Di mana kita boleh mendapatkan gula-gula? Sudah tentu kita perlu pergi ke kedai untuk beli gula-gula tu. Kalau kita tukar sikit soalan ini; dekat mana kita boleh jumpa janji-janji manis? Bukan setakat ketika seseorang sedang memikat orang yang berlainan jantina, tapi ketika pilihan raya datang lah. Setiap kali pilihan raya datang, ada macam-macam janji akan ditaburkan. Ada di antara janji-janji tu memang mustahil pun nak dilaksanakan, tapi ada segelintir pengundi akan bersorak gembira kerana tak faham.
Kami teringat satu ayat popular yang dikaitkan dengan Samy Vellu (kami pun tak tahu cerita ni betul atau tak). Ketika dia kata nak buat jambatan, orang cakap; sungai takde, buat apa nak bina jambatan? Terus dia jawab, kalau sungai takde, kita bina sungai. Macam itulah lebih kurang ayat dia. Benda ni sebenarnya selalu berlaku masa pilihan raya, banyak janji yang tak logik diberi, semata-mata untuk dapatkan undi.
Kerajaan berjanji nak perbaiki kelajuan Internet di Sabah, cuma masih ada keperluan asas yang turut perlu diperbaiki
Baru-baru ini, kerajaan kita janji untuk tambah baik kelajuan Internet di Sabah dalam tempoh terdekat. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika rujuk kepada insiden ‘pelajar universiti’ di kawasan pedalaman Sabah yang terpaksa memanjat pokok baru-baru ini, jelasnya penambahbaikan itu bakal disegerakan. Bagi yang terlepas tentang cerita pelajar ini, kami pernah tulis dulu.
“Cerita tentang seorang pelajar wanita terpaksa panjat pokok, tidur malam untuk menyelesaikan homework (kerja rumanya), cari sambungan wifi… itu satu cerita (yang) agak menyedihkan. Ia merupakan cerminan kepada salah sebuah kawasan di dalam negara. Saya berjanji hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan kalangan penjawat awam, kita akan meningkatkan kelajuan proses hubungan (Internet) di Sabah,” – Muhyiddin Yassin, seperti yang dilaporkan Astro Awani
Dia kata macam tu ketika berucap di Majlis Perjumpaan Pimpinan Masyarakat Negeri Sabah bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu. Walaupun ia adalah niat yang baik untuk perbaiki kelajuan Internet, hal yang paling penting dalam isu ini adalah – memastikan kebanyakan tempat di Sabah ada jaringan Internet dulu. Tak payah nak cerita panjang pasal Internet lagi, masih ada tempat-tempat penting di Sabah yang masih menghadapi masalah jaringan telco.
Satu benda lagi, walaupun kita mengakui kepentingan Internet, masalah infrastruktur di Sabah berada pada tahap yang kritikal. Ia bukanlah cerita asing untuk kita lihat laluan-laluan atau sekolah yang ada di Sabah berada dalam keadaan uzur. Belum cerita lagi tentang rakyat Sabah yang takde akses kepada air bersih. Hal-hal asas macam ni perlu diberi perhatian, seiring dengan usaha kita nak perkasakan teknologi dan Internet.
Menurut Pimpinan Bersatu Sabah, kerajaan negeri hanya akan jadi lebih baik kalau sehaluan dengan Persekutuan
Selain daripada isu janji-janji manis ni, ada jugak ugutan yang sering kedengaran. Salah satu yang kerap didendangkan adalah ungkapan pembangunan rakyat di Sabah tak akan dapat dilaksanakan kalau kerajaan negeri dan Persekutuan tak sehaluan. Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor kata, masa depan Sabah tak akan terjamin jika kesepakatan dan hala tuju itu tidak selari.
Propaganda macam ni memang selalu berlaku, apabila mana-mana ahli dari parti politik kerajaan datang ke sesuatu tempat, diorang ada kecenderungan untuk kata – kalau korang tak sokong kerajaan, maka negeri ni tak akan makmur lagi. Ada di antara rakyat yang akan percaya tentang ugutan macam ni. Padahal, kerajaan Persekutuan bertanggungjawab untuk pastikan kemakmuran setiap negeri yang ada di Malaysia. Dalam erti kata lain, diorang bukan kerajaan untuk negeri yang parti diorang pimpin je.
“Bagi saya, untuk kebaikan dan membangunkan Sabah, adalah lebih baik dan afdal untuk kerajaan negeri bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan. Sekiranya tidak iaitu kerajaan negeri pembangkang, mungkin banyak perkara-perkara yang tidak boleh dilaksanakan,” – Hajiji Mohd Noor, seperti yang dilaporkan Awani
Dia kata macam tu ketika ulas ucapan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyifatkan kerajaan negeri tidak perlu selari dengan Kerajaan Pusat. Jelas Mohd Shafie, hubungan pentadbiran sedia ada sudah cukup untuk terus membangunkan negeri ini. Katanya, ini kerana hubungan pentadbiran sedia ada sudah cukup untuk terus membangunkan Sabah. Menurut Shafie pendirian kerajaan negeri itu sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kerajaan dengan kerajaan, saya sudah maklumkan dengan dia (Perdana Menteri)… kerajaan negeri dengan kerajaan Pusat, untuk kepentingan negara kita (akan teruskan) kerjasama kerajaan dengan kerajaan. Kita bukan inginkan haluan politik itu… politik kita ketepikan, dalam politik saya ada pertimbangan dan prinsip politik saya. Dalam hal-hal lain kita kena kerjasama untuk kita bina negara. Pembangunan negara kita dalam konteks Sabah misalnya, mereka memerlukan penyatuan (kerjasama) yang ada (antara) kerajaan Pusat dan kerajaan negeri,” – Shafie Apdal, seperti yang dilaporkan Awani
Rakyat Sabah harus memastikan mereka tak mudah terpedaya dengan janji-janji manis ni
Dengan tarikh penamaan calon yang semakin dekat, nampaknya kita akan melihat kehangatan politik berlaku di Sabah. Harapan kami adalah – semoga rakyat Sabah tak mudah terpedaya dengan janji=janji manis ahli politik ketika musim pilihan raya ni, tanpa mengira dari parti apa ahli politik tu. Apa yang paling penting, korang kena lihat sejarah calon tu, dan apa perancangan rapi yang dia dah lakukan untuk bawa perubahan.