Masih tercari-cari sebab untuk hidup harmoni? Nasi lemak adalah jawapannya

F1
Masih tercari-cari sebab untuk hidup harmoni? Nasi lemak adalah jawapannya

Kami sentiasa ‘membeli’ idea-idea perpaduan, sebab kami rasa perpaduan adalah elemen penting untuk negara kita bergerak ke hadapan. Malangnya, sejak akhir-akhir ini ada kelompok rakyat yang tonjolkan sifat rasisme dengan jelas. Kena ingat – rasisme ni tak berbangsa; sesiapa je tak kira bangsa boleh bersikap rasis.

Kami nampak ada beberapa benda yang boleh menyatukan rakyat Malaysia. Kami pernah kata sukan adalah instrumen yang baik untuk menyatukan rakyat Malaysia, hari ni kami nak kata lagi – makanan pun menyatukan kita semua!

Sejarah nasi lemak, biasanya dibungkus tak menggunakan plastik tapi daun pisang

Katanya kewujudan nasi lemak bermula ketika masyarakat Melayu mula menetap di pinggir pantai. Dengan gunakan bahan-bahan yang mudah didapati di kawasan tempat tinggal mereka seperti santan daripada buah kelapa yang dipetik dari pokok, kangkung yang banyak tumbuh meliar, dan ikan yang ditangkap di laut, tadaaa…maka terciptalah nasi lemak.

S1
Laparlah pulak! Via Youtube

Dari segi penggunaan daun pisang sebagai bungkusan pulak, dipercayai daun pisang ni dijadikan sebagai bungkusan makanan untuk memudahkan petani bawak bekal ketika bekerja di bendang.

Kita dah terbiasa dengan bekas makanan daripada plastik, tapi daun pisang masih tetap jadi bungkusan pilihan seperti pada awal kewujudannya. Bagus jugak guna daun pisang sebagai pembungkus makanan, sebabnya kita sekarang tengah berhadapan dengan masalah sampah plastik yang besar. Selain daripada berfungsi sebagai pembungkus, daun pisang jugak sebenarnya buatkan aroma nasi lemak jadi lebih wangi.

Di Malaysia, nasi lemak ada rekod sejarah seawal tahun 1909 oleh Richard Olaf Winstedt, seorang cendekiawan dan pentadbir kolonial. Pada era 1970-an pulak, nasi lemak mula dijual pada harga serendah 30 sen sebungkus. Bungkusan yang telah siap biasanya dijual dari rumah ke rumah oleh peniaga kecil-kecilan dan pada waktu tu.

Kedai Nasi Lemak Kampung Baru Mentakab, dikunjungi oleh pelbagai kaum untuk merasai nasi lemak

Kedai Nasi Lemak Kampung Baru Mentakab bukan setakat jadi tumpuan penduduk Melayu tapi turut diminati kaum Cina sejak 20 tahun lalu. Situasi tu diakui pengusahanya, Rismayanti Ismail, yang terpaksa jawab persoalan ramai pelanggannya yang menganggap kedai makannya tu diusahakan peniaga bukan Melayu.

605373
Via Sinar Harian

Katanya, ada pelanggan salah faham sebaik je tiba di kedai makan itu kerana melihat ramai pelanggan Cina sedang menjamu selera. Katanya lagi, ada jugak yang buat tanggapan pekerja Melayu di kedai nasi lemak tu diupah pemilik bukan Melayu.

“Bagaimanapun, mereka kini sudah faham selepas saya sendiri menjelaskannya. Saya gembira kerana mereka kini boleh duduk semeja menikmati hidangan nasi lemak dalam suasana harmoni,” – Rismayanti Ismail, seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

Rismayanti kata, ketika sambutan Tahun Baru Cina, pelanggan Tionghua minta dia terus beroperasi kerana kedai makannya menjadi tempat pertemuan dan menjamu selera bersama keluarga dan rakan-rakan.

605372
Via Sinar Harian

Lebih menarik, kedai makan tu turut dihiasi dengan tanglung sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan kaum Cina. Katanya, dia memilih nasi lemak sebagai menu utama dengan pelbagai variasi lauk tambahan bagi membolehkan pelbagai kaum membuat pilihan.

“Kami ada ayam goreng, rendang ayam, begedil, sambal sotong, telur mata kerbau pada harga antara RM1.50 hingga RM4. Menu lain juga ada seperti nasi ayam dan bihun goreng. Harga pun saya cuba bertahan sejak mula beroperasi dan hanya naik 50 sen sepanjang tempoh itu menjadikan pelanggan tetap setia menjamu menu nasi lemak kegemaran mereka,” – Rismayanti Ismail, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Sedap pulak bunyinya. Via Giphy

Katanya dia gembira kerana kedai tu jadi tumpuan pelbagai kaum dan dapat menjalinkan hubungan baik dengan mereka. Ada di antara pelanggan diorang terdiri daripada tiga generasi yang masih menikmati hidangan nasi lemak. Seorang warga emas, Lee Lun Eng, 67 tahun, jadi pelanggan tetap kedai makan tu sebab dah selesa dengan layanan yang diberikan dan rasa enak nasi lemak di kedai tu.

Ayuhlah rakyat Malaysia, mari kita bersatu kerana makanan!

Hidup dalam keadaan harmoni sebenarnya best, kami pun tak tahu kenapa ada orang yang nak bergaduh sebab isu perbezaan bangsa. Keamanan dan keharmonian adalah sesuatu yang akan dirindukan apabila ia hilang. Oleh itu kita harus pertahankan semampu yang boleh, jangan disebabkan perpecahan – makanan-makanan yang sedap ni susah nak didapati, ayuhlah kita bersatu demi nasi lemak!

 

Bahagian Kedai Nasi Lemak Kampung Baru Mentakab diambil dan disunting daripada artikel Nasi Lemak Kampung Baru Mentakab tarik kaum Cina terbitan Sinar Harian.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top