Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan, macam-macam berita pelik yang kita dengar. Dari geng-geng VIP langgar PKP sesuka hati diorang, menteri buat pertandingan Tik Tok dan sampailah tahap orang pergi gunting (kami akan cerita kejap lagi). Kami ada sentuh jugak pasal kumpulan yang kurang bernasib baik, diorang terdedah kepada pelbagai risiko disebabkan tak dapat bantuan yang sepatutnya.
Tak tahan dengan rambut panjang, beberapa lelaki ditahan di kedai gunting rambut
Di antara masalah yang sebabkan orang ramai tak selesa ketika PKP adalah keadaan rambut yang panjang. Oleh sebab benda ni, ada yang berkumpul dan nak gunting rambut. Seramai 13 lelaki termasuk pemilik kedai gunting rambut di Jalan Mengkuang, Butterworth ditahan polis kerana langgar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mungkin dia terpengaruh dengan idea gunting rambut boleh kurangkan tekanan kot.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor kata, dalam serbuan jam 3.15 petang tu, diorang semuanya lelaki warga tempatan berusia di antara 17 hingga 24 tahun. Diorang ditahan selepas gagal bagi alasan yang masuk akal. Kena ingat, gunting rambut tu bukanlah sebab yang munasabah untuk keluar.
Kata Noorzainy, siasatan awal dapati pemilik kedai gunting tu jalankan aktiviti gunting rambut secara tertutup selepas kerajaan tak benarkan premis gunting rambut beroperasi. Ketika serbuan, semua pelanggan berada di dalam kedai tengah tunggu giliran untuk gunting rambut.
“Dalam serbuan polis itu, kita telah tahan 13 orang yang disyaki berhimpun tanpa alasan dan dari siasatan mendapati, mereka datang untuk gunting rambut secara tertutup. Kami difahamkan bahawa tuan punya kedai telah membuka perniagaan dan membenarkan pelanggan masuk ke dalam kedai untuk gunting rambut,” – Noorzainy, seperti yang dilaporkan AWANI
Serbuan ni dibuat hasil aduan orang ramai dan diorang akan disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta 342 kerana gagal patuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Jika sabit kesalahan, diorang boleh didenda atau penjara 1 tahun atau kedua-dua sekali.
Pening bila semua ni akan berakhir? SUTD ramalkan Covid-19 berakhir hujung tahun ni
Satu kajian dah dilakukan oleh Singapore University of Technology and Design (SUTD) untuk ramalkan penularan wabak COVID-19 yang dijangkan akan beransur pulih pada awal Mei ni. Data yang dikeluarkan oleh SUTD Data-Driven Innovation Lab tu adalah hasil penilaian dengan gunakan model susceptible-infected-recovered (SIR) sekurang-kurangnya 97 peratus ke atas 28 buah negara termasuk Malaysia.
Model SIR digunakan untuk memodelkan penyebaran virus ni dengan gunakan kalkulator grafik untuk plotkan graf. Sebelum ni model yang sama pernah digunakan untuk ramalkan beberapa penyakit seperti wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS). Kata kajian tu, dunia hanya akan pulih sepenuhnya pada 8 Disember, dan pada 29 Mei ini, peratusan jangkitan tu dijangka turun kepada 97 peratus.
Ramalan ni mungkin ada betulnya, semalam Malaysia cuma catatkan pertambahan satu kes kematian libatkan COVID-19. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kata ia jadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 99 kes atau 1.7 peratus. Selain tu, 95 kes dilaporkan telah pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini.
Benda ni jadikan jumlah kumulatif kes yang dah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad sebanyak 3,957 kes (67.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). Kes baru pun dah semakin menurun, semalam kita cuma ada 40 kes baru yang dilaporkan dan jadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,820 kes. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,764 kes. Pesakit ni tengah diasingkan dan diberi rawatan.
Memandang kes dah semakin menurun, ramai nak pulang kampung. Ini yang perlu dilakukan…
Orang ramai yang gunakan pengangkutan awam untuk tujuan perjalanan rentas negeri diingatkan supaya dapatkan kebenaran atau permit perjalanan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Seperti yang dimaklumkan PDRM dua hari lepas, orang ramai dinasihatkan supaya beri kerjasama dengan memohon untuk dapatkan permit pergerakan rentas negeri atas sebab-sebab sahih yang ditetapkan. Cuma, kalau korang takde sebab nak pulang kampung, adalah lebih baik korang lepak dulu. Sebabnya dibimbangi korang akan jadi pembawa virus ke kampung korang, takpe bukan selalu pun kita berkorban untuk selamatkan negara.