Kalau masa peperiksaan dulu, kita nak bawa kertas sendiri pun dah kena tanya oleh penjaga peperiksaan. Alasan utama mestilah kerana mahukan keadilan kat semua pelajar yang ambil peperiksaan tu, di samping nak elak budaya meniru. Paling tak pun, guru penjaga peperiksaan tu mesti lalu kat sebelah korang dan meja tu disusun agak jauh dengan meja pelajar lain. Namun lain pula jadinya kat India, dimana sebuah sekolah ni ada cara pelik nak elak para pelajarnya dari meniru antara satu sama lain.
Kena pakai kotak kat kepala agar tak tengok jawapan orang
Bhagat Pre-University College di Karnataka, India cuba elak para pelajarnya daripada meniru dengan pakai kotak kat kepala. Kotak tersebut dah digunting supaya para pelajar masih boleh tengok depan dan membolehkan mereka jawab soalan mereka kat meja. Mula-mula idea ni nampak menarik sebab secara langsung, ia buatkan semua calon tak nampak kertas jawapan kawan mereka kat sebelah.
Susulan dari tularnya gambar ni kat Facebook, ramai pula yang marah sehinggakan sekolah ni terpaksa minta maaf secara terbuka. Ye lah, konsep pakai kotak macam ni takde jauh beza dengan konsep seekor kuda dipakaikan topi penghalang pandangan untuk mudahkan ia lari dalam sesuatu perlumbaan.
Kata pentadbir sekolah tersebut, MB Satish;
“Tiada paksaan dalam hal ini. Anda boleh lihat sendiri dari foto tersebut bahawa ada pelajar yang tak pakai. Ada yang sudah pakai, tapi sudah tanggalkannya selepas 15 minit dan ada pula pada 30 minit. Malah kami sendiri mengarahkan agar mereka tanggalkan kotak tersebut selepas sejam (tempoh ujian)”- MB Satish, seperti yang dilaporkan oleh BBC News
Dia juga kata dia dengar teknik ni digunakan kat Mumbai, jadi dia cuba praktikkan teknik tu kat kolejnya. Dakwanya lagi, ibubapa pun tahu pasal ni dan hanya para pelajar yang dah dapat kebenaran ibu bapa je boleh terlibat dalam ‘eksperimen’ tu. Menurut CNN, daripada 72 orang pelajar yang ambil ujian pertengahan tahun, hanya 56 je yang bersetuju nak pakai kotak.
Oleh kerana dapat banyak tentangan oleh warganet termasuklah Menteri Pendidikan India, S. Suresh Kumar, maka ‘eksperimen’ ni ditamatkan dan tak lagi dipakai. Siap ada denda lagi untuk mana-mana guru atau pentadbir sekolah yang nak cuba teknik pakai kotak.
Sanggup jadi Spiderman nak tolong anak meniru…
Sebenarnya ‘eksperimen’ ni adalah salah satu cara nak kekang budaya meniru yang semakin menjadi-jadi kat India. Walaupun budaya tersebut dikatakan sebenarnya dah lama menjadi duri dalam daging khususnya dalam institusi pendidikan di India, kejadian yang dapat perhatian dunia adalah pada 2015 di Bihar, New Delhi.
Ramai ibu bapa dan ahli keluarga sanggup panjat bangunan sekolah semata-mata nak tolong keluarga mereka meniru. Ketika ni, para pelajar tengah jalani peperiksaan akhir tahun gred 10 (bersamaan dengan peringkat Tingkatan 2 di Malaysia) yang membolehkan mereka mara ke peringkat seterusnya. Bagi mereka, pendidikan adalah kunci kepada masa depan keluarga yang lebih baik. Sebab tu lah mereka terdesak sangat nak bagi pendidikan pada anak-anak mereka sehinggakan nak tolong dari tepi tingkap.
Meskipun populasi kat India dah cecah 1.37 billion, hanya 64.8% daripadanya yang fasih membaca, dan kadar tertinggi pula tertumpu kat bandar-bandar besar. Kat Bihar ni misalnya, hanya 7.7% je yang dapat membaca!
Tak setuju sistem pendidikan kat India, buatkan orang meniru…
Menurut Sagar Papneja, sebenarnya sistem pendidikan di India ni bermasalah betul dan amat perlukan perubahan terus dari akarnya. Dia senaraikan lima sebab kenapa budak-budak ni macam bangga betul bila bawa ‘toyol’ ketika peperiksaan, malah dia sendiri pernah dengar kes budak ke tandas semata-mata nak bocorkan jawapan ujian kat Facebook agar kawan-kawannya boleh salin semula je.
Sebab pertama, para pelajar tak diajar pasal etika peperiksaan terutamanya pasal aktiviti meniru tu sebenarnya salah dan tak adil bagi orang lain. Kemudian, sistem peperiksaan mereka pun salah juga kerana terlalu berpaksikan buku teks dan silibus je. Guru-guru pun kena tekan agar lebih pentingkan kuantiti dari kualiti dan sebab terakhir, kembali pada peranan masyarakat juga yang suka tekan anak-anak mereka nak belajar berbanding bantu dan sokong mereka.
Tak hairanlah bila timbul kejadian 19 pelajar bunuh diri lepas dapat keputusan mereka pada pertengahan April lalu. Bukan tu je, memang ramai yang bantah cara pemarkahan dan ada juga salahkan sekolah sebab suka-suka je tandakan tak hadir masa peperiksaan tu.
Kena sudi belajar dari kelemahan negara lain, jangan sampai Malaysia jadi macam ni…
Hmm… kalau kita nak bandingkan dengan situasi kita kat sini, kita pun sebenarnya tak banyak berbeza. Sistem pendidikan kita pun masih lagi berkembang dan terus berevolusi agar tak ketinggalan dengan negara-negara maju. Namun kita haruslah belajar dari kelemahan negara lain, khususnya dari negara membangun agar kita pun tak buat benda yang sama terutamanya dari segi tekanan terhadap para pelajar kita semata-mata nakkan hasil keputusan tu sampai membawa kepada kejadian bunuh diri pula.