Beberapa hari lepas, kita telah dikhabarkan tentang peletakan jawatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian. Sebelum itu, memang ada juga ura-ura yang mengatakan MB Johor bakal meletak jawatan. Apatah lagi, isu MB Johor pergi ke Batam walhal kes pencemaran Sungai Kim Kim masih belum selesai juga hangat diperkatakan di ruang maya. Kita semua sedia maklum keghairahan warga maya menghentam lawatan tersebut.
Tapi sebelum kita ulas dengan lebih lanjut tentang isu ini, mari imbas kembali beberapa orang Menteri Besar/Ketua Menteri di Malaysia yang pernah meletak jawatan atau dipecat.
1. Datuk Harun Idris, dituduh menyalahgunakan wang sebanyak RM8 Juta
Mungkin ramai yang tak kenal pada tokoh ini. Lagi-lagi dalam kalangan generasi muda. Datuk Harun bin Idris, merupakan antara Menteri Besar Selangor yang paling lama memegang jawatan ini, kira-kira hampir 12 tahun (1964-1976).
Pada tahun 1975, sebuah perlawanan tinju antara Muhammad Ali dengan Joe Bugner telah diadakan di Stadium Merdeka. Malangnya, pertandingan ini tidak mendapat kuntungan sama sekali. Tapi… apa kaitan dengan Datuk Harun ini? Kalau nak tahu, inilah puncanya Datuk Harun dipecat!
Beliau telah dituduh kerana telah menyalahgunakan wang dari Bank Rakyat sebanyak RM8 Juta untuk perlawanan tersebut! Hal ini demikian kerana pada waktu itu beliau juga memegang jawatan sebagai Pengerusi bank tersebut. Akhirnya beliau dipenjarakan selama tiga setengah tahun di Penjara Pudu.
2. Tan Sri Rahim Thamby Chik, telah dituduh merogol gadis bawah umur
Kalau anda perasan, nama ini kembali muncul di arena politik negara kita apabila beliau memohon untuk melompat parti dari UMNO kepada Bersatu (PPBM). Beliau ialah bekas Ketua Menteri Melaka yang paling kontroversi suatu ketika dahulu.
Kepada yang tidak tahu, pada tahun 1994, semasa menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka, beliau telah dituduh merogol seorang gadis berumur 15 tahun! Kes ini juga telah melibatkan Lim Guan Eng (Ahli Parlimen Kawasan Kota Melaka pada waktu itu) kerana nenek mangsa telah meminta bantuannya untuk membawa kes ini ke muka pengadilan.
Namun, kes ini nampaknya telah menyebabkan Lim Guan Eng didakwa pada 1997 di bawah Akta Hasutan 1948 atas tuduhan “perasaan tidak puas hati akan pelaksanaan keadilan di Malaysia“. Mangsa rogol itu pula diperintahkan oleh mahkamah untuk berada di bawah jagaan perlindungan di pusat pemulihan.
Manakala bagi Tan Sri Rahim Thamby Chik pula, beliau terpaksa meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka atas sebab tuduhan rogol dan juga tuduhan rasuah yang dikenakan ke atasnya. Jadi, tak hairanlah kalau ada dalam kalangan rakyat Malaysia tidak merestui beliau melompat parti ke blok Pakatan Harapan atas dasar rekod buruknya sebelum ini.
3. Ir Mohamad Nizar Jamaluddin, terpalit acara lompat-melompat parti
Masih ingat lagi pada sosok ini? Kalau anda masih ingat, selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), pakatan pembangkang telah berjaya menawan beberapa buah negeri, salah satunya ialah Perak. Fenomena ini dianamakan sebagai Tsunami Politik kerana belum pernah lagi pembangkang menang dengan majoriti yang lebih besar berbanding sebelumnya.
Tapi ini tidak bermakna kemenangan pakatan pembangkang itu kekal, khususnya di negeri Perak sampai berlaku Krisis Politik. Selepas PRU12, gabungan DAP, PAS dan PKR telah menang dengan 31 kerusi berbanding BN sebanyak 28 kerusi.
Walaubagaimanapun, jawatan Menteri Besar Perak pada waktu itu sukar ditentukan sebab Sultan Perak mahukan calon Menteri Besar dari wakil rakyat Melayu dan berpendidikan tinggi. ADUN dari PKR pula semuanya berpendidikan setakat tingkatan 5 sahaja. Jadi, hanya ADUN dari PAS yang paling sesuai pada waktu itu, iaitu Ir Mohamad Nizar Jamaluddin.
Hal inilah yang menyebabkan DAP tak puas hati sebab ADUN DAP lagi ramai yang menang. Jadi Lim Kit Siang telah arahkan ADUN dari DAP untuk boikot istiadat perlantikan Menteri Besar Perak. Tapi akhirnya mereka mengalah juga dengan pihak istana kerana selagi tidak ada sokongan dari semua pihak, Mohamad Nizar tak akan dilantik sebagai Menteri Besar.
Tak lama selepas itu, berlaku pula acara lompat-melompat parti sampai jumlah kerusi pakatan pembangkang dengan Barisan Nasional sama, 28 buah kerusi. Dari situlah bermula pula krisis jawatan Menteri Besar Perak ini. Jadi, Mohamad Nizar telah mengadap Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak.
Pada 5 Februari 2009, Sultan Perak menitahkan Mohamad Nizar dan barisan exconya untuk meletakkan jawatan. Selepas itu, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dari BN dilantik sebagai Menteri Besar Perak. Drama politik tidak berakhir kerana selepas itu berlaku beberapa kali tuntutan jawatan Menteri Besar Perak dari Mohamad Nizar di mahkamah. Akhirnya pada 9 Februari 2009, mahkamah telah mengesahkan bahawa Menteri Besar Perak yang sah ialah Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.
4. Tan Sri Khalid Ibrahim, langkah Kajang yang tak akan dilupakan
Kalau krisis politik Perak 2009 dah cukup drama… itu belum cukup drama lagi seperti Langkah Kajang. Baiklah mari kita teruskan dengan Menteri Besar seterusnya, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Sekitar awal tahun 2014, Parti Keadilan Rakyat telah mengumumkan bahawa wakil rakyatnya di Kajang telah meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) untuk bertanding bagi Pilihan Raya Kecil Kajang. Jadi, tindakan ini digelar sebagai Langkah Kajang. Sayangnya, disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Langkah Kajang ini terhalang kerana mahkamah telah mendapati beliau bersalah atas tuduhan liwat ke atas Saiful Bukhari Azlan. Jadi, DSAI digantikanlah dengan isterinya sebagai calon PRK Kajang. Baiklah, kisah setakat ini tidak melibatkan langsung Tan Sri Khalid Ibrahim.
Tapi, konflik dalam PKR tercetus apabila Tan Sri Khalid telah menandatangani perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Persekutuan untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu yang tertangguh sejak 2008. Tindakan itu mengecewakan pimpinan PKR yang mendakwa Abdul Khalid tidak membincangkan mengenai perkara tersebut dengan mereka.
Kemudian, PKR pula mencalonkan Datuk Seri Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor. Tan Sri Khalid tidak kisah sebenarnya malah beliau hormat pada keputusan parti, cuma, beliau buat kenyataan yang tatacara pelantikan itu mestilah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.
Tak lama selepas itu, disebabkan Tan Sri Khalid enggan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor, Lembaga Disiplin PKR minta Tan Sri Khalid beri surat tunjuk sebab kenapa tak mahu letak jawatan. Jadi, Tan Sri Khalid pun bagilah surat tunjuk sebab. Akhirnya, beliau dipecat dari PKR serta merta.
Ya, cerita ini tidak habis lagi. Tan Sri Khalid pun mengadap Sultan Selangor dan mendapat perkenan baginda untuk teruskan tugas sebagai Menteri Besar Selangor. Dan bagi exco yang tak sokong beliau, Tan Sri Khalid pecat sampai tinggal 4 orang exco dari PAS yang kekal menyokong Tan Sri Khalid. Tapi Jawatankuasa PAS Pusat menolak tindakan exco dari PAS kerana Tan Sri Khalid bukan lagi ahli PKR.
Akhirnya, pemimpin blok pembangkang (DAP-PAS-PKR) telah bermesyuarat dan menolak Tan Sri Khalid lalu mencadangkan sama ada Azmin Ali atau DS Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baru. Maka, berakhirlah karier Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.
5. Datuk Osman Sapian, MB yang paling singkat
Jauh sudah kita bicara tentang MB-MB yang terdahulu. Kini mari sambung tentang Menteri Besar Johor yang baru sahaja meletak jawatan ini, Datuk Osman Sapian.
Buat pengetahuan semua, setakat artikel ini ditulis, Datuk Osman Sapian belum menyatakan sebab-musabab beliau meletakkan jawatan. Beliau menyatakan dalam sidang media pada 10 April 2019 bahawa beliau akan memberi kenyataan selepas mengadap Sultan Johor pada 13 April nanti.
Sebelum ini, selain isu pencemaran Sungai Kim Kim dan lawatannya ke Batam yang dikritik hebat, beliau juga turut dikritik hebat kerana beliau telah memalsukan ijazahnya. Satu lagi kontroversi sepanjang pentadbirannya di Johor ialah isu perbalahan maritim antara Malaysia-Singapura. Peletakan jawatan Menteri Besar Johor ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir selepas Datuk Osman Sapian berjumpa dengannya sehari sebelum itu.
Menurut Tunku Mahkota Johor, Sultan Johor sendiri sudah berbulan-bulan menitahkan supaya Menteri Besarnya meletakkan jawatan. Ternyata keputusan tersebut telah diambil oleh Datuk Osman Sapian, cuma Sultan Johor belum menerima surat peletakkan jawatannya itu.
Pemimpin utama negeri perlu ada karisma dan bersih rasuah
Kalau anda perasan, kebanyakan MB yang dipecat atau letak jawatan ni – sudah hilang kepercayaan daripada rakyat atau parti mereka. Selalunya sebab mereka juga, terpalit dengan banyak skandal atau tak ada karisma. Sebab itulah pentingnya MB yang dipilih perlu ada dua elemen ni – karisma, dan bersih daripada rasuh.
Sebenarnya ada ramai lagi Menteri Besar yang pernah hilang jawatan, cuma kali ini kami ceritakan tentang 5 orang MB ini dahulu… Sekian.