Sekatan Kawalan Pergerakan yang bermula semalam boleh dikatakan dah cetuskan panik dalam kalangan rakyat. Berita buruk yang melibatkan kematian dua orang pesakit COVID-19 hanya tambahkan rasa takut dalam hati rakyat ni. Jadi, salah satu nak lawan takut ni adalah dengan lebih banyak pengetahuan dan pemahaman yang baik dalam isu COVID-19.
Virus tersebar melalui rembesan cecair, takkan terserap dari kulit…
Kami dah lama kupas pasal bagaimana virus ni boleh tersebar dan menjangkiti seseorang. Benda paling asas tentang virus ni, dia tak boleh hidup tanpa rumah. ‘Rumah’ yang sesuai baginya adalah organ macam paru-paru.
Setiap virus perlukan perumah untuk hidup dan berkembang. Biasanya ada ‘incubation period’, atau secara santainya, “tempoh bertenang”, atau “tempoh lepak”. Maksudnya kalau korang terkena virus ni, mungkin korang kena tunggu beberapa masa sebelum korang rasa kesan daripada virus tu. Sebab tulah kena ada tempoh self-quarantine selama 14 hari.
Virus ni pulak akan kekal di permukaan selama beberapa tempoh, tapi lepas tu dia akan musnah jugak tu. Cara terbaik nak basmi virus ni adalah dengan cuci tangan korang sebelum sentuh muka korang, terutamanya hidung dan mulut korang.
https://youtu.be/TYRzWGnr5lc
Kluster pertama ni adalah dari pelancong luar yang sakit kat Malaysia, banyak dah sembuh…
Menurut database yang dibangunkan oleh team Malaysiakini, kita ada tiga kluster utama. Kluster pertama ni kami ringkaskan sebagai kelompok pelancong yang ada sejarah ke luar negara dan lain-lain (tak semestinya dari China ye) yang jatuh sakit di Malaysia.
Memang dah menjadi prinsip perubatan; kalau orang tu sakit kat sesebuah negara dimana jika dihantar semula, bakal membahayakan nyawa pesakit tu, maka seharusnya pihak hospital terima pesakit tersebut. Begitulah kesnya ketika jangkitan awal ni merentasi sempadan kita.
Sejak 25 Januari tahun ni, kita dah terima beberapa pesakit yang terdiri dari para pelancong asing ketika mereka nak masuk ke Singapura. Mereka akhirnya berjaya disembuhkan, namun masuk bulan Februari, kita dah menerima pesakit dari kalangan warga Malaysia sendiri.
Beberapa pesakit tu turut terdiri daripada beberapa warganegara kita dari Wuhan, dimana pesakit paling muda yang dirawat ketika tu adalah berumur 9 tahun. Beberapa pesakit yang positif COVID-19 ni pula ada sejarah ke luar negara iaitu dari Singapura, Indonesia, Itali dan Jepun. Terdapat seorang jururawat Malaysia kepada pesakit kes 24 positif COVID-19 lepas terdedah dengannya.
Dalam kluster ni jugak, seorang ahli Parlimen dari Sarawak dan anaknya dijangkiti COVID-19 pada awal Februari dan dikatakan dah terjangkit masa dia menyertai mesyuarat kat Kuala Lumpur sebelum pulang ke Sibu. Daripada kluster ni, 17 daripadanya direkodkan sembuh manakala selebihnya masih ditahan di hospital tempatan.
Tersebar dari satu pegawai ke satu pegawai lain, pengarah eksekutif Khazanah kata dia terjangkit lepas dari Shanghai…
Dalam kluster kedua ni pulak, Pengarah Eksekutif ni dikatakan dah ke Shanghai, China dan menjadi kontak rapat kepada 17 orang pegawai lain. 9 daripadanya dah sembuh dan dah discaj dari hospital manakala dirinya masih lagi dirawat di hospital.
Malaysiakini melaporkan pada 7 Mac, 4 daripada pesakit gelombang pertama ni ada kontak rapat dengan “Pesakit 33” manakala 6 lagi dikatakan adalah pesakit gelombang kedua akibat dari kontak rapat tersebut. “Pesakit 33” ni pun ada kontak rapat dengan “Pesakit 26”, iaitu dipercayai Pengarah Eksekutif tu sendiri, Hisham Hamdan.
“Semua rangkaian peristiwa ini berlaku selepas saya kembali dari Shanghai. Tidak dinafikan gelombang kedua COVID-19 adalah dikaitkan dengan saya, tetapi ‘dikaitkan dan berasal dari saya’ adalah dua perkara berbeza,”- Hisham Hamdan, dalam kenyataannya kepada Berita Harian pada 6 Mac 2020
Hisham menafikan dirinya adalah punca gelombang kedua, sebaliknya dia tegaskan dia adalah mangsa gelombang kedua dari Shanghai, China dan diuji positif kat Malaysia.
Jadi dalam kluster kedua ni, ada dua ‘penyambung’ rangkaian dua jangkitan iaitu dari Hisham Hamdan dan “Pesakit 33”. Walaupun begitu, tak dapat dipastikan siapa dulu yang kena jangkitan tu; sama ada Hisham atau Pesakit 33 disebabkan kedua-duanya pun pernah bermesyuarat bersama-sama.
Kluster ketiga yang paling besar risikonya, KKM terpaksa jejaki 14,500 peserta himpunan Tabligh di Sri Petaling…
Sekarang ni, kita terpaksa menempuhi cabaran dari kluster ketiga pula dengan ‘anggota’ kes yang ramai lepas kes Sri Petaling Jaya. Atas usaha KKM, mereka dah dapat pastikan kemungkinan yang rasional mengenai siapa yang ‘membawa’ jangkitan tersebut.
Hanya ditandakan sebagai “Pesakit 136”, dia merupakan seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Korea Selatan dan turut bekerja sambilan sebagai ejen pelancongan. Dia pulang ke tanah air dari Korea Selatan pada 22 Februari, kemudiannya menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari hingga 3 Mac.
Dia dah demam pada 3 Mac, dan terbang semula ke Korea Selatan pada 4 Mac serta pulang semula ke Malaysia. Dalam rekod kluster ni, ada 8 ‘penyambung’ utama kepada beribu-ribu orang lagi yang berisiko tinggi. Daripada 8 yang direkodkan ni, pesakit paling tua setakat ni adalah seorang lelaki dari Sarawak berumur 73 tahun.
Usah risau sebab keadaan masih terkawal, kita kena chill dan terus amalkan penjagaan diri…
Ikut statistik yang kami perolehi dari portal rasmi KKM, seramai 9799 orang daripada kluster ni dah tampil ke hadapan untuk diuji sama ada positif atau negatif. 6169 daripadanya adalah negatif, jadi banyak jugaklah yang masih selamat lagi…
Yang penting, korang patuh je dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dah digariskan dulu. YDP Agong pun turut bertitah:
“Seri Paduka Baginda menggesa rakyat agar tidak mengambil sikap mudah dan sambil lewa terhadap Perintah Kawalan Pergerakan ini. Rakyat turut diminta untuk mengikuti panduan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana ini adalah tanggungjawab kita bersama terhadap kesejahteraan dan keselamatan keluarga, masyarakat dan negara yang kita cintai ini,”- Kenyataan Istana Negara, seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro pada 17 Mac 2020
Amat penting untuk kita fahami betul-betul situasi COVID-19 ni, agar korang tak cepat termakan khabar yang tak tau kesahihannya. Jika dilihat, ancaman COVID-19 yang harus kita tangani ni adalah berfokuskan pada kluster ketiga tu… kluster pertama dan kedua ni dah selamat dijaga kat hospital.
Kesilapan terbesar yang berlaku sebenarnya bukanlah semata-mata disebabkan “kegagalan” sekatan ke atas para pelancong dari negara tertentu, sebaliknya rakyat kita pun sendiri yang ambil mudah soal self-quarantine dan penjagaan diri hingga menyebabkan ramai pulak terkena jangkitan tersebut.