Baru-baru ni Kerajaan Malaysia umum tarik diri dari Statut Rom. Perjanjian ni diperkenalkan pada 1998 dan menubuhkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Ada empat jenayah yang berada di bawah mahkamah ini: genosida (pembasmian kaum), jenayah ke atas kemanusiaan, jenayah perang dan ‘crimes of agression’ – tindakan perang yang bertentangan dengan Piagam PBB.
Dapat kritikan yang besar daripada pelbagai pihak
Tunku Mahkota Johor mengkritik keputusan Kerajaan sebelum ini untuk sertai Statut Rom. Mereka mendakwa Institusi Raja boleh dihapuskan apabila Malaysia jadi sebahagian dari Statut Rom. Hujah mereka, bila Malaysia sertai Statut Rom dan sekiranya didakwa melakukan salah satu dari empat jenayah itu, Yang Dipertuan Agong boleh didakwa di atas fungsi Baginda sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.
Tapi Dato Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Malaysia dah jawab awal-awal bahawa Kerajaan setuju tandatangan Statut Rom bila berpuashati kedudukan Yang Dipertuan Agong tidak terjejas. Ini kerana fungsi Baginda sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera mengikut Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan dibuat berdasarkan nasihat Perdana Menteri dan Kabinet.
Jadi kalau ya pun Malaysia diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa, PM, Menteri Pertahanan dan pimpinan tentera yang terlibat buat keputusan itu yang akan kena dakwa. Contoh lain, bila rakyat saman kerajaan isu perlembagaan dan kerajaan kalah, dan kena bayar gantirugi, yang bayar adalah kerajaan. Bukan Yang Dipertuan Agong walaupun keputusan itu dibuat atas nama Baginda. Budak undang-undang pun tahu kan benda ni, tak payah nak jadi Pakar Perlembagaan.
Lagipun, pendakwaan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa hanya berlaku sekiranya mahkamah negara tak buat apa-apa. Kiranya macam last kopek gitulah. Jadi kenapa ada pihak nak kelabukan mata? Itu korang kena jawab sendiri. Banyak negara Islam sebahagian dari Statut Rom: Afghanistan, Tunisia, Tajikistan, Palestin, Maldives, Jordan, Comoros Island, Bosnia Herzegovina dan Bangladesh.
Presiden Republik Srpska yang digelar ‘Tukang Sembelih Bosnia’
Cadangan penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa ini datang pada hujung 1980-an untuk menangani isu pemerdagangan dadah. Ketika cadangan ini dalam proses untuk disiapkan, timbul dua insiden: tragedi di bekas Yugoslavia di mana berlaku pembunuhan beramai-ramai oleh pimpinan Serbia ke atas umat Islam Bosnia dan masyarakat Croatia; serta tragedi di Rwanda.
Maka untuk kedua-dua kes ini ditubuhkan Tribunal Jenayah Antarabangsa. Tribunal untuk kes di bekas Yugoslavia berlangsung antara 1993 hingga selesai pada 2017. Seramai 86 hakim pernah berkhidmat dari seluruh dunia termasuk Tan Sri LC Vohrah dari Malaysia (1993-2001).
Antara yang dihukum termasuklah Radovan Karadzic, Presiden Republik Srpska yang digelar ‘Tukang Sembelih Bosnia’ kerana peranannya membunuh orang awam umat Islam Bosnia dan masyarakat Croatia. Ketika dia lari dari ditangkap, Radovan Karadzic pelihara jambang dan misai penuh, dah macam gaya YB Khairy Jamaluddin, dia siap tukar nama jadi DD David dan jadi pengamal perubatan alternatif. Dia ada website sendiri dan merawat isu seks menggunakan apa yang dia kata ‘Human Quantum Energy’. Dia buat semua ni sebagai cara untuk menyamar.
Tribunal Jenayah Antarabangsa hukum dia penjara 40 tahun atas kesalahan pembasmian kaum, jenayah perang dan jenayah atas kemanusiaan.
Myanmar yang tak ambik bahagian Statut Rom bantai pelarian Rohingya
Satu lagi isu umat Islam yang banyak dapat perhatian adalah isu Rohingya. Untuk makluman, pemeriksaan awal fasa 2 telah bermula. Walaupun Myanmar – macam Malaysia – bukan sebahagian dari Statut Rom, tetapi ada dakwaan berlaku jenayah ke atas pelarian Rohingya di Bangladesh. Nasib baik Bangladesh berani tandatangan Statut Rom.
ORANGKATA pernah tulis tentang penahanan sejuta umat Islam Uyghur di China, yang dihalang mengamalkan agama mereka. Tapi kerana China juga bukan sebahagian dari Statut Rom, maka masyarakat antarabangsa tak boleh bawa Kerajaan Komunis China ke pengadilan.
Begitu juga, Amerika Syarikat dan Israel pun memilih untuk tidak menyertai Statut Rom kerana tidak mahu tindakan anggota tentera mereka diambil tindakan oleh masyarakat antarabangsa.
Jadi persoalannya – apa yang kita takut sangat dengan Statut Rom? Kalau bukan pasal Statut Rom, Radovan Karadzic a.k.a Tukang Sembelih Bosnia a.k.a DD David masih duk rawat orang mati pucuk kot. Dia tak akan dihukum pasal peranan dia bunuh ribuan orang Islam di Bosnia.
Lagipun korang kena ingat, kalau perjanjian antarabangsa ni berkesan sangat, takdenya Palestin hampir setiap masa kena bedil oleh Israel. Setakat perjanjian antarabangsa je tak cukup, tapi ia baik untuk langkah pertama ke arah dunia yang lebih aman.