Kegusaran rakyat terhadap kenaikan harga makanan khususnya ayam dan telur membuatkan rakyat lebih sensitif terhadap langkah-langkah kerajaan nak pastikan kenaikan tersebut tak membebankan rakyat. Salah satu langkah yang kerajaan pernah nak buat dulu adalah nak apungkan harga ayam dan tak lagi letak harga siling.
Walau bagaimanapun, tindakan ni dikecam ramai. Lebih teruk, ramai yang berpandangan langkah apungkan harga ayam tu hanya membuka lebih banyak ruang untuk para peniaga yang tak bertanggungjawab suka hati nak naikkan harga ayam dan telur. Oleh tu, kerajaan umum lagi polisi yang sedikit berbeza bermula 1 Julai.
Kembali letak harga siling untuk ayam dan telur bagi semenanjung, menteri kata ni fenomena global
Sebelum ni, kerajaan umumkan nak apungkan harga ayam dan tak lagi letak harga siling bagi ayam. Namun pada 29 Jun, kerajaan umumkan sekali lagi bahawa diorang putuskan untuk letak semula harga siling dan teruskan subsidi untuk ayam,
Bermula 1 Julai, harga runcit siling untuk ayam ditetapkan pada harga RM9.40 sekilogram. Sebelum ni, harga untuk ayam sekilogram adalah RM8.90, jadi naik mahal 50 sen. Manakala untuk harga siling telur ayam, dinaikkan antara 2 sen bagi setiap gred.
Harga-harga baru itu seperti berikut:
- Gred A – 45sen/biji
- Gred B – 43 sen/biji
- Gred C – 41 sen/biji
Kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee, keputusan tu diselaraskan dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM). Dengan wujudnya pelaksanaan subsidi ni, kerajaan dilaporkan memperuntukkan RM369.5 juta. Ni menjadikan jumlah keseluruhan subsidi sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Februari.
Isu kenaikan harga barang ni tak hanya berlaku di Malaysia je. Satu dunia turut merasai bahang kenaikan harga ni kerana fenomena global ekoran gangguan rantaian bekalan. Banyak faktor yang menyumbang kepada perkara ni, spesifiknya akibat konflik geopolitik dan perubahan iklim.
“Namun, kerajaan sedaya upaya berusaha menetapkan mekanisme pengawalan harga bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan cabaran kos sara hidup,” – seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Kerajaan tubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, akan beri penjelasan untuk isu-isu berbangkit
Susulan langkah tu jugak, kerajaan turut bersetuju tubuhkan pasukan khas bagi bantu rakyat hadapi kemelut peningkatan kos sara hidup. Nama pasukan rasmi tu adalah Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, dan akan dianggotai lima menteri bersama Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.
PM Ismail Sabri Yaakob kata, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi tu akan kumpul maklumat dari pelbagai kementerian, agensi dan orang ramai. Diorang akan rangka stratengi serta menyelaras tindakan berkaitan inflasi khususnya dalam kawalan kenaikan harga barang.
“Pasukan khas ini akan berfungsi sebagaimana pasukan menguruskan pandemik Covid-19 dengan mengadakan mesyuarat dua kali seminggu iaitu setiap Isnin dan Khamis.
Sidang media akan diadakan selepas setiap mesyuarat berlangsung bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Keluarga Malaysia,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Berikut merupakan antara barisan anggota Pasukan tersebut:
- Annuar Musa (pengerusi, Menteri Komunikasi dan Multimedia)
- Tengku Zafrul Abdul Aziz (Menteri Kewangan)
- Ronald Kiandee (Menteri Pertanian dan Industri Makanan)
- Alexander Nanta Lingi (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
- Mustapa Mohamed (Menteri di Jabatan Perdana Menteri)
Pegawai khusus di setiap kementerian jugak akan dilantik sebagai pegawai rujukan (focal point) kepada pasukan khas. Ia akan diurusetiakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Dari satu segi, koordinasi rentas portfolio ni diharapkan akan menambahbaik lagi polisi negara. Sebelum ni, ada jugak yang mengkritik pelan tindakan kerajaan yang dikatakan tak selaras dengan kementerian lain dan perkara ni sangat jelas berlaku semasa zaman PKP dulu. Sekarang dengan adanya kerjasama sebegini, kami harap pasukan ni berfungsi sebaiknya. Tambah lagi, yang kita nak adalah penjelasan dari kerajaan terhadap apa saja isu berbangkit bila tamatnya setiap mesyuarat; sebagaimana yang disebut Ismail Sabri.