran masih kurang cekap lagi, lantikan kontraktor bina rumah kos rendah masih tak teratur
Sebelum ni kami dah pernah kupas isu perumahan, yakni kenapa ia dah jadi krisis serta situasi pelaburan hartanah semasa pandemik. Nampaknya, laporan audit membuktikan bahawa secara fizikalnya, rumah kos rendah ni dah capai sasaran. Tetapi dari segi pengurusan dan pentadbiran pulak, banyak lagi kelemahan yang kena diperbaiki.
Di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dua projek besar yang dicatatkan dalam laporan adalah Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Program Perumahan Rakyat berkonsepkan Rent to Own (RTO).
Lantikan para pemaju PPM Putrajaya tak teratur ikut tatacara perolehan, manakala denda kelewatan berjumlah RM3.30 juta ke atas para pemaju tak dikutip serta Bon Pelaksanaan berjumlah RM10.82 juta tak dikemukakan. Sistem Pengurusan Permohonan tu pun masih lemah, hinggakan pemohon layak pun boleh ‘terlepas pandang’. Masalah pemantauan projek kurang berkesan pun wujud lalu mengakibatkan banyak kerja pembinaan tak ikut spesifikasi.
Untuk RTO pulak, isu lantikan kontraktor sekali lagi disebutkan dalam bahagian laporan tu. Pelantikan kontraktor penyiap dan pentadbiran kontrak pun tak teratur, ditambah lagi dengan pemilihan lokasi ikut cadangan awal jugak tak teratur sebab kontraktor lewat dapat hak milik tanah. Kontrak pengutipan deposit dan sewaan RTO tak diwujudkan antara kerajaan dan ejen pengurusan, menyebabkan ketiadaan maklumat yang lengkap.
4. Terlalu banyak kementerian tertumpu pada kawalan keselamatan, infrastruktur di sempadan kena dipertingkatkan
Kami faham kawalan keselamatan ni amat penting agar kedaulatan negara terpelihara. Sepertimana dalam kes projek Jabatan Perdana Menteri tu, pelbagai agensi dan kementerian telah digerakkan untuk tingkatkan keberkesanan program. Tetapi kelemahan terbesar yang wajar diperbaiki lagi untuk Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Dalam Negeri serta kementerian terlibat adalah kekurangan koordinasi dan penyelarasan maklumat.
Dalam aktiviti Kawalan Keselamatan dan Penguatkuasaan Zon Maritim Malaysia (ZMM), laporan mendapati bahawa ada aset kerajaan yang dimiliki oleh pihak penguatkuasaan mengalami kerosakan dan tak dapat diselenggara kerana faktor kekurangan peruntukan. Tambah lagi, Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) kena diperluaskan ke perairan pantai timur Semenanjung Malaysia, Sarawak dan pantai timur Sabah untuk kawalan aktiviti pencerobohan dan penyeludupan.
Sama halnya dengan kawalan sempadan darat jugak, di mana kemudahan Arahan Imigresen dan Pasport (Zon Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam) disalahguna bagi kegiatan penyeludupan dan PATI untuk masuk ke Malaysia secara haram. Aktiviti rentas sempadan tanpa prosedur sah jugak turut berlaku di beberapa kawasan seperti di Sungai Golok dan Rantau Panjang.
Pagar dan tembok keselamatan jugak dah banyak yang rosak dan usang, khususnya di kawasan paling kerap direntasi iaitu di Padang Besar, Perlis sepanjang 5.3km. Aktiviti penyeludupan pun menyumbang ke arah ‘kerosakan’ benteng sempadan tersebut. Untuk operasi PGA pulak, lebih banyak aset seperti motorsikal peronda kena ditambah lagi terutamanya di sempadan darat Sarawak.
5. Program agihan bekalan makanan di sekolah pun tak cekap, kelulusan pentadbiran dibuat di tangan pegawai luar bidang kuasa kat PERMATA
Dua program utama yang dijalankan di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan ni adalah Program Bekalan Makanan Bermasak (BMB) di Sekolah Berasrama dan Program PERMATA Negara. Benda ni pernah dibangkitkan oleh Maszlee Malik dulu, dimana dia kata dia yang suruh lakukan audit terhadap program-program ni masa dia jadi menteri dulu.
Program BMB ni dah lama dilaksanakan sejak tahun 1974, dan masih lagi digunapakai khususnya di sekolah berasrama penuh. Sepanjang tempoh dari tahun 2016-2018, sejumlah RM3.667 billion diperuntukkan. Tapi pengurusan program ni didapati bermasalah dari segi proses perolehan, pengurusan kontrak, pemantauan serta ketidakpatuhan oleh kontraktor terhadap syarat dan spesifikasi kontrak tu.
Dicatatkan dalam laporan audit, sebanyak 359 penyata bank (45.3%) disahkan palsu sebab terdahulu, KPM tak buat pengesahan salinan sebelum keluarkan Surat Setuju Terima (SST). Kualiti bekalan makanan pun tak memuaskan; ada bahan kering tu berbeza dengan jenama yang ditetapkan dalam kontrak, ada yang takde pun logo/sijil halal, ada jugak didapati sudah luput dan dah dicemari bendasing seperti habuk dan semut.
Di PERMATA pulak, banyak infrastruktur tak dapat diselenggara akibat kurangnya peruntukan manakala Rancangan Pelaksanaan Aktiviti pun tak lengkap dan gagal dikemukakan untuk diaudit.
Sama halnya dengan pengurusan PERMATA yang lemah seperti kelemahan penyimpanan rekod untuk kutipan sumbangan bulanan serta urusan berkaitan diluluskan oleh pegawai yang takde kuasa pun untuk buat tindakan eksekutif sebegitu. Kekurangan pemantauan jugak meruncingkan masalah di PERMATA.
Kami harap amalan ketelusan ni diteruskan agar rakyat pun lebih jelas mengenai aliran kewangan negara dan keberkesanan belanjawan untuk mencapai objektif negara. Bila kita buat laporan macam ni, kita pun boleh bandingkan bagaimana prestasi pentadbiran dan kecekapan pengurusan sesebuah program negara lagi-lagi bila melibatkan kos yang besar.